Jangkaan itu berdasarkan penilaian ke atas prestasi TH bagi separuh pertama tahun ini, yang menyaksikan kos operasi dan pentadbirannya meningkat sebanyak 3.6 peratus. - Foto fail/Astro AWANI
1. Ahli ekonomi unjur dividen TH 2.75 hingga 3.10 peratus tahun ini
KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi menjangkakan Lembaga Tabung Haji (TH) mengisytiharkan dividen dalam lingkungan 2.75 peratus hingga 3.10 peratus tahun ini disebabkan persekitaran ekonomi domestik dan antarabangsa yang buruk selain TH juga perlu terus melaksanakan strategi pemulihannya.
Ahli Akademik di Putra Business School (PBS), Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata ketika tempoh sukar dengan keadaan pasaran tidak menentu ini, TH telah mula melaksanakan strategi yang ditetapkan untuk masa depan sebagai satu tindak balas terhadap cabaran luaran dan dalaman.
"Kadar dividen diunjurkan sama, jika tidak lebih rendah, berbanding tahun lepas. Ia hampir pasti tidak akan lebih tinggi kerana pasaran masih menjalani pemulihan, perlu ingat bahawa TH sedang menghadapi cabaran untuk mengekalkan keuntungan, mengisytiharkan dividen yang baik, dan, yang paling penting mengenai kos haji, yang kini meningkat secara mendadak," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata jangkaan itu berdasarkan penilaian ke atas prestasi TH bagi separuh pertama tahun ini, yang menyaksikan kos operasi dan pentadbirannya meningkat sebanyak 3.6 peratus, yang setanding dengan kadar inflasi semasa.
Mengenai Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24 TH, yang bertujuan supaya TH bersifat kalis masa depan dan memastikan kerelevanannya, Ahmed Razman berkata pelan itu dirangka tepat pada masanya kerana TH perlu memastikan ia terus memperoleh keuntungan, mempunyai aset yang melebihi liabiliti dan memiliki sumber yang mencukupi untuk menampung kenaikan kos haji.
"Mungkin mekanisme semasa tidak lagi mampan untuk jangka masa panjang dan saya yakin TH mesti meneliti bantuan bersasar untuk haji, mungkin untuk kalangan B40 dan bukannya bantuan secara menyeluruh," katanya.
Mengenai rancangan TH untuk menghalusi Akta Tabung Haji 1995, beliau yakin sebarang nilai tambah yang boleh memberi manfaat kepada pendeposit akan disambut baik.
Seorang lagi ahli ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Prof Barjoyai Bardai menawarkan pandangan yang lebih konservatif dengan menekankan bahawa dividen itu akan menjejaki pergerakan kadar faedah semasa, yang berada pada 2.75 peratus.
"Perlu ingat bahawa TH belum pulih sepenuhnya daripada masalahnya dan masih dalam pelan pemulihan, selain itu mereka perlu menyelesaikan isu tertunggak sebelum benar-benar dapat menunjukkan prestasi yang sebenar," katanya kepada Bernama.
Pada Rabu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata TH kini menumpukan pelan pemulihan untuk kumpulannya dan akan mula meneliti anak-anak syarikatnya yang termasuk TH Properties, TH Plantation, Bank Islam Malaysia Bhd dan Syarikat Takaful Malaysia.
Barjoyai berkata aset TH terutamanya aset pendapatan tetap, pulangannya ditentukan oleh kadar faedah pasaran dan modal pendapatan yang besar tidak boleh diharapkan daripada portfolio ini.
Sehingga 30 Sept, 2022 kedudukan aset TH meliputi pendapatan tetap sebanyak 60.1 peratus atau RM52.79 bilion, hartanah (8.7 peratus atau RM7.63 bilion), ekuiti domestik berjumlah 16.5 peratus (RM14.51 bilion), ekuiti asing sebanyak 5.1 peratus (RM4.49 bilion), ekuiti persendirian pada 1.1 peratus (RM974 juta) dan pasaran wang pula sebanyak 8.5 peratus (RM7.44 bilion).
"Bagi mereka mencatatkan kadar dividen di antara lima dengan enam peratus, ia akan mengambil masa tiga hingga empat tahun selepas pelan pemulihan selesai dilaksanakan," katanya.
-- BERNAMA
2. TH kekal komited tingkatkan perkhidmatan haji - Idris. Bernama Oktober 19, 2022 19:48 MYTDatuk Idris Ahmad berkata walaupun operasi haji pada musim 1443 Hijrah adalah berbeza dari tahun sebelumnya, TH tetap berjaya mengurus perjalanan haji kesemua jemaah dengan baik. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) perlu diberi pujian kerana kekal komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua jemaah Malaysia pada setiap musim Haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata walaupun operasi haji pada musim 1443 Hijrah adalah berbeza dari tahun sebelumnya, TH tetap berjaya mengurus perjalanan haji kesemua jemaah dengan baik.
"Alhamdulillah, pada tahun ini saya sempat meninjau persediaan haji TH di Kompleks Haji Sepang dan kemudiannya melihat sendiri bagaimana para petugas TH mengurus dan menyantuni para jemaah haji yang pelbagai kerenah ketika di tanah suci, terutama ketika Masya'ir.
"Saya kagum dengan komitmen dan kerja keras ditunjukkan, justeru syabas dan terima kasih saya ucapkan kepada semua petugas yang telah menabur khidmat bakti sepanjang operasi haji 1443H/2022M sama ada di tanah air atau di tanah suci," katanya semasa berucap pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Kepada Sahabat Korporat TH Musim Haji 1443H di Menara TH di sini hari ini.
Menurut Idris, kejayaan operasi haji Musim 1443H juga adalah hasil daripada kerjasama padu dan sokongan penuh diberikan oleh pelbagai pihak terutamanya agensi kerajaan dan swasta.
Katanya, TH telah menerima sumbangan bernilai RM1.8 juta daripada 12 organisasi melalui Program Sahabat Korporat TH yang turut membantu melancarkan urusan ibadah jemaah haji Malaysia.
Sumbangan tersebut adalah dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan asas jemaah haji seperti beg beroda, beg sandang, tikar jemaah, tikar sejadah, bahan bacaan seperti buku doa, peralatan kesihatan dan kelengkapan harian.
"Sumbangan ini bukan sahaja memberikan pulangan (ROI) berbentuk pendedahan jenama kepada syarikat terlibat, tetapi yang lebih utama ialah pulangan jauh lebih baik di akhirat nanti, insya-Allah.
"Bagi pihak kerajaan, terima kasih dan syabas saya ucapkan kepada semua Sahabat Korporat dan saya berharap keprihatinan ini akan menjadi contoh dan menyeru agar lebih banyak badan korporat lain untuk turut serta pada masa akan datang," katanya.
Idris berkata pihaknya juga akan sentiasa memantau dan bekerjasama dengan TH untuk sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan kos yang berpatutan bagi para jemaah haji Malaysia.
Beliau berkata TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan paling memerlukan walaupun kos haji Muasassah dijangka terus meningkat sekitar RM31,000 seorang pada tahun hadapan, berbanding RM28,632 tahun ini.
-- BERNAMA
Komen Weblog IbnuHasyim: Dividen Tabung Haji 2.75 hingga 3.10 % tahun ini -Prof Madya Ahmed Razman..
Al-hamdulillah.
No comments:
Post a Comment