Friday, November 04, 2022

M'sia ditadbir k/campuran lagi? Ini PN penyelamat..

 

1. Malaysia bakal ditadbir k’jaan campuran lagi, kata penganalisis  -malaysiakini.com

Melihat senario semasa, ramai pemerhati politik tidak menolak kemungkinan Malaysia sekali lagi akan ditadbir oleh kerajaan campuran melalui Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 Nov ini.

Sama ada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) ataupun Pakatan Harapan (PH), masing-masing dijangka sukar memperoleh majoriti mudah, iaitu sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen, pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.

Ini kerana kata mereka, landskap politik tanah air berubah selepas dibadai ‘tsunami kecil’ PH pada PRU14, yang bukan sahaja menamatkan penguasaan BN selama 60 tahun, tetapi turut melemahkan gabungan itu apabila beberapa parti komponennya termasuk dari Sarawak, bertindak keluar daripada BN.

Sepanjang tempoh empat tahun lima bulan Parlimen ke-14, pelbagai ‘episod politik’ berlaku termasuk menyaksikan negara dipimpin oleh tiga perdana menteri daripada tiga kerajaan berbeza, dengan dua daripadanya adalah kerajaan campuran.

Justeru, sekalipun BN dilihat berkeyakinan dapat menguasai PRU15 ini berdasarkan rekod cemerlangnya pada lima pilihan raya kecil (PRK) dan dua pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung sepanjang penggal lepas, pemerhati berpendapat ia bukan petunjuk kukuh bahawa BN akan mampu mengulangi kejayaannya seperti sebelum PRU14.

Tiada parti dominan

Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, ketika mengulas mengenainya, berkata rata-rata penganalisis politik bersetuju tidak ada sebuahpun parti yang dominan buat masa ini.

“Walaupun BN telah memenangi beberapa PRK dan PRN, mengambil kira keadaan sebelum ini dengan tiga perdana menteri, kestabilan politik masih sukar dicapai dan tidak mustahil akan berlaku sekali lagi kerajaan campuran,” katanya kepada Bernama. 

Shamsul Amri Baharuddin

Berkongsi pandangan serupa, Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Dr Azmi Hassan berkata disebabkan tidak keruan politik, PRU kali ini dijangka menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru hampir di semua 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

“(Justeru) walaupun BN dikatakan parti yang bakal memperoleh kerusi terbanyak, ia masih tidak cukup untuk menubuhkan kerajaan. Kerana itu saya jangkakan pasca-PRU15, BN (boleh menjadi) parti dominan (dalam kerajaan) bersama-sama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” ulasnya.

Menurutnya, pandangan itu berdasarkan cadangan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga perdana menteri sementara, tentang pewujudan dua jawatan timbalan perdana menteri, iaitu masing-masing dari Sabah dan Sarawak.

“… ini mungkin jajaran baharu BN dengan GPS dan GRS,” ulas Azmi. 

Untuk rekod, selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, PH yang dianggotai PKR, DAP, Bersatu dan Amanah membentuk kerajaan persekutuan dengan majoriti mudah, dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Ketujuh.

Namun kerajaan yang kemudian dikukuhkan oleh sokongan Parti Warisan Sabah, tumbang selepas kira-kira 22 bulan mentadbir apabila Dr Mahathir melepaskan jawatan pada 24 Feb 2020, disusuli tindakan Bersatu keluar daripada PH.

Pada 1 Mac 2020, kerajaan campuran pertama terbentuk hasil kesepakatan Bersatu, PAS, BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR). Lima bulan selepas pentadbiran, PN terbentuk menerusi gabungan Bersatu, PAS dan STAR sebelum disertai Parti Maju Sabah (SAPP) dan parti Gerakan.

Kerajaan yang dipimpin PN ini hanya bertahan selama 17 bulan. Negara kemudian diterajui oleh kerajaan campuran BN, PN, GPS dan PBS pada 30 Ogos 2021. 

PRU kali ini bukan sahaja menyaksikan pertarungan tiga gabungan politik - BN, PH dan PN - tetapi juga penyertaan kerjasama tidak rasmi Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Dr Mahathir menerusi Parti Pejuang Tanah Air, yang dilapor akan meletakkan calon di 121 kawasan.

Akta lompat parti

Sementara itu, ditanya tentang keberkesanan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diperuntukkan dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan berkuat kuasa 5 Okt lepas dalam membantu menstabilkan kedudukan kerajaan, Azmi berkata perkara tersebut hanya boleh dilihat selepas PRU15.

“Dengan adanya akta ini, tidak mungkin ada seorang dua wakil rakyat yang boleh meruntuhkan kerajaan. Sekiranya ada sekalipun, keseluruhan parti itu sendiri yang perlu keluar daripada kerajaan,” kata beliau.

Pandangan serupa turut dikemukakan oleh Dr Jamaie Hamil yang berkata undang-undang mengikat seseorang ahli parlimen atau individu daripada melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kerajaan bukanlah sesuatu yang baharu di negara ini.

Menurutnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pernah dikuatkuasakan ketika era pemerintahan BN bagi mengawal rakyat atau ahli politik daripada melakukan perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat termasuk mengkritik kerajaan secara melampau.

“Walaupun nampak berlainan, ia sebenarnya hampir sama dengan undang-undang antilompat parti yang bertujuan menstabilkan kerajaan,” kata pensyarah kanan program sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Di bawah Akta A1663 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Julai lepas dengan sokongan sebulat suara ahli Parlimen itu, mana-mana ahli dewan yang bertukar parti akan hilang kedudukan sebagai Ahli Dewan Rakyat.

MOU kerajaan-pembangkang

Dalam pada itu, Jamaie mengesyorkan beberapa langkah yang perlu diambil sekiranya kerajaan campuran terhasil daripada PRU15 nanti.

Antaranya ialah pemeteraian satu memorandum persefahaman di antara kerajaan memerintah dan blok pembangkang seperti yang dilakukan pada era pentadbiran Ismail Sabri, bagi mengelakkan konflik yang boleh menggugat kestabilan negara.

Selain itu, beliau turut mencadangkan penggiliran perdana menteri melibatkan parti-parti dalam kerjasama tersebut.

“Contohnya, perdana menteri ketika kerajaan PH ialah Tun Dr Mahathir Mohamad dan berikutnya yang dicadangkan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas tempoh dua tahun atau dua tahun setengah, dan perkara itu sepatutnya hendaklah dilaksanakan dan tidak dimungkiri,” katanya.

Bagi mewujudkan kestabilan berpanjangan kerajaan campuran, beliau berkata perlu ada kemahuan politik yang kuat dan persefahaman yang mana setiap keputusan dibuat secara konsensus dan dilaksanakan mengikut persetujuan semua parti.

Tidak boleh hanya parti dominan dalam kerajaan campuran membuat keputusan kerana situasi tersebut boleh mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan parti yang bergabung, ujarnya.

“Sudah berlaku di negara luar seperti Britain apabila ada parti menarik sokongan kepada kerajaan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat dalam konsensus,” katanya.

Tegas beliau, kestabilan kerajaan campuran itu amat penting memandangkan ada kemungkinan berlaku kegawatan ekonomi global pada tahun depan, sekali gus memerlukan kerjasama baik antara parti gabungan dalam menghadapi situasi mencabar berkenaan.

Konflik kepimpinan

Konflik kepimpinan yang berlaku sebelum ini sehingga menyebabkan kerajaan tumbang, tidak sepatutnya berlaku lagi dalam situasi ekonomi yang masih terkesan oleh pandemik Covid-19, dan sewajarnya amalan toleransi antara kaum semasa zaman kepimpinan Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman disuburkan kembali, kata Jamaie.

“Pastikan kerajaan dibentuk mengutamakan kepentingan negara supaya situasi ekonomi, isu peluang pekerjaan, harga barang yang melambung dapat diatasi dan bantuan-bantuan kepada rakyat dapat diteruskan,” katanya.

Bagi Azmi pula, beliau berharap barisan jemaah menteri dilantik mengikut kepakaran serta kebolehan seseorang wakil rakyat, dan bukan atas dasar kuota parti.

Ini kerana katanya, ahli kabinet kerajaan campuran sebelum ini dilantik atas dasar kuota parti sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat berfungsi dengan efisien

“Saya mengharapkan barisan kabinet kerajaan campuran nanti adalah kuat dan terdiri dalam kalangan mereka yang boleh bekerja, berwibawa dan juga intelek supaya dapat menghadapi cabaran terutamanya cabaran ekonomi pada masa hadapan,” katanya.

Pada 20 Okt lepas, SPR menetapkan 19 Nov ini sebagai tarikh pengundian manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Nov. Pengundian awal pula pada 15 Nov.

Parlimen ke-14 dibubarkan pada 10 Okt lepas, memberi laluan kepada 222 kerusi Dewan Rakyat dipertandingkan semula. Dalam pada itu, tidak seperti kelaziman, kali ini hanya tiga negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Parlimen, iaitu Perak yang melibatkan 59 kerusi, Pahang (42) dan Perlis (15).

Turut diadakan serentak ialah PRK DUN Bugaya, Sabah.
- Bernama

(diangkat dari Banjar Bloger)

Banjar Bloger


2. PN selamatkan setelah PH hampir runtuhkan 

TABUNG Haji (TH) yang ditubuhkan secara rasmi pada 30 September 1963 bermakna pada hari ini sudah melepasi umur 59 tahun usianya. Di mana kekuatan terbesar TH kini adalah kepercayaan 8.6 juta rakyat Malaysia dalam kalangan umat Islam yang meletakkan RM88.09 bilion deposit kepadanya.

Reputasi dan wibawa itu hakikatnya tidak mudah dipertahankan atas pelbagai cabaran sepanjang zaman yang telah dipikul. Namun, sebagaimana teguhnya Menara TH di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur, seperti itulah ia tetap menongkah zaman.

Dari hanya sebuah ‘badan tabungan’ yang menjurus pengurusan hal ehwal ibadah haji, TH kemudiannya telah berkembang lebih perkasa. Ia muncul menjadi institusi kewangan sosial umat Islam yang menceburi serta berjaya dalam beberapa sektor pelaburan dan memegang aset besar.

Pun begitu dalam lipatan sejarah kewujudannya, TH tidak setakat berprestasi dengan pelbagai inisiatif dan intervensi yang diiktiraf. Tetapi pernah juga terpalit beberapa dakwaan, polemik dan kontroversi. Namun, paling jahat apabila ada yang menangguk kekuatan atau bermotif terselindung ke arah ‘menjatuhkannya’.

Paling ketara menyerlahkan kerakusan adalah di era pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Di mana antara keputusan dibuat adalah untuk menjual 14 anak syarikat di bawah Tabung Haji Plantations Berhad (THP).

Sedangkan THP yang disenarai awamkan sejak tahun 2006 dengan permulaan ladang seluas 15,746 hektar, telah menambah keluasan dimiliki kepada 100,976 hektar pada akhir tahun 2017 di bawah 19 anak syarikat milik TH itu.

Pencapaian itu dilakar hasil petunjuk kewangan yang memberangsangkan dengan mencatat keuntungan saban tahun sehingga 2017 itu, sebelum PH berjaya menjatuhkan dominasi 60 tahun Barisan Nasional (BN) pada Mei 2018.

Dengan keputusan tersebut bermakna THP dipaksa melepaskan 76.2 peratus atau 76,957 hektar daripada jumlah keluasan keseluruhan ladang dimilikinya. Alasan disohor ketika itu adalah hutang yang dikatakan kian membesar.

Dari semakan dibuat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terhadap 14 anak syarikat itu, empat daripadanya adalah syarikat yang mencatatkan keuntungan iaitu THP Ibok, THP PELITA Sadong, THP PELITA Gedong dan Hydroflow.

Keputusan dicurigai itu membangkitkan pertikaian dan emosi kemarahan umat Islam apabila ada di antara ladang itu dilupuskan kepada syarikat bukan bumiputera iaitu Tamaco Plantation Sendirian Berhad.

Ahli Lembaga Pengarah Tamaco Plantation ketika itu disenaraikan bernama Lim Sing Hua; Lim Chun Leng; Lim Wai Foong; Lim Chun Hsiung; dan Lee Ban Loong. Apa kaitan atau hubungan mereka dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika itu, tidaklah sempat diselidiki.

Lebih mengejutkan, apabila aset perladangan itu diputuskan untuk dijual pada harga cuma RM170 juta kepada Tamaco, sedangkan jurunilai CH Williams menilainya pada harga RM280 juta pada Disember 2018 dan JPPH meletak nilai RM224 juta pada April 2020.

Hutang THP juga membengkak semasa di bawah PH iaitu pada tahun 2018 RM1.24 bilion kepada RM1.29 bilion bagi tahun 2019. Iaitu kerugian RM678 juta bagi tahun 2018, dan RM245 juta untuk tahun 2019. Sedangkan tahun 2015 mencatat untung RM18,714,000 dan tahun 2016 sebanyak RM127,296,000, manakala tahun 2017 direkodkan RM60,990,000.

Peliknya, PH mempertikai kerajaan terdahulu yang agresif membeli tanah pada tahun 2012 sehingga tahun 2014 di bawah THP daripada hanya 15,000 hektar kepada 100,000 hektar dalam dua tahun itu.

Walaupun dipersoalkan tanah itu tidak dilaksanakan penanaman, tetapi semasa PH tidak pula disungguhkan untuk diusahakan pertanian di tanah tersebut yang terbentang luas itu.

Tindakan itu juga dilihat satu langkah ‘mudah’ yakni ‘melepaskan beban’ secara tidak bermaya tanpa berjuang mempertahankan kepentingan aset tersebut atau sebenarnya telah tunduk kepada ‘desakan’ tertentu?

Bahkan layak disangsi ‘ada udang di sebalik batu’ yakni mungkin ‘pakatan tersembunyi’ apabila melepaskan ekuiti itu kepada pihak tidak sewajarnya dengan harga turut diragukan.

Ternyata kepimpinan PH terlalu lemah untuk diharapkan menjaga harta umat Islam itu, sekali gus meletakkannya berisiko tergadai. Syukurlah hayat PH tidak lama apabila PERIKATAN NASIONAL (PN) mengambil alih pentadbiran negara.

TH juga berjaya diselamatkan dan proses-proses jualan anak syarikat yang berkenaan tidak berjaya diteruskan. Sebaliknya kepimpinan baharu bukan sahaja menyelamatkan kepentingan umat Islam itu, bahkan berjaya memajukannya.

Dengan meluluskan pelan rehabilitasi cuma RM150 juta aset-aset yang terbiar tersebut telah dimaksimumkan hasil pengeluaran ladang-ladang bagi kos membaja dan memulihkan bagi menghasilkan pulangan optimum.  

Natijahnya, hasil jualan THP telah meningkat kepada RM760.8 juta pada tahun 2021 berbanding RM493.65 juta pada tahun 2019. Peningkatan sejumlah RM332.85 juta itu terlaksana dari tadbir urus di bawah teraju baharu.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 4/11/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: M'sia ditadbir k/campuran lagi? Ini PN penyelamat..

Walaupun pelbagai andaian dikemukakan, namun kembalilah kepada PN sebagai penyelamat negara ini, setelah dirampas 22 bulan oleh PH ghuyup. Sehingga akhirnya, berlaku peranan wajar Raja-Raja Melayu dalam menstabilkan politik negara kita.

Sila lihat juga siri-siri pembongkaran Presiden PAS menyelamatkan politik Melayu melalui naungan Raja-raja Melayu.

Al-hamdulillah, Allah SWT masih sayangkan Malaysia dan Persekutuan Tanah Melayu, berserta Raja-rajanya.

Amin.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails