Friday, September 23, 2022

Rasuah VLN: kes 3 saksi . Zahid mahu PRU musim banjir.

 

Ahmad Zahid bersama penyokong selepas keputusan beliau dibebaskan daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN). - NSTP/Asyraf Hamzah

1. Kes rasuah VLN: 3 saksi pendakwaan tak boleh dipercayai - Hakim

SHAH ALAM: Tiga saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN) tidak boleh diharap, tidak boleh dipercayai dan tidak berwibawa, demikian diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Ketiga-tiga saksi itu adalah bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Harry Lee Vui Khiun (saksi pendakwaan ke-15), Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani (saksi pendakwaan ke-16) dan bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun (saksi pendakwaan ke-17).

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa dalam penghakimannya setebal lebih 100 muka surat, berkata dapatan itu merungkai persoalan mengapa beliau mendapati tanda 'Z' dan 'ZH' pada lejar UKSB tidak cukup untuk membuktikan Presiden UMNO itu menerima suapan terbabit. 

Mohd Yazid berkata, mahkamah selanjutnya mendapati walaupun terdapat cadangan bahawa Ahmad Zahid ada menerima dana politik berjumlah RM200,000 sebanyak dua kali, tiada sebarang keterangan atau bukti mengenainya yang dikemukakan di mahkamah.  

Katanya, mahkamah dengan itu menyimpulkan pendakwaan gagal membuktikan intipati utama dalam semua 33 pertuduhan bahawa tertuduh menerima wang suapan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Berhubung 33 pertuduhan pilihan pula mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, kecuali bahagian di mana tertuduh adalah penjawat awam yang tidak dinafikan pihak pembelaan, saya mendapati pendakwaan gagal membuktikan intipati utama kesalahan iaitu menerima suapan tanpa balasan berdasarkan analisa terhadap keterangan yang dikemukakan, 

"Bagi tujuh pertuduhan pilihan menerima suapan, saya mendapati saksi pengarah UKSB dan bukti lejar yang dikemukakan pendakwaan gagal membuktikan elemen penerimaan wang suapan. Selepas menimbangkan keterangan secara keseluruhan dan selepas saya menolak keterangan Siong Sun, ia menimbulkan keraguan sama ada wang suapan itu diserahkan kepada tertuduh.

"Berdasarkan kegagalan pendakwaan untuk membuktikan elemen penting dalam semua tuduhan dan selepas menilai semua keterangan secara keseluruhan, saya dapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh bagi semua pertuduhan," katanya.

Hakim itu berkata, beliau mengingatkan diri sendiri untuk membuat keputusan selepas meneliti keseluruhan bukti pendakwaan dengan berhati-hati dan selepas menimbangkan hujahan kedua-dua belah pihak.

Katanya, sejak hari pertama perbicaraan, beliau mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan komen dan pandangan diutarakan orang awam yang dibuat di luar mahkamah.

"Ia adalah kewajipan saya untuk menegakkan keadilan," katanya.


2. PRU musim banjir: Semua tolak, tapi Zahid mahu juga? 


KELMARIN sempat tengok sidang media Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam), wartawan tanya, setuju tak PRU diadakan dalam musim banjir?

Dr Sam jawab, “kita ini cukuplah menyusahkan rakyat, terutama mengheret rakyat untuk berdepan pilihan raya waktu banjir. Biarlah kita selesaikan urusan rakyat dan urusan peningkatan ekonomi dahulu sebelum adakan pilihan raya.” 

Malah apabila buat carian pada hari ini, rupanya semua pimpinan parti politik bersatu menolak PRU dalam banjir. 

BERSATU menolak, DAP menolak, PKR menolak, PAN menolak, GTA (Tun Mahathir) menolak, malah Menteri seperti TS Annuar Musa, Khairy Jamaluddin daripada Umno juga menolak PRU dalam banjir. 

DS Ismail Sabri Yaakob pun nampaknya keberatan untuk laksana PRU musim banjir. Hairannya, hanya DS Ahmad Zahid Hamidi sahaja yang mahukan PRU dalam musim banjir. Pandangan Zahid ini terperosok di bucu dinding ditolak oleh semua parti politik dan agensi. 

Di manakah rasional politik Zahid Hamidi sekarang ini. Di kala semua pihak waras memikirkan kebajikan dan kesukaran rakyat berdepan banjir, dengan besar dirinya mahukan PRU musim banjir.

Banyak pihak yang susah dan sukar, bukan sahaja mangsa banjir. Malah kakitangan dan pegawai agensi kerajaan yang sudah bergelut dengan banjir dihempap pula dengan PRU. 
Lebih baik Zahid kerah Pemuda Umno untuk bersama dengan agensi-agensi kerajaan membantu dan meringankan beban mangsa banjir. 

Tak dapat kita bayang bagaimanakah Pemuda Umno boleh mengharungi banjir dan menatap muka keletihan mangsa banjir untuk semata-mata merayu undi, 
“Rumah mak cik tenggelam ye, jangan lupa undi Umno ye (sambil hulur poster calon)… Tergamakkah Pemuda Umno?

Dalam berpolitik ini janganlah terlalu pentingkan diri. Benar juga kata-kata Dr Sam ketika menjawab soalan setuju atau tak PRU diadakan di musim banjir, katanya;
“Pada saya kita berpolitik, berpolitik juga tapi janganlah sampai mengheret rakyat (PRU musim banjir) menyelesaikan masalah peribadi kita. Saya tak setuju.”

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 23/9/2022


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails