Tuesday, September 20, 2022

Lagi konsert K'tan.. Mengapa PH X lapor pemberi rasuah?

 


1. Konsert: Kerajaan Kelantan tidak bersikap konservatif

ADAKAH konsert diharamkan secara total di Kelantan? Adakah Kerajaan Kelantan bersikap konservatif seperti Kerajaan Taliban?

Sejak awal pemerintahan PAS di Kelantan, memang tidak dibenarkan persembahan terbuka penghibur wanita, penganjuran konsert hiburan juga tidak dibenarkan. Dengan kata lain, konsert di bandar-bandar besar tiada di Kelantan.

Konsert hiburan tidak dibenarkan mungkin kerana ia mewujudkan gejala sosial, wujud percampuran lelaki dan wanita, penghibur tidak menutup aurat dan sebagainya.

Namun begitu, Kerajaan Kelantan mewujudkan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 yang menetapkan peraturan khas untuk penganjuran konsert hiburan di Kelantan.

Di antara peraturan itu ialah tiada penghibur wanita, menutup aurat bagi Muslim, pakaian sopan bagi non-Muslim, lagu yang baik dan tidak melalaikan, penonton diasingkan mengikut 3 kategori iaitu berkeluarga, lelaki dan wanita dan sebagainya.

Seingat saya konsert hiburan di Kelantan ialah kumpulan Raihan di Stadium Sultan Muhammad ke-iV dan kumpulan Nada Murni (zaman Al-Arqam). Kedua-dua ini adalah kumpulan nasyid.

Pada Tahun 2005, fenomena Mawi melanda negara, Kerajaan Kelantan dan Maestro menganjurkan Konsert Amal Tautan Kasih. Datok M. Nasir turut membuat persembahan dengan Mawi.

Sejak tahun 2003, Konsert Sure heboh anjuran Media Prima amat popular dan diadakan di seluruh negeri. Ia bagaikan konsert percuma untuk masyarakat sambil mempromosi jenama TV3.

Namun begitu, Konsert Sure heboh pernah ditegur oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria kerana dilihat sebagai program hiburan yang melampau dan mengundang pelbagai kesan maksiat. 

Sejak itu, Konsert Sure Heboh ditukar kepada Karnival Jom HebohTV3 telah membuat penyesuaian dengan mengurangkan unsur hiburan dan mengutamakan orientasi hiburan berkonsepkan kekeluargaan dan perniagaan serta mempromosi mesej kerajaan.

Karnival Jom Heboh diadakan di Kelantan pada tahun 2009 dan 2011. 

Pada masa ini, TG Nik Abdul Aziz Nik Mat masih lagi menjadi Menteri Besar Kelantan. Jadi tidak tepat mengatakan tiada konsert pada zaman TG Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Konsert Jom heboh disiarkan secara langsung di kaca TV. Saya lihat hadirin tidak tekinja-kinja sebagaimana dalam konsert biasa.

Saya berasakan konsert riuh Sokmo selama 3 hari di Kelantan itu menepati Enakmen Hiburan 1998. Cuma kelihatan hadirin bersesak-sesak dan macam luar kawalan. Mungkin sebab itu ia menjadi viral dan Ketua Pemuda PAS Kelantan membuat kenyataan media. 

Saya merasakan juga perlu ada kawalan dan pengawasan yang lebih ketat terhadap hadirin. Pemuda PAS atau Jabatan Amal (Semut Merah) boleh mainkan peranan pada bahagian ini.

Kesimpulannya, Kerajaan Kelantan tidak mengharamkan konsert secara total tetapi membenarkannya selagi ia mematuhi Enakmen Hiburan 1998. Moga pihak penganjur atau berwajib melakukan kawalan lebih ketat agar hadirin lebih bersopan dan terkawal dan pemilihan lagu yang sesuai.

Rakyat suarakan isu konsert di Kelantan bukan kerana benci tetapi sebab kasih kepada Negeri Serambi Makkah.

Apatah lagi, Kerajaan Negeri Kelantan mempunyai kuasa dan pendirian tegas terhadap konsert berbanding dengan negeri lain yang agak mesra dengan penganjuran konsert. Salam hormat.

“Islam Memimpin”

DR. ABDÉL RAHMANOV
20 September 2022 – 
HARAKAHDAILY 20/9/2022


2. Mengapa PH tidak laporkan pemberi rasuah? 


PH begitu terkesan dengan artikel yang ditulis oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, bahawa ramai dari kalangan golongan pemberi rasuah adalah bukan-Bumiputera. Mereka telah membuat laporan polis di seluruh negara mendesak supaya dilakukan siasatan terhadap Presiden PAS. 

Mengapakah PH begitu terkesan dengan artikel tersebut sehingga cuba memanipulasikan sentimen perkauman apabila artikel tersebut kaitkan golongan pemberi rasuah dengan golongan Bukan-Bumiputera?

PAS dan parti-parti Melayu-Islam yang lain tidak pernah memanipulasikan sentimen perkauman apabila pimpinan-pimpinan PH mengaitkan kes-kes rasuah dengan kaum Melayu. Memang benar, korupsi ini adalah isu merentasi kaum. Bagaimanapun sebelum ini, kaum Melayu terutama kalangan pimpinan politik dan penjawat awam sering menjadi fokus serangan PH apabila timbul isu-isu penerimaan rasuah. Tulisan Presiden PAS sebaliknya, mengajak semua pihak mengalih fokus kepada golongan pemberi rasuah pula.

Pada 2 Mac 2022, portal berita mesra PAN, Malaysiadateline, membuat tajuk berita “Skandal Rasuah Terbesar Di Dunia, Tiga Perempuan Melayu Terlibat”. Portal tersebut memetik ceramah Presiden PAN dalam Ceramah Mega PH di PRN Johor, “paling memalukan dunia sekarang ini, yang terlibat itu tiga perempuan Melayu”. Presiden PAN menyebut lagi, “orang Melayu bukan terkenal seperti Hannah Yeoh yang mendapat anugerah di peringkat antarabangsa, tetapi terkenal kerana rasuah”.

Mengapa ahli-ahli PH tidak menegur Presiden PAN yang cuba mengaitkan amalan rasuah ini dengan kaum Melayu? Mengapa mereka tidak membuat laporan polis di seluruh negara, ucapan Presiden PAN ada unsur hasutan yang cuba menghubungkan amalan rasuah dengan kaum Melayu? Jika menggunakan logik yang sama, ucapan Presiden PAN tersebut lebih wajar ditanggapi berunsur hasutan kerana bukan sahaja mengaitkan amalan rasuah dengan kaum, tetapi juga amalan rasuah dengan gender.

Dua hari yang lepas sebuah portal berita,  Malaysianow, melaporkan pula berita ‘Tommy Thomas Bidas ‘Kerajaan Melayu’ Gagal’. Portal tersebut melaporkan Thomas menyebut ‘biar betul! mereka buat kerja yang begitu buruk dalam pentadbiran’.  Bekas Peguam Negara itu juga dilaporkan oleh portal berita tersebut berkata, kedua-dua kerajaan  ‘sememangnya terpalit dalam aktiviti rasuah’. Sekiranya laporan itu tepat, bukankah bekas Peguam Negara yang mesra PH itu cuba mengaitkan amalan rasuah dengan kaum Melayu?

Jelas sekali PH cuba mengaburi mata rakyat untuk menyembunyikan hakikat sebenar, bahawa golongan pemberi rasuah adalah sebahagian besar punca wabak korupsi di negara ini. Kelihatannya, PH mahu supaya perihal golongan pemberi rasuah ini tidak dihebah-hebahkan sebagaimana mereka selalu menggembar-gemburkan perihal golongan penerima rasuah. Mengapa mereka bersikap sedemikian? Adakah mereka mahu melindungi golongan itu? Pimpinan-pimpinan PH perlu menjawab persoalan ini dengan jujur?

Semasa PH memerintah, beberapa kali pimpinan mereka tidak melaporkan kepada SPRM terdapat golongan pemberi rasuah mahu melakukan sogokan. Pada 5 Oktober 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi PH ketika itu, pernah menghebahkan ada satu syarikat mahu menderma RM100 juta kepada Tabung Harapan tetapi ia ditolak kerana syarikat tersebut mempunyai hajat tertentu. Sepatutnya Dr Mahathir atau pimpinan kerajaan dari PH yang lain melaporkan cubaan sogokan tersebut kepada SPRM.

Kewujudan tabung-tabung seumpama Tabung Harapan yang telah diwujudkan oleh PH, dibimbangi digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mendapat habuan daripada projek-projek kerajaan. Terdapat juga pihak-pihak tertentu menggunakan tabung-tabung seumpama itu untuk melakukan kegiatan penggubahan wang haram. Oleh sebab itu, jika apa yang disebutkan oleh Dr Mahathir itu benar, sepatutnya satu laporan kepada SPRM dibuat bagi memastikan pengurusan tabung itu benar-benar telus.

Satu lagi kes yang hampir sama, pada 9 Februari 2021, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahudin Ayub, melaporkan beliau pernah ditawarkan percutian mewah di Eropah oleh pemilik syarikat kartel daging. Menurut Salahudin, ‘mereka menawarkan pakej percutian mewah kepada saya dan keluarga. Perjalanan berbayar untuk Eropah tetapi saya terpaksa menolak’. Sekali lagi timbul persoalan, mengapa beliau tidak melaporkan kepada SPRM mengenai pihak yang dipercayai golongan pemberi rasuah?

Sekiranya PH benar-benar serius untuk membasmi korupsi, mereka seharusnya tegas terhadap golongan pemberi rasuah. Mereka perlu melaporkan kepada SPRM sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang mahu melakukan sogokan kepada mereka semasa menjadi kerajaan tempohari. Bagaimanapun, kesungguhan mereka sebagai kerajaan ketika itu untuk menghapuskan golongan pemberi rasuah tidak dapat dilihat. Lebih malang lagi, apabila Presiden PAS mengajak supaya diperangi golongan pemberi rasuah, PH cuba mengalihkannya kepada sentimen perkauman.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat– HARAKAHDAILY 20/9/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Maka jelaslah,  mengapa PH tidak lapor pemberi rasuah, kerana  
begitu busuknya parti itu.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails