Thursday, September 22, 2022

DAP ancam perpaduan... Emas, dinar & mineral galian K'tan..

 


1. Dominasi DAP ancaman perpaduan kaum dan toleransi agama

PENGALAMAN suasana politik yang tidak stabil sangat meresahkan PAS Perak. Ia akan merencatkan urus tadbir yang lancar kerana perebutan kuasa dan gangguan politik.

Namun tempoh penguasaan Pakatan Harapan di Malaysia lebih menggerunkan walaupun dalam tempoh singkat. Ia dirasai dan diakui oleh rakyat melalui sokongan perubahan kepimpinan politik yang berlaku termasuk di Perak.

Sebagai sebuah negeri yang pernah dikuasai Pakatan Harapan, PAS Perak amat menyedari dan sangat mengenali mereka. Dalam tempoh penguasaan mereka, berbagai usaha yang dilakukan dilihat boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan kepentingan bangsa Melayu dan Islam. 

Dominasi DAP sebagai parti utama Pakatan Harapan akan menjadi ancaman kepada perpaduan kaum dan toleransi agama di Perak. Ini dibuktikan dalam tempoh singkat selepas PRU14 yang lalu.

PAS Perak juga menyedari realiti politik Perak yang tidak memungkinkan kerajaan sendiri dibentuk selepas PRU15. Gabungan parti politik tidak dapat dielakkan lagi untuk membentuk kerajaan di Perak. 

Justeru, PAS Perak menegaskan sokongan kepada prinsip parti yang disebut oleh Tan Sri Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang iaitu menolak rasisme, liberalisme, rasuah serta sekularisme politik.

Menyedari mudarat besar Pakatan Harapan kepada rakyat dan negeri, PAS Perak bersedia menjalinkan kerjasama politik di peringkat negeri bagi mengekang PH dalam masa sama membersihkan negara dari budaya rasuah politik dan penyelewengan kuasa. 

Bekerjasama dengan Umno jika mahu berkongsi aspirasi membersihkan rasuah adalah pilihan yang lebih rela dipilih PAS Perak.

PAS Perak juga menegaskan menolak sebarang hubungan dengan DAP sama ada atas nama khemah besar atau jajaran baru sebelum atau selepas PRU15.

Kerjasama dan gandingan politik di dalam Perikatan Nasional di Perak berjalan dengan baik. Dalam masa yang sama, mana mana parti atau individu yang bersedia bersama aspirasi PAS membina negeri berpaksikan teras keadilan Islam dan Prihatin rakyat seperti penegasan Presiden adalah dialu alukan. 

“Malaysia Sejahtera”

YB RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 19/9/2022


2. Makmurnya dengan emas, juga bakal keluar mineral galian lain 


BUMI Kelantan terus subur dan makmur dengan kurniaan Allah S.W.T termasuk pelbagai galian dan mineral di perut buminya biarpun ada antara hak tersebut dinafikan untuk dinikmati oleh negeri ini.

Terkini, pengeluaran emas di Mukim Sokor, Daerah Ulu Kusial, Jajahan Tanah Merah terus lestari mengeluarkan hasil buat Serambi Makkah ini sejak usaha dimulakan pada tahun 2007 dahulu lagi.

Daripada pengeluaran pertama pada 21 Julai 2010 di tanah seluas 956.5 hektar, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) telah memperoleh tribute emas sebanyak 3 peratus daripada nilai jualan emas sehingga tahun 2016.

Hasil semakan semula tahun 2017, kadar tribute  tersebut telah dinaikkan kepada 4 peratus dan terkini dengan kolaborasi strategik bersama Syarikat CMNM Mining Group Sdn Bhd, loji pengapungan bagi pengeluaran plumbum dan zink pula disempurnakan.

Menteri Besar, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob memberitahu, ia adalah loji ketiga dibina syarikat tersebut selepas loji pertama tahun 2013 dan loji kedua tahun 2018 di mana berdasarkan rekod sehingga Jun 2022, hasil pengeluaran berjaya dikutip adalah seberat 8.53 juta gram emas dengan hasil jualan RM1.07 bilion.

Maklum beliau juga, kerajaan negeri telah memperolehi hasil royalti emas sebanyak RM86.14 juta, sementara PKINK pula memperoleh hasil tribute sebanyak RM39.86 juta, selain CMNM Mining turut menyumbang melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM1 juta setahun kepada tabung pendidikan negeri.

Menerusi Kelantan Gold Trade Sdn Bhd (KGTSB) satu platform Dinar Dirham elektronik telah disediakan bagi kemudahan orang ramai pelanggan untuk melakukan urusan membeli atau menukar ringgit mereka kepada syiling emas Dinar atau perak Dirham.

Transaksi secara digital ini membolehkan pembelian dan penjualan secara lebih efektif dengan realiti masa kini, sama ada pelanggan mahu memperolehi dalam bentuk fizikal atau menyimpannya di peti simpanan keselamatan berinsurans.

Menariknya, pihak KGT turut menawarkan peluang menjana pendapatan bagi mereka yang memperkenalkan pelanggan baharu dengan bayaran komisen RM3 bagi setiap akaun.

Pengenalan Dinar Dirham ini bukan baharu, ia telah diperkenalkan kepada awam sejak tahun 2010 lagi oleh KGTSB yang merupakan milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), hasil cetusan Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Legasi untuk memartabatkan kembali sistem ekonomi sunnah dengan penggunaan Dinar dan Dirham ini diteruskan pula kini oleh Dato’ Bentara Kanan Ustaz Haji Ahmad Yakob iaitu Menteri Besar Kelantan sekarang.

Setakat ini KGTSB mengeluarkan tiga produk utama iaitu Dinar Emas (917), Dirham Perak (999) dan Wafer 1 gram Emas (999) di mana sejak tahun 2015 lalu ciri-ciri keselamatan lebih terjamin seperti sijil ketulenan dan nombor siri dicetak pada dinar tersebut telah dilaksanakan.

Dinar Dirham Kelantan tersebut menjadi satu antara banyak kebanggaan diperkenalkan negeri ini yang tiada inisiatif seumpama dari negeri dan kebanyakan negara dunia lainnya.

Malah, ia seolah menjadi satu identiti kerana sinonim dan masyhurnya rakyat Kelantan dengan emas sama ada berupa pemakaian ‘menonjol’ oleh kaum wanita Cik Siti Wan Kembang di sini mahupun kewujudan banyak premis jualan emas di negeri ini.

Bahkan, banyak juga premis seumpama di negeri-negeri lain dalam kalangan Bumiputera terutamanya adalah dalam kalangan anak jati Kelantan yang merantau berhijrah dan bertebaran mencari rezeki.

Kerajaan Negeri Kelantan juga dalam perkembangan lain turut berusaha meningkatkan hasil perlombongan di negeri ini antaranya melalui penubuhan Makmal Geokimia Negeri Kelantan untuk mengenal pasti bahan galian dan mineral baharu. 

Dari kajian dibuat oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) iaitu Airborne Geophysical Survey In the East Coast Economic Region menemui beberapa bahan mineral baharu yang diklasifikasikan sebagai mineral nadir bumi (REE) dan berpotensi diusahakan akan datang.

DR SHAHID IZANI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 19/9/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah, emas, dinar dan mineral galian di Kelantan adalah anugerah Allah! Semoga rakyat membangun bersama Islam.

Bukannya dominasi DAP yang mengancam perpaduan kaum dan toleransi agama di negara ini.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

3 comments:

Unnamed said...

UMNO-PAS: Siapa Goda Siapa Atau Asmara Dana?
A Kadir Jasin
SAYA adalah antara ramai wartawan yang hadir di perhimpunan di Kuala Lumpur, kalau tidak silap pada 13 Disember 1977, apabila Allahyarham Tun Hussein Onn mengumumkan pemecatan Parti Islam SeMalaysia (PAS) daripada Barisan Nasional (BN).
Dan saya juga hadir membuat liputan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Kelantan, Allahyarham (Datuk) Mohamad Nasir, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Baru bulan sebelumnya.
Mohamad Nasir seorang pemimpin popular PAS yang disayangi Umno tetapi dibenci oleh partinya sendiri. Dia dianggap terlalu rapat dengan Umno sehingga membelakangi partinya sendiri.
Dalam undi tidak percaya itu, kesemua 20 Adun PAS menentang beliau manakala kesemua 13 Umno dan seorang MCA menyokong beliau.
Mohamad Nasir disokong Umno ditolak PAS
Kerajaan pusat menggunakan tunjuk perasaan di Kota Baru dalam bulan November bagi mengisytiharkan darurat yang sekali gus menendang keluar kerajaan yang dipimpin oleh PAS.
Darurat diisytiharkan pada 8 November 1977.
Apabila darurat ditarik balik dan pilihan raya negeri diadakan pada tahun 1978, PAS kalah teruk dan BN di bawah kelolaan Tengku Razaleigh Hamzah mengambil alih.
Dalam bahasa yang mudah, PAS kena main dengan Umno selepas kematian Abdul Razak.
Pada mulanya PAS menyertai kerajaan campuran pimpinan Perikatan atas inisiatif Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1972. Perikatan bertukar menjadi BN pada tahun berikutnya.

Unnamed said...

Hussein Tendang PAS
Tidak seperti birasnya Abdul Razak, Hussein bukanlah pemimpin popular dan disegani. Beliau menjadi Perdana Menteri secara kebetulan akibat kematian Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman.
Beliau kurang sabar dengan tindak-tanduk politik PAS dan kalah kepada Presiden PAS waktu itu, Allahyarham (Tan Sri) Mohamad Asri Muda di segi kewibawaan dan karisme.
Tun Abdul Razak (kiri) percaya kepada Asri (kanan) - RUJUK GAMBAR
Alasan tersurat penyingkiran PAS daripada BN ialah ia telah mengkhianati kerjasama dengan BN, khususnya Umno. PAS pula membantah perisytiharan darurat di Kelantan.
Tetapi sebab tersirat ialah Umno berasa terancam dengan perluasan pengaruh PAS, khususnya ke rancangan-rancangan tanah Felda.
Abdul Razak, arkitek BN, begitu ikhlas dalam kerjasama dengan PAS bagi memperkukuhkan perpaduan Melayu-Islam sehingga sanggup memberi jawatan penting Menteri
Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah kepada Asri.
Pelantikan itu tidak disukai oleh ramai pemimpin Umno kerana ia memberi peluang kepada Asri mendekati peneroka Felda yang terletak di bawah kementerian tersebut. PAS secara agresif membuka cabang dan ranting di rancangan Felda.
(Allahyarham ayah saya, walaupun penyokong tegar Umno, menjadi kawan baik Ahli Parlimen PAS bagi Kota Setar Selatan, Allahyarham (Datuk) Abu Bakar Omar. Abu Bakar dilantik Timbalan Menteri Kesihatan dan ayah kerap mengunjungi beliau di Kuala Lumpur.)
Tetapi bukan semua orang Umno dan PAS muhibah macam itu. Majoriti di kedua-dua belah pihak saling tidak percaya mempercayai dan ramai pemimpin Umno marah apabila tempat mereka dalam Parlimen, Kabinet dan Exco negeri diisi oleh wakil PAS.
Hal ini pasti berulang jika PAS bergabung dengan Umno dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. Soal di mana Umno dan PAS bertanding akan menjadi masalah besar, khususnya di kalangan panglima-panglima perang Umno (warlords), yang menjadi kaya raya kerana pilihan raya.
Ahli dan penyokong akar umbi kedua-dua buah parti tentu mendapati sukar untuk menjalin muhibah apatah lagi saling sokong-menyokong setelah bermusuhan sekian lama atas dasar bahawa Umno adalah kafir mengikut “fatwa” Presiden Pas (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang sendiri.

Unnamed said...

Panduan Sejarah
Selepas kematian Abdul Razak pada 14 Januari 1976, golongan anti-PAS dalam Umno dan “old guards” yang benci kepada “Young Turks” dalam pentadbiran Abdul Razak telah memaksa Hussein untuk bertindak.
Hussein tidak berdaya melawan kehendak mereka. Antara anggota kumpulan ini adalah “Singa Umno” Allahyarham Syed Jaafar Albar dan penyokong-penyokong Allahyarham (Datuk) Harun Idris yang dipenjarakan.
Hussein yang tidak berkongsi idea revolusioner Abdul Razak telah melakukan tiga tindakan radikal. Pertama menahan beberapa orang “young Turks” serta anggota kabinet dapur Abdul Razak di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), memenjarakan Harun atas tuduhan rasuah dan menendang keluar PAS.
PAS menjadi begitu terdesak setelah ditendang keluar sehingga sanggup berjinak-jinak dengan DAP dalam PRU 1978. Itu pun PAS hanya menang lima daripada 87 kerusi parlimen dan sembilan kerusi DUN daripada 203 yang ditandinginya manakala DAP menang 15 kerusi Parlimen dan 25 kerusi DUN.
Natijahnya kerjasama dengan Umno memakan diri bagi PAS.
Tetapi mungkin ramai pemimpin, ahli dan penyokong PAS hari ini tidak sedar sejarah hitam ia dijadikan mangsa oleh Umno antara tahun 1972 dan 1977. Umno hampir-hampir berjaya menghancurkan PAS.
Persoalannya, kalau Asri yang cukup berpengaruh dan pintar berpolitik itu pun masih boleh dipermainkan oleh Umno, adakah kepemimpinan PAS yang ada hari boleh mengelakkan PAS daripada sekali lagi dijadikan ulam oleh warlords Umno?
Kalau Abdul Razak berjaya memikat hati PAS dengan idealisme perpaduan Melayu-Islam, apakah landasan yang akan digunakan oleh Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil Mohd Najib Abdul Razak dalam impiannya berkongsi ranjang dengan Abdul Hadi?
Adakah beliau juga akan menggunakan jargon perpaduan Melayu-Islam sebagai pemikat hati atau beliau akan (atau telah) menggunakan kaedah yang lebih praktikal iaitu “cash is king”?
(Sarawak Report telah menuduh PAS menerima RM90 juta daripada Mohd Najib. PAS berang dan ancam saman SR, tetapi telah ditarik balik dengan membayar SR sebanyak RM1.9 juta bagi membatalkan saman terhadapnya !)
Atau adakah kita sedang melihat godaan berahi Umno ke atas para agamawan PAS setelah parti itu menendang keluar golongan bukan ulama dalam muktamar 2015?
Mungkin Umno berasa lebih mudah menggoda iman politik golongan agama yang hari ini memonopoli kepemimpinan PAS daripada zaman PAS mempunyai ramai pemimpin bukan ulama.
Apatah lagi Umno dan PAS sekarang sudah menjadi burung sebulu yang perlu bersatu – Umno diasak oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia manakala PAS oleh Parti Amanah Negara.
Umno tahu PAS terdesak untuk mempertahankan Kelantan dan PAS tahu Umno terdesak untuk mempertahankan Parlimen. Jadi tidak hairan kalau mereka rujuk semula secara Cina buta.
Wallahu'alam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails