Friday, May 27, 2022

PM berusaha martabatkan bahasa Melayu. &DHPP

 

Pameran barangan China seperti tulisan khat pada pinggan hiasan menarik perhatian sempena Simposium Pengantarabangsa Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka, awal minggu ini

1. Bahasa Melayu bantu perkukuh persahabatan China-Malaysia 

ANTARA banyak negara di dunia yang menawarkan kursus bahasa Melayu, China adalah sebuah negara yang amat penting dalam mengembangkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu varian Tanah Melayu di persada dunia.

Seperti yang diketahui umum, hubungan China dan Malaysia bermula 2,000 yang lalu sejak Dinasti Han dan mencapai kemuncaknya ketika pemerintahan Dinasti Ming di China dan Kesultanan Melaka.

Selepas merdeka, Malaysia menjalinkan hubungan rasmi dengan China pada tahun 1974.

Perhubungan diplomatik antara China-Malaysia telah diangkat tarafnya sebagai "Perkongsian Strategik Komprehensif" semasa lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada tahun 2013.

Secara keseluruhannya, perhubungan dua hala ini berkembang dengan positif sekaligus mendorong perkembangan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di China.

Pada hakikatnya, seawal 1960-an, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu telah mula membenih di China.

Pada tahun 1962, Beijing Foreign Studies University (BFSU) merupakan universiti pertama yang menawarkan kursus bahasa Melayu di China dengan Profesor Wu Zongyu sebagai pengasas dan perintisnya.

Usaha murni ini telah menjadi titik permulaan bagi penawaran dan perkembangan kursus bahasa Melayu di China dan hingga kini, institusi pengajian tinggi di seluruh China yang menawarkan Program Ijazah Bahasa Melayu telah mencecah 13 buah membabitkan 11 universiti dan dua kolej.

Menurut statistik setakat Mei tahun ini, sejumlah 41 orang pensyarah China dan tujuh orang pakar asing dari Malaysia menjadi tenaga pengajar di 13 institusi pengajian tinggi China.

Sejumlah 457 orang siswa peringkat sarjana muda dan enam orang sarjana sedang belajar di kampus.

Sejumlah 965 orang lepasan peringkat sarjana muda dan 10 orang sarjana berjaya menamatkan pengajian masing-masing dalam tempoh 60 tahun ini.

Pencapaian Perkembangan Program Ijazah Bahasa Melayu di China

Secara umumnya, program pengajian Melayu di China berfokus pada pengajaran bahasa dan persuratan Melayu, bermatlamat untuk memupuk individu yang mahir menguasai kebolehan mendengar, bertutur, memahami dan berkebolehan menterjemah apa sahaja bahan yang berkaitan dengan bahasa Melayu.

Di samping itu, jurusan-jurusan bahasa Melayu di China tidak terhad kepada kajian bahasa Melayu sahaja, sebaliknya merangkumi kajian kebudayaan dan kemasyarakatan Melayu.

Harus ditegaskan bahawa pencapaian dan kejayaan melahirkan graduan jurusan bahasa Melayu yang bermutu tinggi di China adalah berkait rapat dengan bantuan dan sokongan berterusan yang amat berharga daripada pihak-pihak Malaysia yang terlibat serta kerjasama erat yang terjalin antara kedua-dua pihak, misalnya Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia ke China serta institusi-institusi pengajian tinggi Malaysia tempatan, misalnya UM, UKM, USM, UITM dan sebagainya.

Sebagai perkongsian kejayaan pelajar, setakat ini, siswa-siswi jurusan bahasa Melayu di China pernah mendapat johan dua kali, naib johan lima kali dan tempat ketiga satu kali dalam sejumlah 14 sesi Pertandingan Pidato Antarabangsa Piala Perdana Menteri. Inilah salah satu bukti kejayaan pendidikan program pengajian Melayu di China.

Detik-detik Bersejarah Penting dalam Perkembangan Pengajian Melayu di China

Dalam tempoh masa 60 tahun, iaitu sejak pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di China mula membenih, berakar, bertumbuh sehinggalah berbuah dengan subur, terdapat beberapa detik bersejarah penting yang bukan sahaja menandakan pencapaian perkembangan bahasa Melayu di China, tetapi juga menjadi lambang kepada hubungan ilmiah dan pendidikan antara China dan Malaysia.

Yang pertama ialah penubuhan Pusat Pengajian Melayu China. Pada 20 Jun 1997, Pusat Bahasa Melayu ditubuhkan di BFSU sebagai hasil persetujuan antara kerajaan Malaysia dan kerajaan China untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan, khususnya tentang pengajaran bahasa Melayu di China.

Perasmian pusat ini disaksikan bersama oleh kedua-dua orang Menteri Pendidikan China dan Malaysia pada ketika itu, iaitu Tuan Zhu Kaixuan dan Datuk Seri Najib Razak.

Pada 1 September 2005 pula, Pusat Bahasa Melayu BFSU dinaikkan taraf menjadi Pusat Pengajian Melayu China. Sejak ditubuhkan, Pusat Pengajian Melayu China telah berfungsi sebagai pangkalan kegiatan ilmiah dan pengembangan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di China.

Detik bersejarah yang kedua ialah penubuhan Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China di BFSU. Pada awal tahun 2007, secara rasminya Kursi itu telah ditubuhkan dengan Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dilantik sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu China yang pertama dan yang ketiga, manakala Prof Datuk Dr Mohd Taib dilantik sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu China Kedua oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Kursi yang mula berfungsi pada awal tahun 2008 ini berperanan memperkenalkan bidang-bidang baharu dalam pengajian Melayu, meningkatkan program ilmiah pada peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan, melaksanakan penyelidikan dan penerbitan, serta membantu penubuhan dan peneguhan program bahasa dan juga pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi di China.

Satu lagi detik bersejarah ialah penubuhan Sekretariat Penggerak Pengajian Melayu China (SPPMC). Pada 4 Januari 2019, dengan bantuan dan sokongan Education Malaysia Beijing, Kedutaan Besar Malaysia ke China, Mesyuarat Meja Bulat Perkembangan Jurusan Bahasa Melayu di China Kali Pertama berjaya diadakan di BFSU.

SPPMC telah ditubuhkan dalam mesyuarat ini bertujuan untuk menggalakkan komunikasi dan kerjasama antara institusi-institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus bahasa Melayu di China, di samping memperkukuh hubungan kerjasama dalam bidang pendidikan dan kebudayaan antara China dan Malaysia.

Kesimpulan

Kini, kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sedang berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu di rantau Asia Tenggara khasnya dan di arena antarabangsa amnya.

Usaha-usaha Kerajaan Malaysia seperti ini akan menjadikan bahasa Melayu berkembang menjadi bahasa ilmu yang lebih hebat dan bahasa berwibawa lagi berpengaruh di peringkat antarabangsa.

Pepatah Melayu berkata, "Bersekutu bertambah mutu", kami yakin bahasa Melayu akan mempunyai masa depan yang lebih cemerlang dengan kerjasama kita semua. Persahabatan China-Malaysia juga akan terus diperkukuh dengan perkembangan pengajian Melayu di China.

Penulis:

1. Prof Dr Su Yingying @ Suria, Dekan Institusi Pengajian Asia, Beijing Foreign Studies University

2. Dr. Han Xiao @ Indah, Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Institusi Pengajian Asia, Beijing Foreign Studies University

(BH)


2. PAS Selangor serius memperkasakan DHPP 

TANGGAL 23 Mei lalu merupakan ulangtahun Dewan Himpunan Pendukung PAS atau DHPP yang ke 12. Sayap yang menghimpunkan aktivis dan penyokong NonMuslim PAS ini dirasmikan penubuhannya di Negeri Selangor oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Pejabat Tanah Daerah Klang pada 23 Mei, 2010.

Ternyata Selangor menjadi pangkalan menghimpunkan kekuatan pendukung PAS dari kalangan Non-Muslim yang bersungguh dan ikhlas mahu menyumbang ke arah kejayaan dan kemenangan PAS. Selangorlah antara negeri yang paling ke hadapan mengiktiraf dan menghargai peranan serta sumbangan anggota DHPP nya sehingga mencalonkan mereka menjadi calon Pilihan Raya Umum dalam PRU ke 14, melantik mereka sebagai ahli-ahli Majlis PBT semasa PAS di dalam kerajaan dan kini melantik mereka sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Klinik Kesihatan.

Setelah 12 tahun bertapak di Selangor, PAS Selangor kini telah menubuhkan Sekretariat Khas DHPP yang dipengerusikan oleh Timbalan Pesuruhjaya 1, Tuan Mohd Shafie Ngah untuk memperkasakan lagi peranan DHPP di Selangor agar dapat berperanan membawa kejayaan kepada PAS dalam PRU akan datang. Ianya dianggotai oleh kesemua Ketua dan Setiausaha DHPP Kawasan-kawasan selain Setiausaha PAS Kawasan-kawasan.

Sekretariat Khas ini dengan kerjasama pimpinan DHPP Kawasan-kawasan bertanggungjawab memastikan DHPP Kawasan-kawasan sentiasa berkerjasama dengan Yang Dipertua dan PAS Kawasan-kawasan bagi menjayakan program dan aktiviti PAS khasnya di kalangan Non-Muslim.

Usaha serius dibuat untuk memastikan DHPP Kawasan-kawasan sentiasa bergerak selaras dengan Aturan dan Peraturan DHPP, memastikan keahliannya melalui proses yang telus, kewangannya diuruskan dengan cekap dan menyokong aktiviti dan program mereka.

PAS Selangor beriltizam menjadikan DHPP Selangor wadah yang kukuh yang mampu berperanan menarik seramai mungkin penyokong PAS di kalangan NonMuslim menginsafi keadaan masyarakat berbilang kaum di sini.

Sehingga kini Sekretariat Khas ini dengan kerjasama PAS kawasan-kawasan telah berjaya mensahihkan kewujudan 10 DHPP Kawasan iaitu di Kuala Langat, Hulu Langat, Puchong, Bangi, Pandan, Sg Buloh, Kota Raja, Gombak, Sepang dan Kuala Selangor. Di kawasan-kawasan lain, usaha giat sedang dilakukan untuk membimbing agar DHPP kawasan dapat diwujudkan dengan Shah Alam dijangka menjadi kawasan ke 11 dalam waktu terdekat. Sasarannya agar Selangor dapat menghidupkan kesemua 22 DHPP kawasan menjelang PRU ke-15.

Dari 10 DHPP Kawasan yang diuruskan oleh Sekretariat Khas ini, seorang Ketua DHPP dari kalangan masyarakat Cina telah dilantik di Kota Raja iaitu Sdr. Low Lee Leong manakala seorang Wanita iaitu Puan Sarojini mengetuai DHPP Gombak.

Adalah menjadi hasrat Pesuruhjaya PAS Selangor serta seluruh Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Selangor agar dengan pemerkasaan DHPP di Selangor ini, masyarakat NonMuslim tidak akan teragak-agak untuk menyokong dan memberi undi kepada PAS dalam PRU 15 nanti. Selamat meraikan ulangtahun penubuhan ke 12 kepada semua pimpinan dan ahli DHPP Selangor dan seluruh Malaysia.

ROSLAN SHAHIR DATO’ MOHD SHAHIR
Setiausaha Sekretariat Khas DHPP Selangor
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 25/5/2022 

Perhatian: No telefon Ibnu Hasyim.com terkini 014-400 2015

3 comments:

Anonymous said...

Bila PM tk fasih bahasa inggris, nk tuko ckp mlyu, bila PM pandai bahasa inggis, smua nk tuko ke bahasa inggris smpi nama, daerah smua tuko..
Yg PM tk pandai bahasa inggris tu amik sijil beli ke masa amik law..

Anonymous said...

Bagus angkat bahasa Melayu.

Tapi jgn sbb x pandai bahasa lain.

Anonymous said...

Muhammad al-Fatih kuasai 6 bahasa

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails