Monday, April 18, 2022

Islamofobia pelajar Muslim di AS, & M'sia rangka tindakan..

 

1. Ramai pelajar Muslim di AS mangsa buli Islamofobia

HOUSTON: Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) mengakui sikap dan pandangan berkaitan kebencian terhadap umat Islam atau Islamofobia masih wujud dan berleluasa di sekolah awam di Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan terkini CAIR, dalam temu bual bersama 700 pelajar Muslim di sekolah di negeri California mendapati berlaku masalah buli, gangguan dan diskriminasi oleh rakan-rakan dan orang dewasa, termasuk guru, atas sebab pegangan agama mereka.

"Pelajar Muslim pelbagai umur dipulaukan dan diberi layanan buruk oleh kerana pegangan agama mereka dan tanggapan salah yang mengaitkan mereka dengan serangan 9/11 dan aksi-aksi keganasan lain," kata Peguam Hak Sivil CAIR di California yang menjalankan kajian tersebut. Amr Shabaik.

"Selalunya, kejadian sedemikian dilihat dalam pelajar itu dibuli pelajar-pelajar lain, kurangnya langkah-langkah pencegahan dan laporan oleh pegawai sekolah dan latihan untuk guru tentang cara menjadi pengantara serta menangani insiden buli berbaur keagamaan dan perkauman," katanya kepada agensi berita Agensi Anadolu.

Menurut laporan itu hampir separuh pelajar atau 47.1 peratus, dibuli kerana beragama Islam. Jumlah itu lebih sekali ganda purata nasional yang dilaporkan, iaitu 20 peratus.

"Saya sering dipanggil Osama bin Laden oleh lelaki yang selalu memberitahu saya yang saya kelihatan "cantik ,eletup" dengan menekankan perkataan meletup," kata seorang pelajar perempuan yang berusia 18 tahun dari Brentwood yang ditemu bual untuk kajian berkenaan.

Lebih setengah daripada responden atau 55.73 peratus, berasa tidak selamat, tidak diterima atau tidak selesa di sekolah oleh kerana identiti Muslim mereka.

Itu adalah tahap yang paling tinggi dilaporkan sejak CAIR-California mula menjalankan kajian mereka pada 2013.

Laporan itu juga mendapati satu pertiga pelajar atau 30.12 peratus, yang memakai hijab melaporkan tudung mereka pernah ditarik atau dipegang dengan cara yang menyinggung perasaan.

"Ramai meluahkan kata-kata kesat kerana saya seorang Muslim.

"Mereka mengejek saya dan mencaci Islam. Hijab saya pun pernah ditarik oleh rakan sekelas tanpa sebab," kata seorang wanita yang berusia 18 tahun dari Redwood.

Selain itu, laporan tersebut mendapati bahawa hampir sepertiga pelajar mengalami atau menyaksikan pembulian siber.

Satu daripada dapatan kajian yang lebih membimbangkan ialah hampir suku responden atau 23.5 peratus, melaporkan bahawa seorang guru, pentadbir atau orang dewasa lain di sekolah mereka meluahkan kata-kata kesat mengenai Islam atau umat Islam.

Pengarah Bersekutu di Institut Boniuk bagi Toleransi Keagamaan di Universiti Rice, Profesor Zahra Jamal, memberitahu Agensi Anadolu bahawa perbuatan buli dan sifat perkauman mempunyai pelbagai kesan termasuk emosi, fizikal dan juga kesan sosial.

"Segelintir anak muda Muslim mengalami keresahan, kemurungan, sukar tidur dan keyakinan diri yang rendah, manakala ada juga rasa mereka harus pilih antara menjadi seorang rakyat Amerika atau seorang Muslim di sekolah.

"Malangnya, 55 peratus rasa tidak selamat di sekolah kerana pegangan agama mereka, 32 peratus menyembunyikan identiti Muslim mereka, manakala 20 peratus ponteng sekolah kerana tidak rasa selamat dan tidak diterima di sekolah," katanya.

Untuk mengatasi trend Islamofobia di sekolah, Profesor Zahra menekankan budaya menganggap Muslim sebagai pengganas harus berubah. - AGENSI

2. Ummah: Kerajaan rangka tindakan lebih komprehensif 

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan merangka tindakan yang lebih komprehensif untuk maslahah agama, ummah dan negara.

Beliau menyatakan demikian susulan majlis dialog bersama panel-panel pakar yang dilantik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), petang semalam.

Menurutnya, majlis berdialog dan bertukar-tukar pandangan itu melibatkan panel-panel pakar yang dilantik JAKIM dalam bidang akidah, syariah, tasawwuf, ilmu falak dan ilmu al-Quran.

“Panel-panel pakar ini terdiri daripada tokoh akademik dan ilmuan yang banyak memberi khidmat kepakaran dalam aspek penyelidikan dan kajian di pihak JAKIM,” katanya dalam hantaran di laman sosial beliau, malam tadi.

Tambahnya, beliau memberikan sepenuh kepercayaan kepada seluruh ahli-ahli yang dilantik untuk memberikan sebarang pandangan kepada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan idea yang diberikan dalam sesi perbincangan ini dan diteruskan dengan berbuka puasa bersama,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, sudah pasti segala input yang diberikan akan diperhalusi oleh JAKIM khususnya Bahagian Penyelidikan untuk tindakan selanjutnya. 

“Insya-Allah, akan diatur lagi slot perbincangan untuk saya mendengar nasihat serta perkongsian buah fikiran ashabus samahah dan ashabul fadhilah semua, bagi kami di peringkat kerajaan merangka tindakan yang lebih komprehensif untuk maslahah agama, ummah dan negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/4/2022

Akan datang.. Selamat Hari Raya Aidilfitri..









No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails