Monday, April 18, 2022

Pesawah Kedah hanya mengambil upah.. Tangani secara Islam?

 

Mohd Mazlan dan Noor Yanti Suraya di hadapan rumah mereka yang usang di Kampung Sentosa, Pokok Sena. - NSTP/IZAD THAQIF HASSAN.

POKOK SENA: Kesempitan hidup memaksa Mohd Mazlan Zainol, 45, dan isteri serta tiga anak mereka berusia 10 hingga 14 tahun, mendiami rumah sempit di Kampung Sentosa, dekat sini, sejak 12 tahun lalu.

Namun, pesawah yang turut mengambil upah melakukan kerja kampung itu bersyukur kerana isteri, Noor Yanti Suraya Ramli, 40, bersama dua anak lelaki serta seorang anak perempuan, tidak pernah sesekali merungut walaupun hidup serba kemiskinan.

Kata Mohd Mazlan, rumah mereka sekarang dibina bersama bapanya 12 tahun lalu dengan modal RM3,000 disumbangkan ahli keluarga bagi membeli bata serta papan untuknya membawa isteri dan anak sulung yang ketika itu berusia dua tahun berpindah dari rumah pusaka keluarga di lokasi agak jauh dan terpencil.

"Ibu pernah meminta kami tinggal bersamanya, namun isteri tidak selesa. Ibu kemudian memberi cadangan kami bina rumah tidak jauh dari situ (rumah ibu)," katanya yang ditemui pada program Ziarah Kasih Ramadan (ZIKIR) anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, hari ini.

Katanya, dalam keadaan serba kekurangan dan kekangan modal ketika itu, dia dan bapanya berjaya membina rumah didiami sekarang, namun ia kini sudah mula reput dengan kayu dimakan anai-anai dan dinding diperbuat daripada zink juga sudah rosak.

"Ketika itu, saya hanya fikir untuk beri tempat berteduh buat isteri dan anak. Selepas rumah terbabit siap, anak kedua saya dilahirkan disusuli anak bongsu dua tahun kemudian. Lama kelamaan, semua anak sudah besar dan rumah juga hanya tunggu masa untuk roboh, namun kami terpaksa tinggal di sini kerana tiada pilihan," katanya.

Menurutnya, rumah terbabit hanya mempunyai satu bilik tidur dan setiap malam, isteri serta anak perempuannya akan menumpang tidur di rumah jiran mereka yang juga seorang wanita warga emas.

"Secara kebetulan, jiran itu tinggal berseorangan dan dia bayar isteri saya RM15 setiap malam kerana menemaninya. Saya anggap itu rezeki kerana wang terbabit sedikit sebanyak dapat membantu menampung hidup kami.

"Hasil bersawah tidak menentu, malah ia juga akan dikongsi dengan ahli keluarga lain. Saya turut ambil upah meracun atau potong rumput di kawasan sekitar," katanya yang akan menyimpan wang diperoleh untuk perbelanjaan sekolah anak-anak berbanding perkara lain.

Walaupun dihimpit kemiskinan, dia yang turut menerima bantuan RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bersyukur kerana anak-anak tidak pernah merungut malah mereka menjadi penghibur ketika di rumah.

"Sebagai suami dan bapa, saya memang sedih kerana gagal menyediakan tempat lebih selesa buat keluarga, namun mujur mereka faham. Malah, hampir setiap hari saya akan berpesan kepada anak supaya beri tumpuan kepada pembelajaran demi masa depan kerana tidak mahu mereka susah seperti saya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pembangunan Negeri Kedah, Mohamad Zaini Mohamud, berkata pihaknya dimaklumkan yang permohonan Mohd Mazlan untuk membina rumah melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) berhampiran kediaman sekarang bakal diluluskan dalam tempoh terdekat.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Adakah negeri Kedah sedang mengambil iktibar dari sejarah Khalifafah Umar Al-Khattab dalam menangani rakyat miskin? Mudah-mudahan, insya Allah!

Umar Al-Khattab Merayu Pada Wanita Miskin Agar Jangan Dirinya Didakwa Di Akhirat Kelak.

Kita telah biasa membaca kisah Saidina Umar bin Al-Khattab r.a ketika menjadi khalifah (pemimpin negara) dengan seorang ibu miskin yang hanya memasak batu kerana anaknya kelaparan.

Tetapi pernahkah kita (yang menjadi pemimpin) ambil pengajaran dari kisah tersebut? Saidina Umar r.a seorang yang bekerja keras dan teliti kerana beliau seorang hamba Allah yang sejati.

Seorang khalifah (pemimpin negara) mestilah mengambil berat tentang umat Islam di dalam negaranya, seperti seorang ayah yang mengambil berat tentang anak-anaknya. Saidina Umar r.a. cuba sedaya upaya untuk berbuat demikian.

Di waktu siang pula beliau biasanya bekerja di rumah. Di waktu malam pula beliau sering keluar melakukan rondaan ke bandar Madinah dan kawasan persekitaran untuk melakukan siasatan sendiri. Beliau ingin mengetahui keadaan sebenar rakyat jelata dibawah kerajaan pimpinannya serta membantu setiap orang yang memerlukan bantuan.

Pada suatu malam, Umar r.a dan pembantunya Aslam telah keluar menyamar dan membuat rondaan ke suatu tempat bernama Harrah. Tiba di satu tempat di sebuah rumah kecil yang usang di pinggir desa, Umar dan Aslam mendapati ada seorang wanita dan beberapa orang anak yang sedang menangis kelaparan

Kelihatan seorang ibu yang dikelilingi anak-anaknya sedang memasak sesuatu di dalam periuk.... Wanita itu kelihatan sangat sedih manakala anak-anaknya kelihatan sangat lapar.

Sadina Umar r.a melihat terdapat sebuah periuk yang sedang menyala api di bawahnya. Fikirnya tentu ada makanan di dalam periuk itu dan sudah tentu wanita itu akan menghidangkannya dan anak-anak itu akan berhenti menangis.

Walau bagaimanapun, setiap kali anaknya menangis, si ibu akan berkata “Tunggulah sebentar,.... makanan ini sedang ibu masak...”

Saidina Umar memerhati dari jauh dan berasa hairan kerana ucapan tersebut diulangi beberapa kali... walaupun si ibu telah memasak untuk tempoh masa yang agak lama.....

Sadina Umar r.a. melihat dan menunggu sementara isi di dalam periuk itu terus mendidih tetapi wanita itu masih tidak memberikan anak-anaknya makan. Akhirnya beliau menjadi hairan.

Wanita tersebut telah mengungkit-ungkit rasa tidak puas hati kepada Pemimpin Negara (Umar r.a) kerana tidak membantunya. Saidina Umar memberanikan diri untuk menyiasat perkara tersebut,...

Beliau memberi salam dan meminta izin untuk memasuki rumah itu.... Lalu dia bertanya kepada ibu tua itu, “Mengapa anak-anak ibu tidak berhenti menangis ?..”

Dia memberitahu Saidina Umar r.a. yang mereka menangis kerana lapar. “Mengapa tidak diberikan makanan yang ibu masak dari awal tadi? ” ...Umar r.a. bertanya

'Tidakkah makanan dalam periuk itu sudah masak?' tanya Saidina Umar r.a.lagi

Wanita tersebut menerangkan bahawa dia tiada makanan untuk memberi makan pada anak-anaknya. Wanita itu menghampiri Saidina Umar r.a dan berbisik ke telinganya,

"Jangan beritahu mereka yang tidak ada makanan pun di dalam periuk itu, kerana saya tidak mempunyai wang untuk membelinya.

“Sebenarnya tidak ada makanan di dalam periuk itu.... Periuk itu hanya berisi batu untuk mendiamkan anak-anak saya.... tetapi anak-anak saya fikir tentu ada makanan di dalam periuk.  Mereka sekarang kelaparan tetapi saya terus menunggu hingga mereka letih, mereka tentu akan tertidur.

Kemudian mereka akan terlupa rasa lapar. Biarlah mereka fikir bahawa saya sedang memasak makanan... dan saya berharap supaya mereka akan berhenti menangis kerana keletihan dan tertidur.... ulangi ibu tua itu sekali lagi

Hanya dengan merebus batu dalam air dapat menenangkan anak-anaknya, dengan harapan agar nanti dapat makan apa yang dimasak oleh ibunya. Sehinggalah anak-anak itu tertidur.  Setelah anak-anaknya tidur, wanita itu menerangkan kepada Saidina Umar r.a yang suaminya baru sahaja meninggal dunia.

Itulah sebabnya dia tidak mempunyai duit untuk membeli makanan. Malangnya orang yang menguruskan Baitul Mal tidak tahu akan kesusahan yang ditanggung oleh wanita itu. Jika mereka tahu, tentunya mereka akan menolong.

“Apakah ibu sering berbuat begini ?” Tanya Umar ingin tahu.

“ Benar,... Saya hidup sebatang kara.... tidak memiliki saudara-mara dan suami tempat bergantung.” Jawab ibu tadi dengan nada kesal sambil berusaha menyembunyikan keperitan hidupnya.

Kemudian,Saidina Umar r.a, yang merasa kasihan dengan wanita miskin itu berkata: "Kenapa ibu tidak adukan perkara ini kepada khalifah  Bukankah beliau boleh membantu dengan memberikan wang dari Baitulmal ?... dengan cara itu akan dapat membantu meringankan kehidupan ibu dan anak-anak.” nasihat Umar... "Aku seorang perempuan" jawab wanita itu. “Khalifah telah berbuat zalim pada kami anak-beranak…” kata si ibu lagi

Terkejut Saidina Umar mendengarkan ucapan Ibu tua itu tadi, “ Bagaimana khalifah telah berbuat zalim pada ibu ?...terangkan kepada saya.. Saidina Umar ingin tahu.

“Saya sangat kesal dengan pemerintahannya.... Beliau seharusnya melihat keadaan rakyatnya dalam kehidupan nyata,..... terdapat ramai lagi orang yang senasib dengan saya...”

Umar langsung menangis teresak esak mendengar keluhan wanita tersebut sehingga airmata beliau membasahi jubahnya. Selesai mendengar cerita sedih wanita tersebuat, beliau terus bingkas bangun keluar daripada rumah wanita miskin tersebut dan berlari ke Baitul Mal dan memasukkan tepung, daging dan gula ke dalam sebuah karung.

Sebaik sahaja beliau hendak membawanya balik kepada wanita itu, salah seorang suruhannya menawarkan diri untuk membawakan karung itu.

"Biar aku sendiri yang membawa karung ini." kata Saidina Umar r.a."Adakah engkau sanggup memikul dosa2 ku di akhirat kelak?" "Di hari pengadilan nanti engkau tidak akan dapat memikul bebanan-bebanan aku, jadi tidak ada sebab kenapa engkau mesti membawanya hari ini."sambungnya lagi.

Khalifah memikul karung yang sarat berisi makanan itu ke rumah wanita tersebut. Bila beliau sampai, beliau sendiri yang memasakkan makanan untuk anak-anak itu dan malah beliaulah yang memberi mereka makan. Ibu tua tersebut menyatakan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Saidina Umar r.a.

Sebaik sahaja beliau hendak meninggalkan rumah itu, wanita itu berkata kepadanya, "Engkaulah yang sepatutnya menjadi khalifah, bukannya Umar r.a.. Engkau baik, murah hati dan faham perasaan orang. Itulah sepatutnya yang ada pada seorang khalifah (pemimpin negara)."

Dia tidak tahu bahawa yang menolongnya itu adalah Khalifah Umar. Keesokannya Saidina Umar telah memanggil Ibu tua itu untuk datang menghadapnya... Alangkah terkejutnya Ibu tua itu apabila melihat Khalifah zalim yang disangkakan-nya itu adalah sebenarnya Lelaki yang datang membantunya pada malam tadi.....

"Puan", kata khalifah, "Akulah Umar . Adalah kesalahan aku kerana tidak mengetahui kesusahan engkau. Tetapi sekarang anak-anakmu telahpun makan dan dapat tidur dengan sukacita.

Aku juga telah mengatur mulai hari ini, Baitul Mal akan memberi sumbangan kepada engkau supaya engkau dapat menyara mereka secara sempurna sehinggalah mereka dewasa."

Khalifah Umar telah menghadiahkannya wang serta segala keperluan hidup, dan merayu kepadanya supaya berjanji untuk tidak MENDAKWANYA di hadapan Allah Azza wa Jalla di akhirat kelak.

Sekian.

1 comment:

Anonymous said...

Jika anda mendapati anda menjadi mangsa penipuan, bertenang dan kumpulkan semua dokumen dan maklumat yang anda ada kaitan dengan transaksi tersebut. Jika anda menggunakan kad kredit, anda mungkin boleh mendapatkan semula beberapa kerugian anda melalui bank atau syarikat kad kredit anda. Dengan syarat penipu boleh dikesan dan didakwa melakukan jenayah. Anda juga mungkin boleh mendapatkan kembali wang anda melalui pindahan wang melalui bank dan Bitcoin dan Syiling lain apabila anda Melalui saluran undang-undang yang dipercayai yang terbaik dalam bidang yang saya maksudkan dengan Lallroyal .org daripada cuba mendapatkan semula wang anda sendiri.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails