Saturday, February 19, 2022

3 senario: Konflik Barat-Rusia di Ukraine.

 


SABAN hari paluan gendang perang semakin kuat berkumandang di Ukraine. Apa sahaja boleh berlaku samada konflik bersenjata yang mampu mengakibatkan peperangan besar-besaran atau penyelesaian dengan cara diplomasi yang mampu meredakan ketegangan yang sedang berlaku ketika ini.

Sehingga saat ini keadaan masih lagi tegang dan kedua-dua belah pihak tidak berganjak daripada pendirian masing-masing. Pertikaman lidah antara Rusia dan Barat yang terus berpanjangan menunjukkan senario peperangan boleh berlaku samada dalam skala kecil mahupun besar-besaran.

Daripada pengamatan saya mengikuti perkembangan semasa konflik Barat-Rusia, terdapat tiga senario yang bakal atau berkemungkinan berlaku:

Pertama: Perang besar-besaran

Ini adalah senario paling buruk yang berkemungkinan boleh berlaku dan ianya bukanlah mustahil melihat kepada provokasi berterusan oleh Barat terhadap Rusia. Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dalam satu temuramah dengan NBC News pada 7 Februari apabila ditanya adakah tentera Amerika Syarikat akan menyelamatkan warganegaranya jika berlaku peperangan di Ukraine, beliau menjawab tidak, kerana apabila tentera Amerika Syarikat dan Rusia mula menembak ke atas satu sama lain, ia adalah “perang dunia“.

Jawapan Joe Biden tersebut secara jelas memberikan bayangan bahawa jika perang berlaku di Ukraine antara Rusia dan Barat, ia dinisbahkan sebagai perang dunia iaitu perang dunia ketiga di mana ia berkemungkinan akan merebak ke negara-negara lain di seluruh dunia mahupun mencetuskan perang besar dalam konflik-konflik yang lain seperti di Laut China Selatan dan Asia Barat.

Dalam masa yang sama, Presiden Rusia Vladimir Putin juga tidak berganjak dengan pendiriannya yang meletakkan kemasukan Ukraine ke dalam pakatan NATO sebagai garisan merah yang mengancam keselamatan Rusia sebagaimana yang saya ulaskan dalam artikel terdahulu pada 30 Januari lepas.

Rusia mengambil langkah proaktif apabila Vladimir Putin mengadakan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping ketika pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk di Bejing baru-baru ini dan mendapat sokongan China dalam konflik yang berlaku ketika ini. Ia seterusnya memberikan bayangan bahawa Amerika Syarikat bukan sahaja berhadapan dengan Rusia di Ukraine bahkan dalam masa yang sama berkemungkinan bakal berhadapan dengan China di Laut China Selatan. 

Namun ada yang berpandangan sebaliknya, iaitu kebarangkalian pertembungan antara Amerika Syarikat dan Rusia adalah jauh kerana keutamaan Amerika Syarikat sekarang adalah untuk mengekang penguasaan China berbanding Rusia yang masih lagi bertatih setelah kejayaan Barat mematahkan Soviet Union sehingga berkecai lebih 30 tahun yang lalu.

Akan tetapi harus diingat, kegagalan Soviet Union dahulu adalah kerana kelemahan sistem ekonominya berbanding Barat walaupun mempunyai kekuatan dari sudut ketenteraan. Rusia di era Vladimir Putin memahami aspek ini, justeru langkahnya ialah mengukuhkan kedudukan ekonomi negaranya dengan pelbagai inisiatif seperti projek mega paip gas Nord Stream 1 dan 2 ke Eropah di samping mempelbagaikan kebergantungan ekonominya seperti sektor aluminium dan pelaburan.

Pembangunan persenjataan Rusia juga menunjukkan peningkatan yang agak ketara seperti Sistem Peluru Berpandu S-400 dan jet pejuang Sukhoi SU-52 yang jauh lebih murah dan prestasinya setanding bahkan lebih baik dari teknologi Barat.

Dalam masa yang sama, Rusia juga turut mengeratkan lagi hubungan perdagangannya dengan China. Bayangkan jika Rusia dan China bergabung, sudah tentu implikasinya sangat besar terhadap Barat. Amerika Syarikat amat  memahami situasi ini kerana pertembungannya dengan China tidak sama dengan Rusia. Kekuatan yang ada pada China sekarang ini bukan sahaja pada aspek ketenteraan bahkan yang lebih merbahaya ialah kekuatan ekonominya yang bakal mengatasi Amerika Syarikat dalam beberapa tahun lagi.

Kedua: Perang diplomasi

Konflik yang berlaku berkemungkinan hanyalah perang diplomasi antara Rusia dan Barat. Kenyataan-kenyataan tajam antara kedua-dua belah pihak dilihat hanyalah permainan politik semata-mata demi meluaskan penguasaan dan mempertahankan kedudukan. Mengikut akhbar The Daily Telegraph, sebuah akhbar dari United Kingdom dalam keluaran terbaharunya menyatakan bahawa daripada konflik yang berlaku ini, Rusia telah berjaya merenggangkan hubungan antara negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat.

Jika diperhatikan, pendirian negara-negara Eropah agak berbelah bahagi antara menekan Rusia dengan mengikut telunjuk Amerika Syarikat seperti United Kingdom atau berusaha memujuk Rusia dengan jalan diplomasi seperti Jerman. Ia menunjukkan kebergantungan mereka kepada Amerika Syarikat terlalu kuat sehingga tidak mampu untuk bersatu dalam menghadapi ancaman Rusia.

Salah satu faktor utamanya ialah kerana kebergantungan negara-negara Eropah kepada Rusia sangat besar khususnya keperluan kepada gas asli. Menurut Majalah Nature, sebahagian besar negara Eropah bergantung kepada bekalan gas asli daripada Rusia dengan Kesatuan Eropah dianggarkan mengimport 40 peratus keperluan gas aslinya daripada Rusia.

Ada juga yang berpandangan bahawa ia adalah langkah politik Rusia pimpinan VladmirPutin untuk meluaskan pengaruhnya dengan mengambil peluang kelemahan Barat yang tidak sekata dalam pelbagai isu. Langkah bijak Vladimir Putin mengerahkan lebih 100 ribu bala tentera Rusia dengan pelbagai kelengkapan ke sempadan Ukraine bertujuan untuk memberikan amaran keras ke atas Barat bahawa Rusia akan mempertahankan sempadannya walau dengan apa cara sekalipun.

Ketiga: Perangkap Amerika Syarikat terhadap Rusia

Jika diperhatikan dengan teliti kenyataan-kenyataan Barat dalam konflik yang sedang berlaku, ia lebih bersifat provokasi melampau untuk mengheret Rusia supaya menyerang Ukraine sehinggakan Setiausaha Luar Amerika Syarikat, Anthony Blinken dan Penasihat Kebangsaan Keselamatan Amerika Syarikat, Jake Sullivan menetapkan tarikh pada tanggal 16 atau 20 Februari 2022, Rusia akan menyerang Ukraine.

Tujuan utamanya adalah untuk memerangkap Rusia supaya melakukan serangan sepertimana George H.W. Bush mengheret dan memerangkap Saddam Hussein untuk menyerang Kuwait pada tahun 1990 yang akhirnya membawa kepada peperangan dan juga sekatan ekonomi Amerika Syarikat dan dunia ke atas Iraq selain daripada kehancuran Iraq akibat peperangan tersebut.

Amerika Syarikat amat berhati-hati mengambil langkah untuk bertembung dengan Rusia kerana ianya tidak sama sepertimana pertembungan dengan negara-negara yang lemah seperti Afghanistan dan Iraq. Jika Rusia mengambil langkah menyerang Ukraine, maka inilah peluang Barat untuk memerangkap Rusia dengan sekatan ekonomi ala Iraq yang akhirnya akan meruntuhkan sistem ekonomi dan menyebabkan kemarahan serta kebangkitan rakyat Rusia terhadap Vladimir Putin sebagaimana yang diidamkan oleh Barat.

Dari sudut yang lain pula, konflik antara Barat dan Rusia dijangka memberi kelebihan kepada Iran yang mendapat tekanan yang sangat hebat daripada Barat dalam rundingan untuk mengaktikan semula Penjanjian Nuklear Iran 2015 yang mana ia sedang mendapat tentangan yang sangat hebat daripada negara haram zionis Israel.

Sudah terdapat tanda-tanda positif daripada kedua-dua belah pihak bahawa rundingan tersebut bakal membuahkan hasil di mana ketika ini rundingan antara Barat dan Iran sudah memasuki fasa akhir yang dijangka bakal mengurangkan atau mengakhiri sekatan ekonomi yang telah dikenakan ke atas Iran.

Konflik ini juga dijangka memberikan kelebihan kepada China terutamanya masa untuk menyusun semula strateginya untuk berhadapan dengan Barat terutamanya Amerika Syarikat dan sekutunya berkaitan krisis Laut China Selatan dan Taiwan serta perang perdagangan yang sedikit sebanyak telah merencatkan pertumbuhan ekonominya.

Namun ketika ini kelebihan dilihat terletak kepada China terutamanya dari sudut ekonomi kerana disaat ini, ganguan rantaian bekalan yang sedang berlaku di seluruh dunia hingga mengakibatkan kenaikan mendadak harga bahan keperluan mahupun komoditi akan menyebabkan kebergantungan dunia dari sudut ekonomi terhadap China lebih tinggi berikutan kemampuan China memenuhi permintaan pasaran dan kekuatan sektor perindustriannya.

Namun krisis di Asia Barat berlainan senarionya berikutan telah wujud “kelompongan kuasa“ akibat semakin pudarnya cengkaman Amerika Syarikat di rantau tersebut. Tambahan pula dengan penumpuan Amerika Syarikat dan sekutunya di Ukraine dan Laut China Selatan, dikhuatiri “kelompongan kuasa“ tersebut bakal diisi oleh regim zionis Israel yang dilihat semakin agresif melebarkan pengaruhnya terutamanya di kalangan negara-negara Teluk mahupun di Afrika.

Walaupun telah wujud ketika ini tanda-tanda kebangkitan dan penolakan terhadap pelebaran pengaruh geopolitik rejim zionis Israel di Asia Barat dan Afrika, Amerika Syarikat masih lagi mendukung dan menyokong kuat apa sahaja strategi yang dilaksana oleh rejim zionis Israel di kedua-dua rantau tersebut.

Secara logiknya, Amerika Syarikat dan sekutunya tidak mampu menangani konflik pelbagai hala dalam satu-satu masa walaupun mempunyai pelbagai kekuatan samada ekonomi dan ketenteraan. Yang paling dikhuatiri adalah kerjasama erat antara Rusia-China dan tampaknya ketika ini akibat daripada itu sudah mula wujud keretakan hubungan antara Amerika Syarikat dan sekutunya dari kalangan negara-negara Eropah.

Mampukah Amerika Syarikat dan sekutunya melemahkan Rusia mahupun China dalam usaha untuk mengukuhkan kembali kedudukan mereka sebagai kuasa utama geopolitik dunia? Dari apa yang dilihat saat ini, Rusia dan China mampu menenggelamkan Amerika Syarikat dan sekutunya sedikit masa lagi seterusnya mampu bangkit menjadi kuasa utama geopolitik dunia.

Namun jangan dilupa kuasa Dunia Islam di sebalik semua pertembungan kuasa-kuasa besar yang sedang berlaku kerana Islam adalah kuasa sedang bangkit. Jika negara-negara Dunia Islam yang mempunyai sumber kekuatan bangkit dan kemudiannya bersatu, maka ia bakal menenggelamkan semua kuasa-kuasa lain dimana ia amat ditakuti oleh Barat khususnya.

Semoga dunia aman daripada sebarang konflik yang mampu mencetuskan peperangan dan kita semua dilindungi oleh Allah SWT. 

Moga Islam mampu bangkit dan kembali menyinar di seluruh dunia.

Islam Menyatukan Umat 

Khalil Hadi

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 19/2/2022

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails