Wednesday, February 16, 2022

121 Akaun bank di S'pura dibekukan.. Teksi terbang, M'sia rancang dulu?

 

1. Skandal ‘pancing data’ OCBC: Polis bekukan 121 akaun bank

SINGAPURA: Sebanyak 121 akaun bank tempatan telah dibekukan pihak polis negara ini  setakat 13 Feb (Ahad) dalam siasatan berterusan ke atas skandal penipuan ‘pancing data khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyasarkan pelanggan bank OCBC, dan berjaya mendapatkan semula kira-kira S$2 juta (RM6.2 juta) wang mangsa.

Menteri Negara Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, Desmond Tan pada Selasa (15 Feb) berkata, sebanyak kira-kira S$2.2 juta pula dikesan telah dipindahkan ke 89 akaun bank luar negara.

Sehubungan itu, Tan dalam sidang Parlimen mengeluarkan kenyataan mengenai strategi anti-penipuan selepas hampir 800 pelanggan OCBC kehilangan wang yang kesemuanya mencecah S$13.7 juta kepada penipu yang menyamar (scammer) sebagai bank berkenaan melalui teknik pancing data SMS pada Disember 2021 itu.

Menjawab soalan Ahli Parlimen, beliau menyatakan bahawa polis telah menemui sekurang-kurangnya 107 alamat Protokol Internet (IP) tempatan dan 171 luar negara yang dikaitkan dengan akses tanpa kebenaran akaun perbankan internet mangsa.

“Banyak laman web penipuan yang digunakan dalam penipuan pancingan data itu dihoskan oleh syarikat yang berpangkalan di luar negara,” ujarnya.  

Sehubungan itu, polis sedang menyiasat alamat IP tempatan yang dikaitkan dengan penipuan dan pemilik akaun keldai wang tempatan.

“Pihak polis juga bekerjasama dengan Interpol dan agensi penguatkuasaan undang-undang asing untuk menyiasat penerima dana yang dipindahkan ke luar negara, serta hos laman web penipuan ini,” kata Tan.

Penipuan pancingan data SMS yang melibatkan OCBC berlaku di tengah-tengah peningkatan jumlah penipuan yang dilaporkan di Singapura. Pada tahun lepas, 23,931 kes penipuan dilaporkan, termasuk 5,020 penipuan pancingan data.

Teknik penipuan pancingan data melibatkan scammer yang menyamar sebagai bank melalui SMS mulai dilaporkan berlaku di Sinapura pada 2018.

Menurut Tan lagi, angka tersebut menandakan peningkatan empat kali ganda daripada 2017 apabila 5,147 kes penipuan dilaporkan, dengan 16 adalah penipuan pancingan data.

Beliau yang juga mempengerusikan Jawatankuasa Antara Kementerian mengenai Penipuan berkata, tiada laporan mengenai penipuan pancingan data yang melibatkan scammer yang menyamar sebagai bank melalui SMS pada 2017.

“Kaedah penipuan tersebut mula muncul pada 2018 dengan 91 kes, diikuti 57 kes pada 2019 dan 149 kes pada 2020. Ini meningkat lagi kepada 1,021 pada tahun lepas.

“Sehubungan itu, bagi memerangi penipuan serupa berulang pada masa depan, Perintah Anti-Penipuan akan dibentuk pada tahun ini untuk menyatukan kepakaran dalam penipuan di semua unit di bawah penguatkuasaan polis, yang dengan itu meningkatkan penyelarasan penguatkuasaan dan penyiasatan anti-penipuan,” katanya. – CNA

2. Teksi udara diperkenalkan di Singapura menjelang 2024


SINGAPURA: Perintis teksi udara Jerman, Volocopter dan penyedia infrastruktur, Skyports, akan melancarkan perkhidmatan teksi udara komersial di Singapura dalam tempoh dua tahun lagi dengan permulaan operasi dirancang di Marina Bay dan Sentosa.

Ini akan diikuti dengan perluasan perkhidmatan, termasuk merentasi sempadan dengan Malaysia dan Indonesia sebagai destinasi. Kemungkinan penerbangan terus dibuat dari terminal di Seletar dan Changi ke bandar seperti Melaka, Batam dan Bintan.

Mengikut syarikat penerbangan Volocopter, penerbangan teksi udara dari Lapangan Terbang Changi ke Batam hanya mengambil masa tidak sampai 20 minit.

Pelanggan yang mempunyai urusan perniagaan di Ibrahim International Business District (IIBD) di Johor Bahru, pula boleh tiba di situ dalam tempoh 30 minit, berbanding tiga jam menggunakan kereta.

Di Pameran Udara Singapura di sini yang bermula semalam hingga Jumaat ini, Volocopter mengumumkan bahawa teknologi pengangkutan udara itu sudah mencapai tahap untuk dilaksanakan secara komersial.

Perancangan Volocopter bersama Skyports adalah perincian konkrit pertama yang muncul dari industri mobiliti udara bandar sejak percubaan pertama pada 2019 dengan teksi udara elektrik berjaya dilancarkan selama tiga minit di sepanjang pesisir Marina Bay.

Selasa lalu, Lembaga Permbangunan Ekonomi (EDB) Singapura dan pemaju, JTC Corporation, yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), mengenal pasti Taman Angkasa Seletar sebagai berpotensi dijadikan hab mobiliti udara.

MoU dengan Skyports adalah untuk menerokai pembinaan infrastruktur teksi udara seperti terminal dan kemudahan latihan juruterbang di Seletar. MoU dengan Volocopter pula untuk menubuhkan pusat pengeluaran dan penyelenggaraan, membaiki dan membaik pulih teksi udara.

Mengikut kenyataan bersama EDB dan syarikat berkenaan: “Hasil kemajuan industri mobiliti udara melalui penemuan teknologi, Singapura kini memajukan industri ini dengan mewujudkan rangkaian pelabuhan teksi udara. Perkhidmatan dijangka bermula pada 2024.”

Teksi udara Volocopter adalah seperti helikopter kecil dengan bilah kipas kecil. Pesawat elektrik ini dikatakan selamat, senyap serta lebih selesa dan mesra alam.

Pesawat ini hanya memerlukan lapangan terbang persendirian kecil dengan jarak landasan antara 20 hingga 25 meter, selain boleh mendarat di bumbung bangunan.

Ketua Pegawai Komersial Volocopter, Christian Bauer, berkata kumpulan pertama teksi udara mengandungi antara 10 hingga 20 teksi bagi membolehkan perkhidmatan ditawarkan mampu digunakan orang ramai.

Katanya, syarikat mahu menjadikan Singapura dan Paris sebagai bandar pertama menggunakan teksi udara komersial dan kini dalam proses mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura dan Eropah untuk memulakan perkhidmatan.

“Model teksi udara bandar, Volocity, boleh terbang sejauh 35 kilometer dengan kelajuan 90 kmh (kilometer sejam), manakala model empat tempat duduk, VoloConnect, mampu terbang sejauh 100 kilometer dengan kelajuan mencecah 180 kmh,” katanya.

Bauer berkata, syarikat turut melakukan ujian, penerbangan ujian dan penilaian bagi memastikan perkhidmatan itu selamat seperti pesawat komersial sedia ada.

“Singapura akan menjadi negara utama untuk teknologi begini dan sesuai bagi kami jadikan sebagai kayu pengukur kepada negara dan bandar lain di Asia Tenggara. MoU ini suatu langkah konkrit untuk memulakan perkhidmatan komersial di Singapura,” katanya.

Menurutnya, Volocopter merancang mengambil secara terus sehingga 500 kakitangan menjelang 2030, selain mewujudkan 800 pekerjaan lain.

Ketua Asia Pasifik Skyports, Tay Yun Yuan, pula berkata teksi udara akan menjadi mercu tanda baharu dalam penerbangan dan boleh menutup kekurangan dalam sistem pengangkutan sedia ada.

Katanya, teksi udara bukan saingan dan sebalik menjadi pelengkap kepada keretapi, bas dan teksi serta patut dijadikan sebagai penghubung terakhir untuk kesinambungan serantau bagi laluan yang terlalu pendek untuk menggunakan kapal terbang.

“Pengangkutan darat Singapura cekap dan jarang berlaku kesesakan lalu lintas. Kami berpandangan bahawa wujud peluang untuk menggunakan perkhidmatan teksi udara bagi menghubungkan pulau di selatan ke jiran kita di utara, selain berpotensi memperkukuhkan status Singapura sebagai hab penerbangan,” katanya. – THE STRAITS TIMES

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Singapura, 121 Akaun bank di negara itu dibekukan.. Tetapi Singapura juga telah memperkenalkan teksi udara atau teksi terbang.menjelang 2024. Malaysia pun sebenarnya sudah ada ura-ura ke arah itu, tetapi kerana pemimpin-pemimpinnya asyik berpolitik 'tidak sihat', usaha itu terbengkalai.

Apakah 'terbengkalai'nya ada kaitan dengan politik dan kehadiran PH atau Pakatan Harapan? Tun M pun pernah mengkhayalkan kereta terbang, tetapi terjadi.. kerajaan PH yang sudah memerintah pula terbang...

1 comment:

Anonymous said...

Mana ada malaysia rancang teksi terbang. Pakatan hancing rancang kereta terbang. Kereta terbang tu macam kereta dlm cerita doraemon. Masa terbang senang nak kencing orang kat bawah. Ph sesuai untuk alam fantasi anak anak. Don't forget black shoes introduced by next cm of johor.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails