Sunday, January 09, 2022

Kenyataan PAS Selangor isu tarik balik tauliah mengajar

 

KUALA LUMPUR: PAS Selangor berharap para asatizah aktivis parti menghormati keputusan penarikan tauliah di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

Setiausahanya, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata PAS negeri berharap mereka terus berusaha memartabatkan Islam dalam kalangan masyarakat di negeri itu melalui pelbagai kaedah dan platform yang diizinkan.

Menurutnya, pagi semalam rombongan PAS negeri diketuai Pesuruhjayanya yang juga Adun Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi telah berkunjung ke Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS) bagi membincangkan isu berkaitan tauliah mengajar di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor. (Foto atas)

Turut serta dalam rombongan PAS adalah Timbalan Pesuruhjaya I, Mohd Shafie Ngah dan Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Ustaz Nushi Mahfodz.

Katanya, rombongan telah diraikan oleh Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad dan lain-lain pegawai kanan MAIS dan JAIS.

Beliau berkata, hasil daripada rundingan dua hala yang cukup mesra dan informatif itu, PAS Selangor memutuskan bahawa PAS negeri kekal menjunjung kasih dan menghormati titah Ke bawah Duli Tuanku Sultan Selangor dalam isu penamatan tauliah kepada penceramah yang terlibat sebagai aktivis parti politik di negeri itu.

“PAS Selangor percaya kebijaksanaan Tuanku itu diambil sudah tentu setelah mempertimbangkan dari pelbagai sudut dan mengambil kira kepentingan umat Islam khasnya di negeri ini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, kata beliau PAS negeri menyeru semua pihak agar sama-sama memberikan komitmen untuk memastikan institusi agama Islam di negeri ini terus dihormati dan disanjung tinggi.

“Adalah menjadi harapan PAS Selangor agar para asatizah aktivis parti menghormati keputusan ini dan terus berusaha memartabatkan Islam dalam kalangan masyarakat di negeri ini melalui pelbagai kaedah dan platform yang diizinkan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 8/1/2022

Lihat juga

2 comments:

Anonymous said...

Kami puas hati!

Anonymous said...

Allah telah dan akan membalas perbuatan orang yang menghalang atau menentang dakwah Islam dengan pelbagai cara. Pernahkah kita berfikir mengapa Allah menimpakan siksaan @ ujian seperti wabak covid-19, kematian, kesakitan, kemelesetan ekonomi, kemiskinan dan banjir berskala besar dll ke atas negara kita ? Malangnya masih ada manusia bodoh sombong berani mencabar Allah dengan meneruskan program maksiat seperti vgza.

Wahai pendakwah Islam teruskan aktiviti dakwah Islam untuk menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Sahl ibn Sa’d, Nabi Muhammad SAW telah bersabda:

فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ

Maksudnya: “Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik).”

Riwayat al-Bukhari (2942), Muslim (2406) dan Abu Daud (3661)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails