Thursday, January 13, 2022

Lagi pelaburan, T'ganu, K'tan & 14 projek Wakaf Air.

 

Foto daripada Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

1. T'ganu terima pelaburan RM360 juta, tanam lada hitam.

KUALA LUMPUR: Detik bersejarah tercipta untuk sektor pertanian dan perladangan Negeri Terengganu dengan termeterainya Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Penanaman Lada Hitam di Daerah Setiu, antara Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) dengan McCormick Ingredients Malaysia Sdn Bhd di Wisma Darul Iman, hari ini.

“Melalui projek ini juga, kerajaan negeri menyasarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan bakal disediakan untuk rakyat Negeri Terengganu bagi penanaman komersial lada hitam ini,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim pula berkata, pelaburan projek mega tanaman lada hitam itu bakal mengubah landskap serta sosioekonomi penduduk di Rhu Tapai, Setiu dan kawasan sekitarnya.

Menurutnya, projek itu akan dilaksanakan syarikat gergasi dari luar negara iaitu McCormick dengan menawarkan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan.

Katanya, ia dijalankan di beris (tanah bercampur liat dan pasir) seluas 600 hektar dan Terengganu adalah satu-satunya negeri yang mempunyai ladang lada hitam secara komersial daripada syarikat terbabit.

“McCormick ada menawarkan dalam bentuk produk-produk di Malaysia sejak puluhan tahun lalu, tetapi dari segi pembukaan ladang lada hitam Terengganu adalah yang pertama di Malaysia.

“Penanaman lada hitam di tanah beris belum ada lagi daripada ini,” ujarnya dipetik portal TRDI.my.

Menurutnya lagi, projek itu dilakukan secara berfasa dan dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2025.

“Tiga fasa dan untuk fasa pertama ialah infrastruktur, perparitan dan proses penanaman secara berperingkat bermula pada bulan September 2022, penanaman fasa pertama.

“Lada hitam ditanam selepas tiga tahun. Kita akan menggunakan tenaga manusia, tidak ada lagi mesin, tenaga pekerja agak ramai digunakan. Kita bermula dengan 25 orang untuk fasa pertama yang mana setiap dua hektar tanah untuk seorang peserta,” ujar beliau.

Katanya, pelaksanaan projek tersebut dibuat selepas McCormick berjaya membuktikan lada hitam boleh ditanam di tanah beris melibatkan percubaan seluas 20 hektar melalui kaedah ‘Proof Of Concept’ (POC).

“Penanaman lada hitam komersial di atas tanah seluas 600 hektar ini turut disertakan sekali dengan pembinaan kilang pengering,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, kerajaan negeri turut melibatkan komuniti setempat yang diuruskan oleh Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC).

“Apa sahaja  tanaman yang boleh menghasilkan pengeluaran makanan  untuk negeri Terengganu kita alu-alukan  dan setiap pelabu datang ke negeri Terenggganu mereka perlu memenuhi tiga kriteria asas iaitu penjelasan skop projek apa yang mereka nak buat.

“Kedua, keperluan kerajaan negeri perlu bantu dan ketiga apa yang rakyat negeri Terengganu boleh dapat manfaat sebab kita tak ingin rakyat Terengganu cuma menjadi kuli atau penonton sahaja apabila projek mega masuk,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 12/1/2022


Sehubungan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihak kerajaan negeri ingin menyampaikan setinggi-tinggi ribuan terima kasih kepada McCormick Ingredients Malaysia Sdn. Bhd kerana telah memilih Terengganu sebagai hub pelaburan berasaskan makanan dengan anggaran pelaburan lebih RM360 juta.

Menurutnya, ia amat selari dengan dasar kerajaan negeri menerusi Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 untuk menjadikan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu.

2. Pakej Insentif Percukaian Khas tarik pelabur ke Kelantan.

KOTA BHARU: Pakej Insentif Percukaian Khas yang mesra pelabur dilulus Kementerian Kewangan bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Kelantan.

Insentif tersebut termasuk pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 15 tahun dan 17 peratus untuk lima tahun selanjutnya.

Perkara itu dibincang pada mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Mesyuarat tersebut turut dianggotai wakil kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur
(ECERDC) baru-baru ini.

Menurut portal Urusetia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) mesyuarat tersebut turut membincang usaha bagi merancakkan pembangunan ekonomi Kelantan.

Ia meliputi sektor minyak dan gas, pembuatan, logistik, pelancongan dan pembangunan modal insan.

Menteri Besar berkata, sehingga sekarang pencapaian ECERDC begitu memberangsangkan hasil kerjasama erat berbagai pihak termasuk kerajaan negeri, ECERDC dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Saya juga berharap pelaksanaan pembangunan Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) serta lain-lain infrastruktur dipercepatkan dan diberi keutamaan bagi mengekalkan kelebihan saingan kepada Kelantan,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan agar kajian terperinci dilaksanakan untuk mengkaji impak projek Chumphon-Ranong Land Bridge yang dilaksanakan kerajaan Thailand.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Thailand merancang membangun ‘jambatan darat’ yang meliputi lebuh raya dan landasan kereta api yang menghubungkan dua pelabuhan di Laut Andaman dan di Teluk Thailand.

Menteri Pengangkutan Saksayam Chidchob dilapor berkata Thailand selatan memiliki potensi untuk menjadi gerbang pertukaran kapal dan pertukaran antara benua. – HARAKAHDAILY 12/1/2022

3. 14 projek Wakaf Air dilaksana dengan kos RM529,739  

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 projek Wakaf Air yang telah berjaya dilaksanakan yang melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM529,739.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua kos tersebut dibiayai oleh dana Wakaf Air.

Beliau menyatakan demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya sebagai respons kepada pertanyaan orang ramai mengenai berapa banyak projek Wakaf Air yang telah dilaksanakan.

“Semua kos tersebut dibiayai oleh dana Wakaf Air. Sumbangan daripada para pewakaf yang ikhlas mengharapkan redha serta ganjaran daripada Allah, insya-Allah,” ujarnya.

Menurutnya, pada tahun ini, beliau menyasarkan permohonan dan pelaksanaan Wakaf Air akan dipercepatkan.

Ini, ujar beliau agar lebih ramai rakyat yang masih tidak mendapat akses kepada bekalan air awam (off grid) termasuk di Sabah dan Sarawak akan mendapat manfaat.

“Jumlah dana yang disasar untuk digunakan adalah sebanyak RM2 juta, insya-Allah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

Tabung ‘Wakaf Air’ yang dilancarkan pada 17 Disember 2020 merupakan inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui kerjasama YWM bertujuan menyediakan sumber pembiayaan alternatif projek-projek perkhidmatan air secara mudah, cepat dan mampan melalui instrumen wakaf.

Wakaf Air menyediakan platform kepada masyarakat awam, korporat dan pihak swasta untuk turut sama mengambil bahagian berdasarkan kemampuan masing-masing dalam usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan air kepada mereka yang memerlukan melangkaui sempadan agama, kaum dan keturunan.

Wakaf Air merupakan skim berstruktur untuk membolehkan orang ramai melakukan ibadah wakaf dalam sektor perkhidmatan air yang sangat penting dalam kehidupan manusia.

Peringkat awal penggunaan dana Wakaf Air adalah bagi membiayai projek-projek perkhidmatan air berskala kecil bernilai di bawah RM50,000.00 seperti penggalian perigi, penyelenggaraan dan pembelian alat ganti bagi meneruskan bekalan air bersih dan penyediaan sumber air alternatif.

Sumbangan wakaf itu boleh disalurkan menerusi Sistem Wakaf Tunai Malaysia yang boleh dicapai melalui pautan https://www.ywm.gov.my/wakaf-air. HARAKAHDAILY 12/1/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails