Thursday, January 13, 2022

Turkmenistan: Presiden mahu api ‘Gerbang Neraka’ dipadamkan

 

Api di dalam 'Gerbang Neraka' yang terletak di Darvaza Crater, Turkmenistan ini menyala dengan marak sejak tahun 1971. (FOTO AP)

ASHGABAT: Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdymukhamedov meminta saintis mencari jalan untuk memusnahkan satu tarikan popular dalam kalangan pelancong di negara bekas jajahan Kesatuan Soviet itu, yang dikenali sebagai Gates of Hell (‘Gerbang Neraka’).

Terletak di Gurun Karakum, kira-kira lebih 256 kilometer ke utara ibu kota Turkmenistan di sini, ‘Gerbang  Neraka’ sebenarnya ialah kebakaran api di dalam kawah atau lubang gas pada kedalaman 70 kaki dan 190 kaki lebar sejak selama beberapa dekad lalu.

Menurut laman berita, Turkmen Turkmenportal, ‘Gerbang Neraka’ terbentuk sejak tahun 1971 susulan keruntuhan penggerudian gas Kesatuan Soviet.

Berdymukhamedov dilaporkan telah mengarahkan agar kawasan kawah ‘Gerbang Neraka’  yang secara rasmi dinamakan sebagai Darvaza Gas Crater itu ditutup daripada kunjungan orang awam.

Sehubungan itu menurut akhbar Neytralny Turkmenistan, Timbalan Presiden Turkmenistan, Rasit Meredow telah diarahkan Berdymukhamedovn dengan segera mengumpulkan saintis, dan jika perlu, menarik penglibatan perunding asing bagi mencari penyelesaian untuk memadamkan kebakaran di ‘Gerbang Neraka’ berkenaan.

Gurbanguly Berdymukhamedov dilaporkan pernah mengelilingi ‘Gerbang Neraka’ dengan sebuah trak pada tahun 2019. (FOTO Getty Images)

Berdymukhamedov mahukan agar api ‘Gerbang Neraka’ itu dipadamkan kerana ia memberi kesan negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan penduduk setempat, selain mahu mengekang kehilangan sumber eksport gas asli negara itu.

Sejak 2004 lagi, penduduk sekitar Darzava Gas Crater telah diarahkan kerajaan Turkmenistan agar berpindah ke tempat lain atas sebab keselamatan.

“(Disebabkan ‘Gerbang Neraka’) Kami telah kehilangan sumber gas semula jadi yang berharga yang mana kami sepatutnya memperoleh keuntungan yang besar dan menggunakannya untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu melalui siaran di televisyen.

Menurut Business Insider, kawah Darvaza Gas Crater mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 75 milimeter kubik gas setiap tahun.

Sementara AFP melaporkan pada 2019, Berdymukhamedov telah dilihat memandu laju mengelilingi ‘Gerbang Neraka’ dengan sebuah trak. – Agensi  

Keunikan ‘Gerbang Neraka’ banyak menarik kunjungan pelancong asing untuk menerokai misteri di sebalik kewujudannya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails