Friday, December 25, 2020

PUM gesa ambil tindakan tegas terhadap isu daging halal... -Dato’ Al-Sheikh Abdul Halim

 

Kartel cemari industri daging halal, ada pegawai ‘dibeli’

KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap isu daging yang tiada pengesahan halal tetapi dilabelkan sebagai halal, sepertimana dilaporkan dalam akhbar New Straits Times hari ini. 

Yang Dipertua PUM, Dato’ Al-Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir, pendedahan dibuat itu sangat mengejutkan dan turut mengecewakan umat Islam di Malaysia di atas tindakan kartel pegawai pelulus dan pegawai penguatkuasa yang bersekongkol dengan pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut. 

“Sangat pedih kita menghadapi isu ini kerana makanan halal adalah suatu perkara yang penting dan telah menjadi budaya dalam masyarakat kita untuk mencari yang halal. Bayangkan telah lebih 40 tahun mereka melakukan kerja ini, tanpa memikirkan kesan dan seakan tidak bimbang langsung terhadap agensi-agensi penguatkuasa yang ada di Malaysia. 

“Secara realiti, peniaga-peniaga besar mahupun kecil dan sederhana, tidak kira Muslim atau non-Muslim, turut berusaha untuk mendapatkan status pensijilan halal di mana ianya boleh meningkat kadar permintaan terhadap produk yang mendapat pensijilan halal tersebut. 

“Negara kita juga boleh dikatakan saban tahun mengadakan ekspo halal bagi menarik minat peniaga untuk melakukan perniagaan berasaskan halal ini. Bahkan boleh dikatakan negara-negara di dunia turut membekalkan produk halal ke negara mereka walaupun mereka bukan dalam kalangan negara Islam.

“Kesedaran terhadap produk halal telah tersebar ke seluruh dunia. Namun tindakan segelintir kartel ini telah mencemarkan industri halal. Ini termasuklah tindakan penguatkuasa yang bersekongkol dengan kartel ini,” ujarnya.

Oleh itu PUM katanya, menggesa agar pihak kerajaan melalui agensi seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan segera dan mendedahkan skandal besar yang sangat sensitif kepada umat Islam ini.

“Siapa lagi yang dapat kita harapkan untuk melakukan siasatan menyeluruh ini. Jangan sampai adanya kempen boikot besar-besaran terhadap produk daging dilancarkan di Malaysia, di mana kesannya nanti akan melumpuhkan aktiviti ekonomi sebahagian rakyat kita. Teruskan siasat dan bawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan,” ujarnya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee dalam pada itu berkata, pemegang Permit Import (AP) yang terbukti bersekongkol dengan kartel daging import haram akan dikenakan tindakan tegas termasuk digantung lesen.

“Biar siasatan dibuat dahulu dan apabila ia selesai, tindakan selanjutnya akan diambil ini termasuk menggantung AP sekiranya terbukti bersalah,” katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.

Maklum beliau, selain akan mengenal pasti pemegang AP yang terlibat berhubung dengan kartel daging import haram itu, siasatan juga turut dijalankan ke atas penjawat awam terlibat atas persekongkolan.

Dr Ronald ditemui media selepas merasmikan Persidangan Pertanian Digital Kebangsaan (DigAc) 2020 berkata isu penyeludupan daging import haram itu merupakan perkara yang serius dan perlu segera dibanteras.

Beliau dalam pada itu menegaskan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa mengaudit daging dan ayam yang akan dibawa masuk ke negara ini bagi memastikan ia berstatus halal.

Media hari ini melaporkan kartel mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui halal dan kualitinya, dipercayai ‘membeli’ beberapa kakitangan kerajaan termasuk pegawai agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Sebelum ini, sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor diserbu pihak berkuasa hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup daging sejuk beku. – HARAKAHDAILY 21/12/2020

IHtv
IHtv
10 subscribers

4 comments:

Anonymous said...

Lantik saja syarikat muslim spy lebih diyakini halalan taiyiban. Non muslim cari market non muslim jer. Jangan market muslim pun nak songlap juga.

Anonymous said...

Kegiatan kartel yang didakwa mendapat AP dari kerajaan Malaysia bagi mengimport daging (baca 'daging haram') selama 40 tahun (1980-2020) bererti kartel ini telah sengaja menghina agama Islam dan umat Islam dan Perlembagaan Persekutuan selama 40 tahun.

Ini bererti kartel ini telah beroperasi semasa kerajaan BN dan kerajaan PH berkuasa.

Oleh sebab itu, kerajaan wajib:

(1) mendedahkan nama syarikat-syarikat dalam kartel tersebut dengan segera kepada umat Islam supaya umat Islam tidak makan daging haram.

(2) Menangkap, mendakwa dan menjatuhkan hukuman penjara yang panjang ke atas semua orang yang terlibat dengan kartel tersebut termasuklah pemilik, pihak pengurusan dan pekerja kartel dan pegawai kerajaan dan pemimpin politik dll.

Jika kerajaan cuba merahsiakan nama syarikat kartel tersebut dll, rakyat akan hilang kepercayaan kepada kerajaan. Ingatlah PRU 15 semakin hampir.

Anonymous said...

Nampaknya sejak dianugerahkan kuasa memerintah oleh ALLAH SWT di MALAYSIA.. hukum hakam pun sudah berubah di bawa oleh perjuangan PAS dalam negara.
Pada tahun 2018 bukan main lantang mereka menghukum sahabat Muslim yang ucap KRISMAS sampai jatuhkan hukum HARAM..

Tapi pabila ada kuasa hukum sudah berubah dimana sudah jadi HARUS... dimana umat islam dah boleh meraikannya..

Disini kita boleh lihat bagiamana Islam ynag mereka cuba bawa kepada kita.. Ia ibarat merekalah yg boleh menghalalkan dan mengharamkan sesuatu hukum...

Anonymous said...

RBA telah membuat pelbagai dakwaan karut marut terhadap PAS tanpa sebarang bukti maka semua dakwaan RBA adalah fitnah dan puak RBA adalah penyebar fitnah dan pembohongan.

Puak RBA berdiam diri seperti syaitan bisu @ pasu bunga di waktu puak kafir harbi roket dan khadam munafik liberal mereka menghina Islam dan menafikan hak umat Islam selama 22 bulan.

Ini jelas membuktikan puak RBA adalah khadam ternakan puak kafir harbi roket.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails