Sunday, December 20, 2020

Takttik buka restoran, tapi disko mabuk pusat hiburan sarang maksiat..

 

SEBAHAGIAN pengunjung sebuah kelab malam yang ditahan dalam operasi ingkar PKP di Taman Shamelin. FOTO Luqman Hakim Zubir

Kuala Lumpur: Lesen dan permit dipohon adalah untuk membuka bistro serta restoran. Namun tiada langsung makanan disajikan di atas meja selain minuman keras kepada pengunjung.

Itu antara taktik pemilik pusat hiburan sekitar ibu kota yang dikesan masih berdegil membuka disko ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dikuatkuasakan.

Terbaru sebuah pusat hiburan di kawasan industri di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, di sini, diserbu selepas beroperasi sehingga mencetuskan kacau ganggu kepada penduduk sekitar.

Malah kehadiran ramai pelanggan ke premis itu menyebabkan kesesakan lalu lintas hingga menyukarkan penduduk kawasan perumahan bersebelahan meletakkan kenderaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata, hasil serbuan dilakukan malam tadi, mendapati pemilik pusat hiburan itu menukar aktiviti perniagaan mereka kepada permit restoran dan bistro bagi meneruskan aktiviti selepas kerajaan melarang sebarang pembukaan premis hiburan.

"Kita dapati mereka ini melakukan kesalahan beroperasi tanpa lesen hiburan selain turut mengganggu penduduk kawasan perumahan berhampiran dengan bunyi bising dan mengganggu keadaan lalu lintas.

"Kita percaya mereka (pemilik) memohon kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk kebenaran perniagaan restoran dan bistro namun sebaliknya mereka tetap meneruskan kegiatan hiburan hingga pelbagai kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dikesan," katanya.

Beliau berkata semasa serbuan dilakukan, tiada sebarang hidangan makanan dinikmati oleh pengunjung sebaliknya setiap meja hanya dipenuhi minuman keras.

"Susulan itu pihak polis mengeluarkan kompaun melanggar SOP PKPB terhadap 214 pengunjung termasuk 83 wanita serta menahan empat lelaki dan empat wanita warga asing yang kesemuanya dianggarkan berusia antara 19 hingga 38 tahun. Turut ditahan dua lelaki yang didapati positif dadah.

"Pihak polis turut merampas dua keping resit perniagaan, peralatan deejay muzik, pembesar suara serta mikrophone," katanya.

Katanya serbuan berkenaan adalah hasil dari kerjasama melalui maklumat perisikan oleh Bahagian Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah, Daerah Cheras.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) (2020) (MyMetro)


IHtv
8 subscribers




No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails