Wednesday, December 23, 2020

Sindiket pelaburan dalam talian, Judi &Macau Scam

 


Onar lelaki warga China 

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian dan Macau Scam dengan menahan tiga lelaki warga China di sebuah kondominium di Jalan Doraisamy, Off Jalan Sultan Ismail, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menyerbu lokasi terbabit pada 3.30 petang.


"Dalam serbuan itu, kami menahan tiga lelaki warga China berusia antara 28 hingga 34 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan pelaburan serta Macau Scam yang mensasarkan mangsa dari China.

"Kami turut merampas 40 telefon bimbit, dua komputer, wang tunai sebanyak 1,168 Yuan (RM724.50) dan wang tunai berjumlah RM5,011.

"Semua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 25 Disember nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, pihaknya turut membuat serbuan di dua lokasi disyaki menjalankan kegiatan judi di sebuah residensi di Jalan Conlay, di sini, semalam.

Menurutnya, dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki warga China berusia 35 tahun dan merampas 13 telefon bimbit dan lima komputer riba pada 5.30 petang.

"Suspek itu direman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

"Susulan operasi itu, kami menjalankan serbuan kedua pada 6 petang yang membawa kepada penahanan tujuh individu di lokasi sama.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki serta dua wanita tempatan selain dua wanita masing-masing warga Thailand dan Vietnam berusia dalam antara 21 hingga 33 tahun," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam bilik rumah berkenaan menemui 112 keping daun terup, empat kertas catatan perjudian, dua kad akses, satu lampu mini disko, satu pembesar suara dan wang tunai berjumlah RM23,200 disyaki hasil kegiatan judi.

"Semua suspek direman dua hari bermula hari ini hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

"Kami memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti sindiket penipuan dan aktiviti judi di daerah ini menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

IHtv

10 subscribers

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails