“Jangan lupa, kita juga ada jual durian Musang King, yang dibawa khas dari Pahang ke Jeddah,”menurut Pengasasnya, Engku Isa Al-Husam atau lebih dikenali sebagai Husam yang juga pemilik portal makanan dalam talian, www.foodmarket.com.my kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Hasil carian imej untuk produk halal malaysia di jeddah
Terus Berkembang
Kedai Asia dibuka pada Januari 2017 di kejiranan Al-Aziziyah berdekatan Pejabat Konsulat Malaysia bersama rakan niaga, Mohamad Qarah yang berasal dari Madinah. Pada permulaan, kedai itu hanya berkeluasan 40 meter persegi.
“Kami sengaja menggunakan strategi ini kerana Arab Saudi mempunyai undang-undang yang ketat untuk membawa masuk produk makanan dari luar dan ketika kedai dibuka tidak sampai 300 jenis produk diluluskan.
“Jadi, bagi mengelakkan nampak kosong, kami buka kedai yang kecil sebagai permulaan selain daripada menjadi medium membuat kajian pemasaran dan melihat maklum balas pelanggan,” ujarnya yang memulakan perniagaan seawal usia 19 tahun ketika menuntut di Universiti Teknologi Petronas.
Pada peringkat awal, mereka menjangkakan kedai kurang mendapat sambutan tetapi telahan tersebut tidak tepat apabila berjaya menarik 2,000 pelanggan pada minggu pertama.
“Ini menyebabkan 50 peratus stok kami yang sepatutnya untuk tiga bulan telah habis dan kedai kami kosong pada bulan berikutnya kerana proses membawa masuk kontena baharu mengambil masa sebulan,” katanya.
Menurutnya, sistem perundangan di Arab Saudi yang sentiasa berubah-ubah dan peningkatan kos merupakan antara cabaran yang harus dihadapi syarikat luar kerana membuka perniagaan di negara itu bukanlah murah seperti disangkakan.
Tambahan pula, katanya, Arab Saudi tidak mesra pelabur asing dan pada masa sama, perbezaan budaya yang ketara menyebabkan tidak banyak syarikat Malaysia dapat bertapak.
“Kami juga sukar ­meyakinkan pembekal dan memberi kefahaman kepada mereka mengenai standard yang perlu dipatuhi bagi pengeksport ke Arab Saudi kerana Kedai Asia ketika itu belum dikenali,” katanya.
Husam berkata, pelanggan mereka kini semakin meluas meliputi Filipina, Indonesia, Pakistan, Jepun dan Korea berbanding pada peringkat awal sebanyak 90 peratus adalah rak­yat Malaysia di Arab Saudi.
“Jangan tak tahu, produk paling laris ialah Maggi Kari! Lebih menarik, tempoyak dan budu yang pada asalnya sengaja dibawa untuk tujuan membina profil, semakin diminati expatriat dari Filipina.
“Produk ini seakan-akan sama dengan makanan eksotik Filipina dan semestinya dapat mengubat rindu mereka kepada tanah air. Tidak kurang juga aiskrim durian sangat diminati dan antara produk yang laris,” katanya.
Berkat kesabaran mereka, kini Kedai Asia membuka premis utama yang baharu bersama pelabur dan rakan kongsi baharu pada April lalu di Al-Rawda, berkeluasan 2,000 kaki persegi. Ia menempatkan ruang lounge dan cafe dengan berkonsepkan gerai Malaysia untuk para pelanggan menjamu selera di sam­ping membeli produk yang dijual.
Setakat ini, Kedai Asia bukan sahaja memiliki kedai fizikal, malah mereka juga mempunyai sembilan cawangan lain yang diberi nama Kedai Asia Corner dengan kerjasama pasar raya tempatan.
“Kini, kami dalam proses membuka cawangan baharu di Menara Abraj yang terletak berhadapan Masjidil Haram. Malah, tahun ini, dua lagi cawangan akan dibuka di Madinah dan Riyadh. Di luar Arab Saudi pula, kami akan membuka Kedai Asia di Yala, Thailand, Doha, Qatar dan Muscat, Oman,” katanya. (IH)
Lihat Sebelum Ini..