Wednesday, September 25, 2019

Gajah Berenang Di Tasik Kenyir [VIDEO]. Pengajaran Dari Gajah.


Ungkap Rahsia Yang Maha Agung


MAMALIA terbesar di darat iaitu gajah juga mempunyai kebolehan untuk berenang jauh dalam air menggunakan belalainya untuk bernafas di permukaan, namun peluang untuk menyaksikan haiwan itu berenang adalah sesuatu yang jarang diperoleh.
Bagi Mohd Suwardi Muhamad Azmi, 37, pengalamannya terserempak dengan seekor gajah yang sedang berenang di Tasik Kenyir di Hulu Terengganu, baru-baru ini, sangat menggembirakan selain ia petunjuk bahawa Tasik Kenyir masih menjadi lokasi habitat semula jadi mamalia itu.
“Ini bukanlah kali pertama saya melihat sendiri gajah berenang. Sejak mula bergiat aktif dengan aktiviti memancing pada tahun 2004, ini adalah kali keempat saya melihat haiwan itu berada dalam air.
“Namun, tak sangka pula, video yang saya kongsikan di Facebook itu mendapat perhatian ramai. Mungkin kerana masih ramai tidak tahu bahawa gajah adalah mamalia yang boleh berenang, jadi aksi itu menjadi bualan di Facebook,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.Video gajah sedang berenang berdurasi tiga minit 45 saat yang dimuat naik di FACEBOOK Mohd Suwardi itu sehingga kini telah dikongsi oleh 355 pemilik akaun Facebook yang lain, menerima 374 tanda suka dan menerima 20,000 tontonan.
Mohd Suwardi yang kerap memancing di Tasik Kenyir berkata selain gajah, banyak lagi haiwan yang boleh berenang seperti harimau, babi, beruk, kera, kambing hutan, kancil, kijang dan rusa.

“Ini pemandangan ‘biasa’ bagi kaki pancing di Tasik Kenyir. Ramai pemancing yang pernah bertembung dengan haiwan-haiwan ini ketika ia berenang, cuma tidak banyak yang merakam video atau gambar kerana ada kalanya cuaca tidak sesuai seperti hujan... kadang-kadang tergamam.
“Apa pun, yang penting kita jangan ganggu habitat haiwan ini. Jangan ganggu pergerakan mereka ketika berenang bimbang jika ia bertindak ganas pula. Biasanya, kami hanya lihat sahaja dan rakam video jika sempat sebagai kenang-kenangan,” katanya yang bertugas sebagai Pembantu Pegawai Perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata gajah adalah antara haiwan liar yang masih terdapat di Terengganu.
“PERHILITAN hanya akan menangkap gajah ini sekiranya mendapat maklumat daripada orang ramai haiwan ini mengancam keselamatan atau merosakkan harta benda seperti tanaman... sekiranya tiada biarlah ia hidup di habitat semula jadinya seperti biasa,” katanya.(BERNAMA)


MG VIRAL : Gajah Berenang di Tasik Kenyir!




Pengajaran Dari Gajah.. 
Pertahan Agama Allah Melalui Kisah Tentera Bergajah

Hasil carian imej untuk i Kisah Tentera Bergajah
SALAH satu kisah awal yang biasa kita dengari adalah kisah tentera bergajah ingin menyerang Kaabah. Kisah ini merupakan peristiwa penting kerana tahun gajah disandarkan dengan kelahiran baginda Nabi Muhammad SAW yang merupakan pesuruh Allah.
Wahyu yang diturunkan Allah SWT melalui Surah Al-Fil ini bukanlah sesuatu yang sia-sia. Tauladan dan kefahaman melalui kisah ini menjadi petunjuk kepada umat Islam agar terus berusaha menjaga agama Islam sebagai addin.
Abrahah adalah Gabenor Yaman yang berasal dari Habsyah. Beliau telah membuat perancangan untuk meruntuhkan Kaabah sehingga Allah SWT telah memperihalkan kekalahannya dengan hanya menghantar pasukan burung yang membawa batu.
Firman Allah Taala dalam al-Quran, “Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasukan-pasukan, yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.” (Surah Al-Fil ayat 1 hingga 5)
Meneliti tafsir ayat dalam surah Al-Fil ini, Allah SWT merakamkan tentang pemeliharaan dan penjagaan agama Islam itu penting  biarpun tentera Abrahah, gajahnya dan 60 ribu tenteranya ingin menyerang Baitullah.
Bahkan seperti yang dimaklumi, tentera Abrahah telah membina kanisah (gereja) sebagai tanda permusuhan kepada agama Islam.
Para ulama meletakkan bahawa peristiwa serangan ke atas Baitullah ini perlu diperhatikan dan tidak semestinya cerita yang berlaku sebelum kelahiran baginda Nabi Muhammad SAW itu, hanya perlu diketahui oleh umat terdahulu, tetapi Allah SWT merakamkannya di dalam al-Quran.
Sheikh Syaarawi berkata, permulaan Surah Al-Fil yang menggunakan perkataan ‘alam-tara’  membawa maksud bahawa ‘adakah kamu tidak perhati dengan mata hati’. Peristiwa ini harus dilihat melalui pentafsiran yang mendalam kerana cerita yang digambarkan bukanlah kerana tentera Abrahah, tetapi disandarkan kepada binatang yang bernama ‘gajah’.
Allah SWT memberi peringatan penting melalui kisah tentera gajah ini bagi mereka yang ingin bermusuh dengan agama Allah. Allah SWT akan mendatangkan kemusnahan kepada mereka yang berniat untuk memusuhi-Nya. Orang yang beriman, tidak meletakkan kepentingan diri semata-mata tetapi meletakkan Allah sebagai jalan utama mereka untuk hidup.
Dalam ayat kedua Surah Al-Fil, Allah SWT menggunakan feel mudhari’ iaitu ‘yaj-al’ yang disandarkan kepada mana-mana pemerintah yang zalim serta membelakangi apa sahaja yang diperintahkan Allah Taala itu akan diuji sebagaimana tentera Abrahah yang ingin menyerang Kaabah.
Allah Taala memperjelaskan di dalam Surah Al-Fil ini tentang prinsip perancangan dan keputusan. Allah SWT tidak menggagalkan perancangan tentera Abrahah pada awal, tetapi ketika mereka hendak menyerang Kaabah barulah Allah Taala menyerang.
Allah SWT mendidik untuk kita percaya bahawa Allah SWT yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu keputusan-Nya.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran, “Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz); sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah.” (Surah Al-Hajj ayat 70)
Allah SWT sengaja membiarkan musuh itu (tentera Abrahah) untuk beristidraj. Istidraj merupakan satu pemberian oleh Allah SWT tetapi tidak diredai-Nya.
Lihatlah seperti kisah Firaun yang mempertuhankan dirinya. Lihat juga kepada kisah Qarun yang tamak akan harta dunianya. Semua itu tidak kekal tetapi Allah SWT sengaja memberikan istidraj kepada mereka, kemudian Allah SWT memperihalkan kejatuhan pada detik-detik terakhir.
Begitulah Allah SWT memperjelaskan tentang azab yang akan diberikan kepada mereka yang sengaja membelakangkan setiap suruhan dan larangan Allah SWT.
Firman Allah Taala yang bermaksud, “(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).” (Surah Al-Baqarah ayat 165)
Sekian, wallahu 'aklam.
E-Buku IH-22: Ungkap Rahsia Yang Maha Agung



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails