Thursday, December 15, 2016

Ramai Anak Orang Asli Ketagih Arak, Hidu Gam -CAP


01nt08sm-transformed
KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Daerah Baling (MDB) di Kedah menyiasat dan mengambil tindakan ke atas peniaga kedai runcit di Kampung Lalang, Ulu Legong kerana didakwa menjual arak secara haram kepada masyarakat Orang Asli di kawasan itu.
Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, kegiatan tersebut sudah lama berlaku tetapi tidak ada tindakan diambil oleh pihak berkuasa menyebabkan semakin ramai kanak-kanak dan wanita masyarakat tersebut ketagihan minuman keras ini.
“Selain arak, mereka juga terlibat dengan kegiatan menghidu gam. Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati selain orang dewasa, lebih 30 orang kanak-kanak berumur antara sembilan hingga 15 tahun meminum arak dan menghidu gam yang dibeli di pekan Kampung Lalang di sini.
“Terdapat juga orang luar datang ke kampung Orang Asli di Kampung Lubuk Legong menjual bahan tersebut kepada mereka dengan harga RM5 setin gam dan RM5 bagi sebotol arak. Mereka yang ketagih arak dan gam ini membelanjakan wang sehingga RM25 seorang untuk sehari,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
S.M. Mohamed berkata, CAP kesal dan bimbang dengan masalah itu kerana kegiatan menjual bahan tersebut bukan saja melanggar undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi juga suatu pembaziran dan memudzaratkan kesihatan penagih.
Kata beliau, minum atau ketagihan arak boleh menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan darah tinggi, gangguan sistem saraf, masalah hati, pankreas, otot, tisu tulang, pendarahan usus, ulser serta kematian sel otak.
Manakala, katanya, mereka yang menghidu gam pula akan mengalami kerosakan otak, hati, buah pinggang dan jantung.
“Jika amalan ini berterusan melebihi enam bulan ia boleh menyebabkan kerosakan otak yang kekal. Pada tahun 2000 tiga remaja berusia antara 18 hingga 20 tahun telah meninggal dunia berhampiran sebuah sekolah di Cheras, Kuala Lumpur akibat menghidu gam.
“Sehubungan itu CAP menggesa pihak kerajaan memberi perhatian serius terhadap masalah ini kerana ia bukan saja boleh menjejaskan kesihatan tetapi juga membawa maut lebih-lebih lagi kegiatan tersebut melibatkan kanak-kanak, remaja dan wanita,” katanya. 


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails