Sunday, December 11, 2016

Hentikan Korek & Lombong Pasir Di P.Pinang -CAP & SAM.



PENGGUNA

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan segera memberikan arahan menghentikan kerja-kerja pengorekan dan pelombongan pasir di muara-muara Sungai Kelian dan Sungai Kechil di Tanjung Bungah di Pulau Pinang.

Kami berkongsi kebimbangan penduduk-penduduk dan nelayan-nelayan yang tinggal di pinggir pantai berhampiran kawasan-kawasan tersebut, seperti yang dilaporkan dalam berita hari ini. Aktiviti-aktiviti ini telah memusnahkan pantai berpasir dan persisiran pantai di kawasan ini.

Pengambilan pasir dari kawasan yang berpopulasi tinggi di Pulau Pinang, yang telah memusnahkan persekitaran pantai di sini, untuk memperindahkan pantai di kawasan hotel di bahagian lain Pualu Pinang adalah seperti “merompak Peter untuk membayar Paul".

Ia tidak beretika, tidak bermoral dan haruslah dikutuk kuat.

Selain gesaan untuk menghentikan serta-merta kerja-kerja pengorekan pasir dan perlombongan di Tanjung Bungah, kami juga membuat tuntutan berikut kepada pihak berkuasa:

1. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu segera menghentikan sebarang kerja-kerja pengorekan pasir dan perlombongan pasir di sepanjang pantai dan laut di Pulau Pinang sehingga diberitahu kelak.

2. Kerajaan Negeri dan JPS perlu mendedahkan apa rancangan atau tindakan lain untuk pengorekan  dan perlombongan pasir di negeri Pulau Pinang dan membenarkan penelitian awam dan ulasan terhadap rancangan-rancangan atau tindakan tersebut.

3. Sehingga itu, semua pengorekan pasir dan aktiviti perlombongan pasir di Pulau Pinang mesti dihentikan.

4. Kerajaan Negeri juga perlu mendedahkan sama ada Laporan Kesan Penilaian Kepada Alam Sekeliling (EIA) telah dilakukan bagi aktiviti pengorekan dan perlombongan pasir di Tanjung Bungah dan apa hasil kajian tersebut.

5. Pasir yang dikorek dan dilombong dari pantai-pantai di Tanjung Bungah harus diletakkan semula supaya keadaan asal alam sekitar di sini dapat dipulihkan.

S.M. MOHAMED IDRIS
Presiden CAP dan SAM – HARAKAHDAILY 10/12/2016

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails