Tuesday, September 20, 2016

3 Letupan Di AS, Ahmad Khan Rahami Pengganas?

Hasil carian imej untuk Letupan di AS tindakan keganasan AFP - ANGGOTA-ANGGOTA FBI memeriksa lokasi letupan di West 23rd Street, New York kelmarin.
NEW YORK – Pihak berkuasa menyatakan bahawa tiga serangan yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) dalam masa sehari iaitu pengeboman di Manhattan, amukan pisau di Minnesota dan letupan bom paip di New Jersey mungkin mempunyai kaitan dengan pengganas, kata pasukan penyiasat kelmarin.
Pihak berkuasa New York semalam memburu seorang lelaki berumur 28 tahun berhubung pengeboman di bandar raya itu yang mencederakan 29 orang.
Polis dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyiarkan gambar lelaki itu, Ahmad Khan Rahami. Suspek yang merupakan warga AS keturunan Pakistan dikehendaki untuk soal berkaitan letupan di sebuah kejiranan di Chelsea pada Sabtu lepas.
Datuk Bandar New York, Bill de Blasio berkata, Ahmad Khan yang berasal dari New Jersey mungkin memiliki senjata api dan berbahaya.
“Kami kini tahu jauh lebih banyak berbanding 24 jam lalu. Insiden-insiden ini menjurus kepada perbuatan keganasan,” katanya kepada stesen televisyen CNN.
Pandangan serupa turut dikongsi oleh Gabenor New York, Andrew Cuomo.
“Bom yang meletup di New York jelas satu tindakan keganasan tetapi ia tiada kaitan dengan rangkaian pengganas antarabangsa,” kata Cuomo kelmarin selepas melawat lokasi kejadian letupan di Chelsea, New York.
Seramai 29 orang cedera apabila bom itu meletup pada malam Sabtu lalu, manakala beberapa buah bangunan turut rosak.
Sebutir bom kedua ditemui oleh polis tidak jauh dari lokasi kejadian dan telah dimatikan. Bom itu kemudian dihantar ke ibu pejabat FBI di Virginia untuk ujian forensik.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa berkata, tiada bukti siri serangan itu telah dirancang terlebih dahulu tetapi ia berlaku dalam tempoh kurang 24 jam, menyebabkan kebimbangan tentang situasi keselamatan di AS.
Menurut akhbar New York Times lewat kelmarin, pihak berkuasa persekutuan telah menahan dan menyoal siasat lima orang yang mungkin dikaitkan dengan pengeboman di New York.
FBI cawangan New York bagaimanapun menyatakan di laman Twitter bahawa belum ada suspek yang didakwa berhubung letupan itu.
Beberapa jam sebelum letupan di New York berlaku, sebuah bom paip meletup di laluan acara larian Marine Corps di New Jersey. Letupan itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan tetapi acara itu telah dibatalkan.
Di rantau Midwest, seorang lelaki berketurunan Somalia-AS melakukan serangan tikaman rambang di sebuah pusat beli-belah di St. Cloud, Minnesota. Dia mencederakan sembilan orang sebelum ditembak mati oleh seorang anggota polis. -AFD.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails