Tuesday, August 16, 2016

Najib Pertikai Tentang 'Bersatu' (Belum Tubuh) Aneh' -Muhyiddin Yassin


SHAH ALAM - Presiden Penaja Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan keupayaan parti itu membela nasib orang Melayu kerana mempunyai hubungan dengan DAP adalah sesuatu yang aneh.

Menurut beliau, selepas mengemukakan permohonan kepada pejabat Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), serangan terhadap Bersatu yang belum lagi ditubuhkan datang secara bertalu-talu daripada pemimpin Umno.

“Aneh juga sebuah parti yang belum lahir ini mendapat perhatian dari Najib malah parti ini belum ada ahli dan cawangan. Ia hanyalah parti serpihan umpama parti nyamuk.
“Bagaimana Najib boleh bercakap mengenai kerjasama antara sebuah parti yang belum ditubuhkan dengan DAP?
“Malah beliau mengandaikan bahawa kerjasama ini tidak akan menguntungkan orang Melayu dan ini satu kenyataan tidak bertanggungjawab serta pra-matang,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Najib menyelar parti Bersatu berikutan cadangan untuk bekerjasama dengan DAP, yang sama sekali tidak pernah menyokong perjuangan atas nama pribumi dan hak Bumiputera.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan bahawa kenyataan berkenaan merupakan taktik kotor yang digunakan bagi menakut-nakutkan orang Melayu di negara ini.

“DAP bakal dijadikan 'hantu' paling menggerunkan orang Melayu untuk mengalihkan perhatian daripada segala kesalahan dan kemungkaran Najib.
“Mereka akan terus berkata bahawa DAP adalah musuh utama orang Melayu,” katanya.

Selain daripada itu, Muhyiddin menyarankan Najib untuk berhubung dengan ROS bagi mendapatkan naskhah Perlembagaan Bersatu yang diserahkan semasa proses pendaftaran parti sekiranya beliau meragui perjuangan parti itu.

Beliau berkata, daripada 13 matlamat dan tujuan Bersatu, tiga daripadanya ialah menegakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan menghormati hak orang bukan Islam untuk menganut serta mengamalkan agama masing-masing secara aman harmoni.

“Selain itu, matlamat Bersatu adalah bagi menjunjung kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu di samping mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu, anak negeri Sabah serta Sarawak dan hak-hak sah untuk semua kaum,”katanya.

Tambah beliau, sekiranya Najib seorang pemimpin yang berani dan ingin membersihkan namanya, beliau seharusnya menyahut cabaran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir untuk berdebat.

“Tidak perlulah Najib cuba mengalih perhatian rakyat dengan menyalahkan pihak lain. Usah berselindung dan berdolak-dalik lagi," katanya. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails