Friday, August 19, 2016

Kes Mati Dalam Tahanan: AGC Dakwa 3 Polis.





KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menyambut baik pendakwaan jenayah oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap tiga anggota polis yang terlibat dalam kes kematian Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur semasa dalam tahanan PDRM Kota Tinggi, Johor pada 3 November 2014.

Menurut Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam ketiga-tiga anggota polis tersebut telah dituduh di bawah seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan dan kes tersebut telah dipanggil di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada 16 Ogos 2016 dan disambung bicara pada 17 Ogos 2016.

Dalam satu kenyataan rasminya hari ini, beliau berkata, bagi pertuduhan ini, jika disabitkan kesalahan, ketiga-tiga anggota tersebut boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu pada 30 Oktober 2015,  EAIC telah mengumumkan dapatan (findings) siasatannya ke atas kematian Syed Mohd Azlan semasa dalam tahanan PDRM.

"EAIC mendapati kematian si mati mempunyai kaitan dengan penggunaan kekerasan secara fizikal oleh pihak polis yang menjalankan tangkapan dan soal siasat ke atas si mati," ujarnya.

Sehubungan dengan itu, selaras dengan peruntukan seksyen 30(1) (c) Akta EAIC 2009 (Akta 700), EAIC telah mengesyorkan kepada Pendakwa Raya (Peguam Negara) bagi pendakwaan jenayah dibawa terhadap pegawai dan anggota PDRM yang didapati telah melakukan salah laku bersifat kesalahan jenayah seperti yang dikenalpasti di dalam laporan penuh siasatan ini.

Sehubungan ini juga EAIC turut mengalu-alukan Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) PDRM untuk mengambil tindakan tatatatertib terhadap pegawai dan anggota-anggota yang telah dikenalpasti di dalam laporan penuh EAIC yang didapati telah melakukan salah laku seperti mana skop salah laku yang diberikan di bawah seksyen 24 Akta 700.

"Untuk mendapatkan butiran lanjut kandungan laporan siasatan ini orang awam boleh mengakses laman sesawang EAIC di www.eaic.gov.my," tambah beliau. - HARAKAHDAILY 18/8/2016

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails