Friday, August 19, 2016

Ibu Pejabat Polis Diserang Parti Pekerja Kurdistan Turki, 6 Korban 120 Cedera.

 AGENSI - ANGGOTA polis berkawal selepas insiden letupan bom kereta berlaku di kawasan tersebut.
ANKARA – Sekurang-kurangnya enam orang terkorban dan 120 lagi cedera parah dalam satu letupan kereta semalam di ibu pejabat polis di timur Turki, lapor pihak keselamatan.
Letupan yang didakwa Menteri Pertahanan, Fikri Isik dilakukan oleh parti politik haram, Parti Pekerja Kurdistan (PKK) itu berlaku di kawasan taman bangunan empat tingkat yang terletak di Elaziq.
Stesen televisyen Turki menyiarkan kerosakan teruk akibat letupan dengan kepulan asap tebal hitam keluar dari bangunan ibu pejabat tersebut.
Kenyataan Fikri itu dikeluarkan ketika temu ramah bersama agensi berita kerajaan, Anadolu yang menyatakan ia dilakukan oleh PKK.
“Kita akan mematahkan serangan PKK seperti dilakukan kepada Feto,” ujarnya yang merujuk kepada Fethullah Gulen, dalang rampasan kuasa bulan lepas.
PKK meneruskan serangan sejak beberapa minggu ini selepas gagal dalam rampasan kuasa pada 15 Julai lepas yang bertujuan untuk menjatuhkan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Dalam pada itu, pihak polis Turki melancarkan operasi besar-besaran semalam terhadap suspek perniagaan yang disyaki membiayai Fethullah. Sebanyak 187 waran tangkap dikeluarkan di seluruh negara, lapor CNN-Turk.
Laporan itu menyatakan, seramai 1,000 orang polis terlibat dalam operasi itu di 15 wilayah, termasuk serbuan se­rentak kira-kira 100 alamat di beberapa daerah di Istanbul.
Menerusi operasi sama Selasa lepas, pihak polis menyerbu berpuluh-puluh syarikat di Istanbul dalam operasi mencari 120 suspek. Seramai 100 orang ditahan dalam operasi tersebut. – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails