Thursday, April 28, 2016

Nilai Kembali 1.25 Juta Peminjam PTPTN Disenarai CCRIS -DPPM


Kenyataan Media

1. DPPM memandang serius terhadap nasib 1.25 juta orang peminjam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) seperti yang diumumkan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah. Semestinya majoriti daripada 1.25 juta orang ini adalah terdiri daripada golongan generasi muda lepasan universiti awam dan swasta.
2. Berpandukan syarat yang ditetapkan, kesemua peminjam PTPTN perlu mula membayar balik pinjaman dalam tempoh 6 bulan selepas mereka menamatkan pengajian dan jumlah bayaran perlulah mengikut jadual yang telah ditetapkan. Persoalannya, inilah dilema besar yang dihadapi anak muda. Tidak ramai graduan yang mendapat kerja seawal tempoh tersebut dan jumlah pendapatan bulanan yang diterima masih belum cukup untuk menampung kos sara hidup.
3. Merujuk kepada indeks pengangguran negara, ia meningkat daripada 3.1% pada Januari 2015 kepada 3.4% pada Januari 2016. Laporan dari Jabatan Statistik Malaysia melaporkan bahawa kini terdapat 14.6 Juta tenaga kerja dalam negara dengan 501 ribu lagi masih tiada pekerjaan. Jumlah ini agak besar berbanding Januari 2015 di mana terdapat 14.4 juta tenaga kerja dengan 450 ribu yang tidak berkerja.
4. Pada ketika ramai yang masih mengganggur, siri pembuangan pekerja juga turut bertambah dengan drastik apabila kelembapan ekonomi berlaku menyebabkan banyak syarikat menyelaraskan semula operasi bagi menyelesaikan masalah kewangan. Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan pada Oktober 2015 turut mendedahkan maklumat bahawa terdapat lebih 200,000 siswazah yang sudah dua tahun bergraduasi masih belum berkerja.
5. Apabila 1.25 juta orang peminjam ini tersenarai dalam CCRIS, pastinya mereka akan berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan kelulusan permohonan pinjaman seperti termasuk pinjaman peribadi, perumahan, kenderaan dan lain-lain. Bukankah ini suatu bentuk penganiayaan kepada anak muda?
6. DPPM tidaklah bermaksud mahu menggalakkan orang yang berhutang tidak membayar pinjaman mereka, tetapi mengharapkan pihak Kerajaan bertimbang rasa dan lebih bijaksana dalam menyelesaikan isu ini.
7. Langkah menyenaraikan peminjam PTPTN dalam CCRIS ini sepatutnya hanya dikenakan kepada mereka yang benar-benar sudah mampu tetapi sengaja tidak mahu membayar pinjamaan tersebut. Usahlah dipukul rata menyamakan kesemua peminjam sebagai kategori yang tegar dan sengaja enggan membayar sedangkan ramai anak muda ini masih belum stabil kewangan mereka.
8. Islam telah menetapkan apabila kita berhutang ia wajib dibayar, bahkan apabila berlakunya kematian, antara urusan yang perlu diutamakan ialah menyelesaikan hutang. Dalam ayat 282, Surah al-Baqarah dinyatakan dengan panjang lebar berkenaan hutang mengikut syariat Islam. Antara adab yang perlu dipatuhi ialah hutang mesti direkodkan secara bertulis dan bersaksi, pemberi hutang tidak mengambil untung ke atas orang yang berhutang, berhutang dengan niat untuk membayar kembali, dan tidak berhutang melainkan keadaan terpaksa.
9. Justeru, DPPM menyeru Kerajaan agar menilai kembali tindakan menyenaraikan 1.25 juta orang peminjam PTPTN dalam CCRIS ini. Nasib dan masa hadapan generasi muda terpelajar ini sepatutnya dibela dan dibantu, bukannya ditambah kesengsaraan mereka. Ruang rundingan dan syarat kelonggaran perlu dipertimbangkan agar para peminjam ini tidak terus selamanya hidup dalam belenggu hutang dan kesusahan.
Sekian.
“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

IR HAJI KHAIRIL NIZAM BIN KHIRUDIN
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

1 comment:

Anonymous said...

Dengan doa dan nasihat tok guru abdul hadi awang selaku penasihat kerajaan bn, najib akan arahkan ptptn melupuskan hutang2 tertunggak lebih 5 tahun ke atas. Dengan berkat Laillahaillah Muhammad Rasulullah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails