Tuesday, April 26, 2016

Superbest Power Sedia Taja K'tan Kalau Vida Beauty Tarik Balik.














KAMAL (dua dari kiri) menyatakan kesediaan untuk tampil selaku penaja pasukan Kelantan sekiranya Vida Beauty menarik balik tajaan mereka dengan skuad The Red Warriors.

SUKAN

SUPERBEST Power menyatakan kesediaan untuk menjadi penaja pasukan Kelantan sekiranya Vida Beauty Sdn. Bhd. kekal dengan hasrat menarik balik tajaan mereka kepada pasukan dari pantai timur itu.
Justeru, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak perlu panik jika ancaman daripada pemilik Vida Beauty, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida itu untuk menarik balik tajaan menjadi kenyataan.
Dr. Vida telah memberi amaran kepada KAFA untuk berbuat demikian ekoran prestasi hambar skuad Kelantan yang tidak mencapai tahap yang dikehendakinya.
Ketua Pegawai Eksekutif SuperBest Power Health Food and Beverages, Kamal Mohd. Nor menjelaskan, pihaknya bersedia menjadi penaja sekiranya ditawarkan oleh pihak KAFA, namun ia bergantung pada perkembangan yang akan berlaku selepas ini.
“Sekiranya penaja KAFA ketika ini menarik balik tajaan mereka, kami sedia mengadakan perbincangan demi untuk kebaikan bola sepak Kelantan.
“SuperBest Power juga merupakan penaja untuk kempen Piala FA selama tiga musim bermula tahun ini. Justeru, kami bersedia untuk menawarkan tajaan kepada Kelantan termasuk mana-mana pasukan yang terlibat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
“Jika ada peluang, (KAFA boleh mengadakan rundingan bagi membincangkan urusan penajaan) apa salahnya. SuperBest Power bersedia untuk menaja mereka sekiranya penaja asal tidak berminat lagi untuk meneruskan tajaan.
“SuperBest Power sememangnya berminat untuk mengadakan perbincangan, tetapi itu pun jika ditawarkan oleh pihak KAFA dengan syarat penaja mereka ketika ini benar-benar telah menarik diri,” kata Kamal ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo! semalam melaporkan, pengasas syarikat Vida Beauty, Dr. Vida memberi amaran untuk menarik balik tajaan kepada KAFA selepas tidak berpuas hati dengan prestasi terumbang-ambing skuad Kelantan dalam saingan Liga Super musim ini yang sekadar mencatat tiga kemenangan selepas mengharungi sembilan perlawanan.
Kelantan yang mendapat tajaan sebanyak RM16 juta untuk dua musim iaitu 2016 dan 2017 daripada Vida Beauty ketika ini menduduki tangga kelima liga de­ngan mengumpul 12 mata. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails