Sunday, November 01, 2015

Undi Tolak Bajet 2016, PAS Tidak Sokong. -Abd Hadi

PAS tidak akan undi bagi membangkang Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober, kata presiden parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 November, 2015.
PAS tidak akan undi bagi membangkang Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober, kata presiden parti itu. 

PAS akan mengambil tindakan berkecuali dan ahli Parlimennya sebulat suara tidak akan menyokong usul menolak Bajet 2016, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sinar Harian melaporkan presiden PAS itu berkata, parti itu tidak akan menolak Bajet 2016 kerana dasar parti Islam itu ialah menyokong perkara positif untuk rakyat.

"Dalam soal tolak usul bajet, kita berkecuali dan tidak akan undi bagi membangkang secara mutlak kerana dasar parti kita akan sokong perkara-perkara positif untuk rakyat dan akan membantah perkara-perkara negatif.

"Ada benda yang kita tidak setuju tetapi tidak mungkin kita akan sertai saranan untuk bantah usul Belanjawan (Bajet) 2016," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai program dialog rakyat bersama PAS di Hotel Tanjung Vista, di Terengganu, semalam.

Sebelum ini, ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyarankan agar kesemua ahli Parlimen pembangkang menolak usul Bajet 2016 sebagai salah satu protes menolak kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Hadi turut dilaporkan berkata, PAS juga bersedia menjadi penasihat kepada Umno sekiranya parti Melayu itu merubah dasar perjuangan mereka.

"PAS sedia menjadi penasihat dan pembantu sekiranya Umno ubah dasar pemerintahan. Kita bukan gilakan kuasa atau mahu menguasai Putrajaya. Sekiranya mereka enggan terima nasihat atau pandangan, barulah kita akan ambil pendekatan lain iaitu 'ambil alih' pemerintahan.

"Kita sekarang mahu perbetulkan kerajaan, bukan mahu ikut kerajaan atau berebut jawatan. Kita sekarang bukan mahu jatuhkan perdana menteri tetapi mahu perbetulkan dasar yang dibawa, "katanya.

Tambahnya lagi, terdapat beberapa kaedah lain bagi menjatuhkan perdana menteri sama ada melalui pilihan raya atau undi tidak percaya.

"Hari ini, daripada 222 kerusi yang ada, 89 adalah milik pembangkang. Persoalannya, adakah dengan jumlah itu ia bolehkah menjatuhkan beliau (Najib) dengan undi tidak percaya? Kecualilah, jika orang-orang Umno undi bersama, "katanya, memetik laporan Sinar Harian.

"Setuju dengan Umno bukan bermaksud kita akan jalankan kerjasama politik dengan mereka kerana PAS lebih selesa duduk di luar Barisan Nasional (BN), bukan di dalam BN malah kita tidak akan bergabung dengan Umno," katanya.

PAS juga bersedia menghantar pasukan mereka bagi berbincang degan Umno berkenaan beberapa isu yang membelenggu pentadbiran kerajaan hari ini.

"Sebagai langkah untuk memperbetulkan kerajaan, PAS bersedia menghantar pasukan untuk berbincang dengan Umno baik mengenai isu berbangkit seperti GST, perumahan, kejatuhan nilai ringgit dan sebagainya," katanya, merujuk kepada cukai barangan dan perkhidmatan. (TMI)

3 comments:

Anonymous said...


Adakah adil pemimpin-pemimpin negara hidup mewah sedangkan rakyat hidup miskin dan dihimpit oleh GST, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dan tol dan pelbagai bentuk cukai yang melampaui batas?

Beruntunglah manusia yang menjadi rakyat negara Islam yang melaksanakan hukum Allah di mana pemimpin-pemimpin Islam memberi perhatian kepada kebajikan dan keperluan asasi rakyat. Sebagai contoh, Sayyidina Umar r.a seorang khalifah Islam yang bekerja keras dan teliti kerana beliau seorang hamba Allah yang sejati yang mengambil berat tentang umat Islam di dalam negaranya, seperti seorang ayah yang mengambil berat tentang anak-anaknya.

Khalifah Umar memikul karung yang sarat berisi makanan itu ke rumah wanita miskin kerana wanita itu tidak mempunayi sebarang makanan untuk diberi kepada anak-anaknya. Bila beliau sampai, beliau sendiri yang memasakkan makanan untuk anak-anak itu dan malah beliaulah yang memberi mereka makan. Ibu tua tersebut menyatakan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Saidina Umar r.a.

Siapakah pemimpin kerajaan hari ini yang pernah melakukan kebaikan seperti Khalifah Umar? Sebahagian pemimpin hari ini lebih mementingkan diri sendiri berbanding dengan kebajikan rakyat ! Begitulah juga macai, balaci dan barua sekular yang hanya sibuk bodek dan mendewa-dewakan pemimpin sekular dan mementingkan upah seringgit dua untuk perut sendiri dan membiarkan rakyat terus hidup dalam kemiskinan!

Marilah kita semua menubuhkan kerajaan Islam yang melaksanakan hukum Allah !

soloone said...

komen anda bagus..utk kesejahteraan dunia akhirat...
tapi macamana nak tubuh kerajaan Islam kalau setakat nak jadi penahsihat kerajaan sekular.

Anonymous said...

Dah mesra Umno.. dulu lain sekarang lain.. dulu benci sekarang suka.. bila dah suka semua indah belaka.. dah nak nasihat sangat.. kita tunggu satu perkara je.. GST mansuh

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails