Tuesday, November 03, 2015

Solat Hajat (?), Baca Yasin, Doa Tepi Lebuhraya Begini, Salahkah?



KUALA TERENGGANU: Gambar pelajar sekolah yang sedang membacakan surah Yasin di tepi jalan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) mengundang kemarahan ibu bapa.
Ibu bapa yang berang itu mendakwa pentadbiran sekolah bertindak tidak bertanggungjawab dan membahayakan nyawa pelajar.
Gambar yang menjadi viral di Facebook dan Whatsapp pada Ahad menunjukkan pelajar dan guru sedang duduk beralaskan tikar di lorong kecemasan. Sebuah bas juga kelihatan diletakkan berhampiran.
Mereka dikatakan sedang membacakan ayat-ayat Al-Quran untuk keselamatan pengguna lebuhraya.
Seorang bapa Shah Julian Aman Shah mempersoalkan bagaimana pihak berkuasa sekolah membenarkan aktiviti seperti itu diadakan di tempat yang bahaya.
"Pihak berkuasa sekolah seharusnya mencari tempat yang lebih sesuai. Dan adakah pihak sekolah meminta kebenaran daripada ibu bapa?" ujar bapa kepada dua anak.
Tambahnya lagi, pihak sekolah tidak sepatutnya mengadakan solat hajat di tempat yang boleh berlakunya kemalangan.
Seorang ibu kepada pelajar, Marlinda Abd Rahman berkata walaupun tindakan itu mulia tetapi sangat salah.
"Siapa benarkan mereka mengadakan solat di tempat seperti itu?
"Adakah mereka sebenarnya meminta kebenaran daripada ibu bapa atau polis ataupun pihak berkuasa lebuhraya?" kata Marlinda.
Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Shafruddin Ali Hussin mengingatkan pihak berkuasa sekolah untuk menganjurkan acara seperti itu di tempat selamat seperti di kompleks lebuhraya.
Shafruddin berkata pihaknya akan memanggil guru yang terlibat untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sumber dari sekolah mengatakan acara yang dianjurkan itu dalam lawatan ke Kemaman selepas tamat peperiksaan PT3.
Jelasnya, solat hajat itu bukanlah sebahagian daripada rancangan program. (mStar)

2 comments:

Anonymous said...


Saya adalah pengguna LPT2 dan saya pernah melihat kereta dari arah bertentangan tiba-tiba berpusing dan melanggar divider. Sebuah kereta 4WD memotong kereta saya, selepas itu kereta tersebut melanggar divider dan berhenti dalam arah bertentangan. Saya biasa melihat kereta-kereta kemalangan kerana jalan LPT2 licin (slippery), beralun dll. SPRM perlu menyiasat kes-kes seperti ini demi keselamatan orang ramai. LPT2 menunjukkan kegagalan pemimpin BN untuk menentukan LPT2 dibina dengan sempurna.

Walaubagaimanapun, saya juga pernah mengalami kejadian aneh semasa melalui LPT2. Semasa saya singgah di R&R Ajil yang belum siap, saya dan anak saya mendengar 'orang' menggoreng makanan dan terhidu bau masakan tetapi saya tidak melihat sesiapa yang menggoreng. Kereta saya pernah menjadi terlampau berat dan bergerak perlahan semasa bergerak melalui LPT2 tetapi selepas kita membaca ayat Qur'an, kereta menjadi ringan dan laju. Pernah juga kita terdengar bunyi aneh di atas bumbung kereta tetapi bunyi itu hilang selepas kita membaca ayat Qur'an. (Nota: Saya berpendidikan sains tulen peringkat universiti dan saya tidak pernah menggunakan dadah, tidak pernah minum arak dll)

Pernah juga ahli keluarga saya mengambil gambar di kawasan LPT2 dan didapati terdapat makhluk aneh dalam gambar foto tersebut. Sayangnya gambar foto itu telah dipadamkan kerana bimbang foto akan menimbulkan pelbagai fitnah.

Walaubagaimanapun, adalah tidak wajar pihak sekolah mengarahkan pelajar-pelajar berhimpun di tepi jalan LPT2 untuk membaca ayat Qur'an kerana bila-bila masa sahaja kereta , lori dll boleh terbabas di LPT2. Tindakan ini boleh membahayakan pelajar dan guru ! Sepatutnya, pihak sekolah mendapatkan kebenaran ibubapa atau penjaga sebelum membawa pelajar ke LPT2. Tujuan baik tetapi caranya salah !

Memang wajar alim ulama dan umat Islam melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah supaya LPT2 selamat digunakan.

Anonymous said...

Nak baca yaasin dan solat hajat tak salah.. yang salah bila buat tu tak kena pada tempat (tepi Highway) yang boleh mengundang bahaya..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails