Friday, November 06, 2015

Elaun ADUN K'tan: B/Naib Presiden PAS Dulu Tolak Logik Naib Presiden PAS Sekarang.

Bekas Naib Presiden PAS sebelum ini dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa menolak logik Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad  sekarang yang mempertahankan kenaikan elaun wakil rakyat Kelantan.
Husam terus bersikap sinis dengan berkata beliau tidak sangka Idris (gambar bawah) seorang yang “melucukan dan sangat pro kenaikan gaji wakil rakyat”.
“Dasar kesederhanaan pemimpin yang dianjurkan oleh PAS nampaknya dah sirna belum sepenggal bergelar YB.
“Gaji wakil rakyat besar, senanglah rakyat - itu logik YB Bukit Gantang (Idris). Ya kah begitu?
“Ada sesetengah wakil rakyat, pintu pagar rumahnya pada kebanyakan masa berkunci.
Bila gaji sudah naik, pintunya akan terbuka?” soal Husam, seorang naib presiden PAS sebelum Idris.
Sinar Online semalam melaporkan Idris sebagai berkata kerajaan Kelantan sudah mengambil kira pelbagai faktor sebelum menaikkan elaun ADUN, exco, timbalan, menteri besar dan speaker yang berkuat kuasa Januari depan.
Beliau berkata wang wang yang diperoleh itu akan turut berakhir di tangan rakyat, antaranya melalui bantuan kepada golongan susah.
Tunggakan 16 bulan guru YIK
Dalam kenyataannya di Facebook hari ini, Husam, anak didik ikon perjuangan PAS allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, membangkitkan masa kenaikan itu ketika banyak lagi perkara belum selesai.
Husam antaranya membangkitkan soal banyak lagi rumah yang dihanyutkan banjir besar tahun lalu belum terbina, selain beberapa bayaran tertunggak kerajaan negeri.
“Tunggakan guru YIK (Yayasan Islam Kelantan) belum berbayar sejak 16 bulan. Bayaran pencarum kifalah juga tertunggak. Peserta Ladang Rakyat belum menerima dividen,” kata bekas exco ekonomi negeri itu.
Husam berhujah isu kenaikan gaji sebenarnya masih boleh disemak selepas ini kerana pada Mac depan DUN Kelantan akan bersidang lagi.
Ketika itu, katanya, sebahagian besar isu yang dibangkitkannya mungkin telah diselesaikan.
“Lima bulan sahaja untuk bersabar berbanding sudah sepuluh bulan lebih rakyat dilanda bah menunggu.
“Itulah pengorbanan, kalau pun hendak dikira sebagai berkorban. Dengan itu, imej pejuang Islam di mata rakyat tidak rosak,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa PAS mengajar untuk mengutamakan kewajipan kepada rakyat terlebih dahulu.
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 2 November lalu meluluskan meminda Rang Undang-undang Enakmen Saraan Anggota-Anggota Pentadbiran dan ADUN 1980 (Pindaan 2015).
Ia membabitkan kenaikan elaun menteri besar daripada RM12,800 kepada RM15,000 sebulan, timbalan menteri besar, (RM8,800 kepada RM13,000), exco serta speaker DUN, (RM6,000 kepada RM10,000) dan ADUN (RM4,600 kepada RM8,000). 
Sebelum ini, Salinan soalan Husam ke PAC Kelantan

Salinan soalan berkaitan isu pembalakan Kelantan daripada Datuk Husam Musa (PAS-Salor) turut dimajukan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) negeri.
Bekas exco kanan negeri itu berkata penyerahan salinan soalan itu kepada PAC Kelantan dibuat bagi tujuan penelitian jika perlu.
“Sejumlah soalan tambahan dengan notis ini, saya akan sampaikan satu salinan kepada MB sebelum sidang bermula.
“Satu salinan akan juga disampaikan kepada Pengerusi PAC Negeri Kelantan, kalau kalau ada aspek yang boleh diteliti oleh mereka,” tulis Husam di Facebook.
Husam mengemukakan lima soalan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dalam sidang DUN yang akan bermula Isnin depan.
Terdahulu bekas naib presiden PAS itu lantang mendedahkan beberapa tindakan kerajaan negeri yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang dari konsep ketelusan.
Malah Husam juga menuntut kerajaan negeri supaya tidak meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan seluas 1,400 hektar di hutan simpan Kekal Ulu Sat di Machang.
Semalam seorang pengundi luar Kelantan Mohd Afiq Ayob membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan rasuah lebih RM5 juta berkaitan kegiatan pembalakan melibatkan seorang pemimpin di negeri ini.
Ahmad berkata, Kelantan sedia memberi kerjasama kepada SPRM bagi menyiasat dakwaan berlaku rasuah membabitkan pemimpin kerajaan negeri itu. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails