Wednesday, September 02, 2015

Bersih 4 Bukti PAS Parti Pembangkang Terbesar. -Tuan Ibrahim


Kekurangan penyertaan orang Melayu dalam perhimpunan Bersih 4 membuktikan parti Islam itu terus kekal sebagai pembangkang terbesar di negara ini, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).

Timbalan presiden PAS itu berkata, parti Islam itu hadir dengan sepenuh tenaga setiap demonstrasi Bersih mahupun anti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang lepas dan kali ini ia tidak mengerahkan ahlinya.

Tuan Ibrahim berkata, melalui laporan pelbagai media, difahamkan ketiadaan PAS dirasai kali ini berbanding perhimpunan Bersih sebelum ini.

"Ini sekali gus membuktikan PAS sebagai parti pembangkang terbesar terus menjadi faktor besar dalam arus perdana politik negara," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kekurangan penyertaan orang Melayu diakui pelbagai pihak termasuk kumpulan pecahan daripada parti itu, Gerakan Harapan Baru (GHB) yang kini sedang membentuk parti mereka sendiri Parti Amanah Negara (Amanah).


DAP juga mengakui kenyataan ini dan meminta semua pihak memberi peluang kepada parti baharu itu dibentuk dengan rasminya. Menurut Tuan Ibrahim, PAS menyokong tuntutan Bersih untuk pilihan raya yang bersih, dan kehadiran Naib Presiden Idris Ahmad merupakan buktinya ..

"PAS tidak melarang ahlinya menyertai perhimpunan kali ini.
"Yang berbeza - cuma PAS tidak kolar ahli kerana sudah ada banyak program parti yang diaturkan terlebih dahulu. Ahli boleh memilih sama ada pergi atau tidak, tanpa sebarang kongkongan," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, impak terbesar perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ialah bermulanya era penerimaan demonstrasi aman sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi negara kita.

"Rakyat Malaysia membuktikan demonstrasi boleh dibuat secara aman, pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) pula menunjukkan mereka boleh mengawal demonstrasi dengan baik," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim tindakan berlembut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas memberi amaran keras untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menggunakan t-shirt Bersih 4.

"Apakah beliau sedang menyiapkan dirinya untuk menggantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?" soal beliau.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim kesal dengan persepsi negatif dan fitnah yang sengaja dibina terhadap mereka terutamanya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sehingga wujudnya insiden-insiden tidak beradab dan melampaui batas seperti memijak gambarnya.

"PAS ingin melahirkan dukacita dan kekesalan yang amat sangat dengan insiden tidak bertamadun ini. Insiden-insiden penghinaan sebegitu, walaupun terpencil oleh para provokasi, sudah pasti akan menimbulkan ketidakselesaan yang tidak perlu. Ini membuktikan keputusan PAS adalah tepat kali ini untuk tidak mengerahkan ahlinya, "katanya merujuk kepada insiden segelintir peserta Bersih 4 yang memijak gambar Hadi yang dipotret berpeluk dengan Najib.

Bagaimanapun menurut Tuan Ibrahim, perjuangan PAS menuntut perubahan bersama rakyat Malaysia akan diteruskan melalui pendekatan lain seperti Kongres Rakyat yang bakal diadakan 12 September ini.

"Semua yang berminat melihat kejatuhan Umno-BN dialu-alukan menyertai Kongres Rakyat," katanya merujuk kepada kongres dianjurkan oleh PAS menjelang pelancaran rasmi Amanah pertengahan bulan ini.

Kongres Rakyat akan dianjurkan 12 September di Shah Alam manakala pelancaran Amanah dilakukan pada 16 September. - 2 September, 2015.

1 comment:

Anonymous said...

Kongres Rakyat!!!Blh pakai ke kalau ada Pas dlm kongres?Aku ahli pas pun dah pening dgn sikap angkuh lebai2 Malang yg ngaku sbg ulamak,blkg tabir senyap bersengkokol dgn Umno.Cukupla main wayang,lebai2 ni mkn gaji buta tak de sumbangan kalau jd mp atau dun.Cermin muka dulu,malu kat ahli2 pas sendiri!!!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails