Friday, July 03, 2015

PasMa Tubuh Parti Baru, Jika G18 Gagal..

Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) akan menerajui sendiri usaha menubuhkan sebuah parti Islam yang baru sekiranya Kumpulan progresif, G18, gagal berbuat demikian.

Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata pihaknya akan menyokong parti yang ditubuhkan oleh G18. Bagaimanapun, katanya, jika ia tidak menjadi kenyataan, PasMa sendiri akan berusaha menubuhkan sebuah parti baru.

Phahrolrazi berkata pendirian PasMa ialah perlunya sebuah parti Islam yang baru dalam gabungan pembangkang selepas Pakatan Rakyat berpecah.

"Sekiranya G18 tak tubuh parti, kita (PasMA) akan ambil inisiatif, kita akan teruskan tanggungjawab (menubuhkan parti baru).
"Tapi buat masa ini, ada pihak (G18) nak tubuhkan parti, maka kita bagi laluan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Phahrolrazi menegaskan bahawa usaha menubuhkan parti baru itu memerlukan kerjasama banyak pihak dan tidak boleh secara bersendirian.

“Kita ni NGO penyokong, apa saja keperluan kita terus sokong,” katanya.

Usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP dan kekalahan kumpulan progresif PAS dalam muktamar parti itu bulan lalu, menguatkan lagi hasrat penubuhan sebuah parti Islam yang baru itu.

Kumpulan progresif PAS telah membayangkan kemungkinan sebuah parti Islam yang baru ditubuhkan sekiranya PAS tidak memenuhi pendekatan inklusif yang dibina pada masa ini. (MK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails