Tuesday, June 23, 2015

Taliban Serang Parlimen Afghanistan, A/Parlimen Bertempiaran Lari..

AP - SEORANG anggota keselamatan Aghanistan mengawal pintu masuk bangunan Parlimen di Kabul selepas satu serangan dilancarkan pemberontak Taliban semalam.

KABUL – Dua orang termasuk seorang kanak-kanak mati apabila sekumpulan militan Taliban melancarkan serangan ke atas Parlimen Afghanistan semalam yang mencetuskan beberapa letupan dan menyebabkan anggota-anggota Parlimen bertempiaran lari menyelamatkan diri.
 
Serangan itu berlaku ketika calon menteri pertahanan Afghanistan diperkenalkan kepada Parlimen.
 
“Beberapa pejuang mujahidin (Taliban) memasuki bangunan Parlimen, pertempuran sengit berlaku,” kata jurucakap Taliban, Zabihullah Majid di laman social twitter.
“Terdahulu, sebuah bom kereta diletupkan di jalan utama berhampiran bangunan Parlimen. Sekumpulan penyerang kemudian memasuki sebuah bangunan di hadapan Parlimen,” kata jurucakap polis Kabul, Ebadullah Karimi.
 
Jurucakap kementerian dalam negeri, Najib Danish pula memberitahu bahawa terdapat tujuh penyerang, manakala 31 orang termasuk lima wanita dan seorang kanak-kanak cedera dalam kejadian tersebut.
 
“Dewan Parlimen dipenuhi asap dan wakil-wakil rakyat mula meninggalkan bangunan Parlimen,” kata seorang anggota Parlimen, Mohammad Reza Khoshak.
 
Kumpulan pemberontak Taliban melancarkan serangan di seluruh Afghanistan sejak hujung April lalu dan meningkatkan serangan ke atas bangunan kerajaan dan kepentingan asing dalam musim pertempuran kali ini yang dijangka paling berdarah sejak 10 tahun lalu. – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails