Tuesday, June 23, 2015

PR S'gor Makin Kritikal, Azmin Jumpa Sultan..

Azmin dan Sultan Selangor.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan semalam bagi berbincang kemelut dalaman Pakatan Rakyat (PR) yang turut melanda negeri terkaya Malaysia itu.

Lidah rasmi Umno itu bagaimanapun melaporkan, tidak dapat dipastikan sama ada pertemuan hampir sejam itu menyentuh soal politik atau tidak.

"Namun, tidak dapat disahkan sama ada perbincangan tersebut melibatkan isu politik semasa yang melanda pakatan pembangkang ketika ini atau sebaliknya," kata akhbar tersebut.

Azmin sebelum itu dilaporkan hadir di istana berkenaan bagi mengiringi baginda sempena istiadat penyerahan watikah pelantikan Ketua Hakim Syarie Selangor, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor, Hakim-hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor dan para Pendaftar serta Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.


Utusan Malaysia turut memetik kenyataan Azmin pada 18 Jun lalu, yang menyifatkan tidak adil mengheret institusi kesultanan dalam krisis politik, dan berkata beliau tidak ada keperluan menjelaskan isu tersebut kepada istana.

Kenyataan itu dibuatnya selepas Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli Khamis lalu menyatakan Azmin akan menghadap Sultan Selangor dalam masa terdekat bagi menjelaskan keadaan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PKR itu susulan krisis dalam pakatan pembangkang.

Tidak lama dulu, menteri besar sebelum ini, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut menghadap sultan bagi menjelaskan krisis yang menyaksikan beliau digantikan Azmin.

PR di Selangor kini semakin kritikal selepas DAP secara rasmi berkata pakatan itu sudah tiada. PKR mempunyai 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor selepas Khalid dipecat tahun lepas. DAP dan PAS masing-masing mempunyai 15 kerusi DUN manakala Umno mempunyai 12. - 23 Jun, 2015.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails