Monday, June 22, 2015

Pakatan Masih Hidup, Boleh Kerjasama Kecuali Cauvinis.. -Presiden PAS

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersalaman dengan peniaga dan orang ramai ketika melawat bazaar Ramadan Jalan Raja Alang Kampung Baru, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 21 Jun, 2015.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendiriannya iaitu Pakatan Rakyat (PR) masih wujud dan menegaskan walaupun ia kini terdiri daripada 2 parti - PAS dan PKR, tanpa DAP tetapi ia tetap satu pakatan.

Keyakinan beliau itu dinyatakannya hari ini memandangkan tiada sebarang pendirian yang dikeluarkan PKR berhubung masa depan PR.

"Selagi PKR tidak buat keputusan, maksudnya ia masih bersama (PR). Apa makna 'pakatan'? 'Pakatan sekurang-kurangnya perlu ada 2 (parti). Kalau satu jadi pakatan tak? Tidak boleh.
"Ini saya berjalan .. Saya masih hidup (PR masih hidup)," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di bazaar Ramadan Jalan Raja Alang di Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini.

PAS meluluskan tanpa bahas usul Dewan Ulama memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP pada muktamar tahunannya ke-61 awal bulan ini.
Susulan itu, DAP mengumumkan PR bubar secara rasminya. Bagaimanapun, Hadi baru-baru ini membuat kenyataan menyatakan PR masih belum berkubur.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula tidak menjelaskan pendiriannya, sebaliknya hanya menyatakan PR kini tidak lagi berfungsi secara rasmi. Ditanya adakah keputusan PAS untuk bekerjasama dengan PKR kerana ingin mengekalkan kedudukan mereka di Selangor, Abdul Hadi menegaskan parti Islam itu akan bekerjasama dengan sesiapa saja kecuali golongan yang dianggap "cauvinis".

"Kita bekerjasama dengan semua parti yang tidak cauvinis," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi turut ditanya mengenai bekas calon presiden yang dikalahkan semasa pilihan raya lalu, Ahmad Awang, yang dilaporkan bakal menyaman beliau atas kenyataannya semasa muktamar lalu.Ahmad berkata semalam, Abdul Hadi mendakwa beliau merupakan calon DAP. Abdul Hadi dengan ringkas menjawab hari ini, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan begitu.

"Tidak saya tidak ada kata begitu .. tidak ada cakap apa-apa," katanya.

Menjelang pemilihan pada muktamar itu, Abdul Hadi dalam satu kenyataannya yang disebarkan melalui video mendakwa, pertandingan itu antara calon pilihan DAP dan calon pilihan PAS.

"Boleh pilihlah antara yang DAP hendak atau yang kita (PAS) hendak," katanya dalam rakaman video yang disebarkan secara meluas melalui media sosial khasnya di kalangan perwakilan muktamar itu.

Ahmad memberitahu The Malaysian Insider semalam, beliau sedang mengkaji tindakan undang-undang ke atas pihak yang memfitnah beliau sepanjang kempen pilihan raya itu, termasuk Abdul Hadi.

"Saya sedang kaji tindakan itu (saman), termasuk presiden yang menuduh saya sebagai calon DAP," katanya."Ini (fitnah) saya tidak boleh terima dan saya akan bersihkan nama baik saya," katanya yang tewas dalam pilihan raya itu apabila hanya mendapat kira-kira 25% sahaja dari keseluruhan jumlah undi. - 21 Jun, 2015.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails