Tuesday, December 16, 2014

Terima Anugerah Doktor Kehormat Dari University of Berkley, AS.


 

KOTA BHARU: Julung kali berlaku dalam sejarah perjuangan PAS apabila seorang pemimpinnya menerima anugerah Doktor Kehormat dari universiti terkenal luar negara.

University of Berkley, Michigan Amerika Syarikat menganugerah Doktor Kehormat Politik kepada bekas anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Omar Mohammad.

Penganugerahan itu dibuat pada istiadat konvokesyen unversiti berkenaan 26 September 2013.

Omar berkata, beliau hadir menerima anugerah tersebut tahun lepas pada majlis konvokesyen yang diadakan di universiti terbabit. Menurutnya anugerah itu diberi hasil pencalonan dibuat Universti STAIS Lan Taboer Jakarta.

“Saya merupakan salah seorang anggota Senat dan tutor universiti berkenaan,” katanya selepas majlis Pidato Perdana Penerima Doktor Kehormat di Dewan Teratai Kota Darulnaim hari ini.

Dua lagi lulusan PhD turut menyampaikan sinopsis kajian pada program berkenaan iaitu Dr Wan Nik Wan Yussof (Sains Politik) dan Dr Mahsor Yahya (Usuludin, al-Quran).

Dr Wan Nik yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar mengkaji “Peranan Negara Dalam Mengendalikan Kumpulan Islamis: Kajian di Malaysia, Turki dan Indonesia” menamatkan kajian akhir 2013. Manakala Dr Mahsor bertugas di Yayasan Islam Kelantan menyiapkan kajian “Kaedah Terjemahan Quran Bergantung Makna Jawi dan Al Furqan Tafsir al Quran”.

Kedua-dua pemegang PhD itu menerima ijazah Doktor Falsafah pada konvokesyen UKM pada awal November lepas. Turut menerima Phd pada konvokesyen itu Penggawa Daerah Bekelam, Bachok, Dr Mustafa Ahmad. University of Berkeley juga menganugerah Doktor Kehormat kepada Burhadi S, pensyarah di Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP) Sukadiri, Kabupaten Tangerang, Banten, Indonesia.

Hadir sama pada program Pidato Perdana tersebut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Muhammed Fadzli Hassan, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Ketiga-tiga pemidato juga menerima hadiah daripada kerajaan negeri.

Program berkenaan dianjur kerajaan negeri dengan kerjasama Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Tabung Amanah Tok Kenali, Yayasan Islam Kelantan dan Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan. Dr Fadzli berkata, program seumpama itu akan diadakan dari semasa ke semasa bagi menghargai pencapaian tertinggi akademik anak-anak Kelantan.

“Program ini julung diadakan di bawah Jawatankuasa Pengajian Tinggi. Kita akan anjurkan lagi majlis serupa bagi berkongsi hasil kajian.
“Kita akan kumpulkan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing bagi dimanfaatkan untuk membantu membangunkan Kelantan,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 15/12/2014 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails