Friday, December 19, 2014

GAP Desak Sidang Tergempar Parlimen Babitkan Kewangan Negara.



KUALA LUMPUR: Gerakan Anti Perkauman (GAP) mendesak supaya suatu sidang tergempar parlimen diadakan berikutan suasana semasa yang membabitkan kewangan dan ekonomi negara.

“Sejak akhir-akhir ini negara kita disogokkan dengan isu-isu yang mengalih perhatian daripada masalah sebenar yang membengkak dan menjejaskan kestabilan ekonomi negara. Keadaan kewangan negara membimbangkan seluruh rakyat melibatkan isu pengapungan harga petrol, 1MDB dan kejatuhan nilai mata wang ringgit yang menjejaskan transaksi impot dan eksport negara serta tahap keberhutangan negara yang membimbangkan.” Demikian kenyataan media Gerakan Anti Perkauman (GAP) melalui pengerusinya Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar mendesak supaya suatu sidang tergempar parlimen diadakan.

“Dengan itu sidang tergempar Parlimen perlu diadakan untuk mencari jalan langkah penjimatan kewangan negara dan seterusnya menubuhkan suruhanjaya bebas bagi membuat laporan terperinci terhadap pihak yang menyalahgunakan dana negara sehingga menjadikan kerajaan sebagai cagaran.”

Dalam kenyataan yang sama, GAP mendesak semua pihak mengambil berikut demi menyelamatkan negara.

1. Jangan mengheret negara kepada masalah yang cuba mengalih perhatian daripada isu yang lebih utama dan kritikal.

2. Semua pemimpin politik dari pelbagai parti harus duduk berbincang tentang bagaimana hendak menyelamatkan keadaan kewangan negara yang akan melibatkan kesejahteraan rakyat.

3. Parti yang memerintah seharusnya bersedia untuk ambil langkah praktikal bagi membuka ruang pendemokrasian dan berhenti mengugut rakyat dengan isu perkauman dan agama sebagai menutup kelemahan dan kebobrokan mereka.

4. Parti-parti dalam PR yang membawa aspirasi untuk membuat perubahan politik harus fokus kepada janji mereka dalam manifesto bagi meneruskan amanah undi yang diberikan.

5. Tiba masanya rakyat Malaysia dihidangkan dengan politik kesedaran hati naluri dan politik budiman untuk kita tumpukan kepada membina negara dan menyelamatkan kegawatan kewangan negara. (IH/HARAKAHDAILY 19/12/2014)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails