Saturday, October 12, 2013

Perlaksanaan Islam Tidak Halang Kerjasama PAS-PR -Abd Hadi


SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perlaksanaan undang-undang Islam tidak menghalang kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat termasuk rakan bukan Islam kerana mereka tidak terlibat dengan undang-undang tersebut sebaliknya mereka harus melihat undang-undang itu dilaksanakan terlebih dahulu.

Katanya, PAS menyatakan dasarnya secara terbuka manakala DAP turut menyatakan perjuangannya secara terbuka dengan berdialog maka PAS dapat bekerjasama dalam perkara yang ada persamaan tanpa menghalang dalam perkara yang berbeza.

Beliau turut menegaskan untuk melaksanakan undang-undang Islam kuasa politik  merupakan syarat utama untuk menggubal undang-undang dalam perlembagaan negara.

Katanya, undang-undang merupakan salah satu rukun dalam negara mengikut kaedah politik dan undang undang sebuah negara tidak boleh diikhtiraf  kecuali mempunyai lima syarat.

"Sebuah negara mesti mempunyai pemimpin iaitu kerajaan yang memerintah, negeri atau negara, rakyat, ada perlembagaan dan kedaulatan sebuah negara mesti bebas sepenuhnya," katanya dalam ucaptama `56 tahun Merdeka: Ke Mana Hala Tuju Syariah Islam di Malaysia', di Unisel, Shah Alam.

Beliau menegaskan sebab itu negeri Kelantan, Terengganu ketika memerintah bahkan Selangor mempunyai bidang kuasa yang terhad untuk melaksanakan undang-undang Islam. Menurut beliau, penjajah telah meminggirkan undang-undang Islam setelah mereka gagal untuk memurtadkan penduduk supaya meninggalkan ajaran Islam kerana melaksanakan konsep sekularisma memisahkan agama dengan urusan dunia.

Undang-undang Islam itu katanya telah dipinggirkan secara halus dengan cara mewujudkan Jabatan Agama Islam sedangkan Islam itu lebih besar dan tidak perlu berada di bawah satu jabatan.

"Mengapa Islam ada pejabat seperti pejabat haiwan, pejabat hutan dan bermacam-macam pejabat lagi. Islam ditadbirkan bukan Islam dikongkong," tegasnya.

Beliau berkata, undang-undang Islam bukan sekadar undang-undang keluarga, pusaka serta berkait dengan wakaf bahkan undang-undang keluarga tidak boleh diasingkan daripada undang-undang lain.  Mengulas tentang Suruhanjaya Reid katanya, PAS bersama NGO Islam pernah menghantar memorandum mendesak supaya Islam diletakkan dalam pelembagaan kerana umat Islam merupakan majoriti besar selepas kemerdekaan.

Katanya, tekanan itu menyebabkan Suruhanjaya Reid meletakkan Perlembagaan Fasa 3 Islam sebagai agama Persekutuan di samping agama lain boleh diamalkan. Menurut beliau, selepas 56 tahun negara mencapai kemerdekaan pemikiran pimpinan negara masih jumud kerana mereka tidak mengikut ajaran Islam.

PAS mendesak supaya syariat Islam yang sempurna dilaksanakan secara umum malangnya ada kalangan yang menentang kerana menganggap syariat Islam lemah sehingga mereka menghentam undang-undang Islam, katanya.  Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mengimbas sejarah PAS menyertai kerajaan campuran pada tahun 1970-an yang tegas dengan pendirian sehingga menegaskan majlis tari menari bercampur lelaki dan perempuan.

"PAS membantah minuman arak dihidangkan dalam jamuan negara menuntut laungan azan di radio dan TV di adakan," katanya.

Begitu juga tambah beliau, iklan arak dan judi dihapuskan dalam media kerajaan dan PAS minta supaya ada hak untuk menyebarkan kefahaman Islam di Kementerian. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails