Thursday, October 10, 2013

K'tan: Datuk Nasarudin Daud Jawab Husam


Bekas Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa (gambar) bertembung lagi dengan pimpinan baru kerajaan negeri di sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini selepas mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang mahu memberikan kelulusan kawasan balak di hutan simpan di Machang semalam.

Hari ini Husam tidak sehaluan dengan Exco kerajaan negeri, Datuk Nasarudin Daud apabila beliau tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh exco berkenaan.
Nasarudin dalam ucapan penggulungan mempertikaikan cadangan Husam agar Jawatankuasa Kira-kira Awan (PAC) Kelantan diperkasakan.

Ini kerana, kata Nasarudin, cadangan itu sepatutnya diberikan semasa perbincangan pembentukan PAC dibuat sebelum ini dan mempertikaikan kenapa Husam membangkitkan hal ini selepas keputusan dicapai.

"Semasa perbincangan mengenainya YB tidak hadir. Selepas selesai dilantik baru dibuat cadangan," kata Nasharudin yang menyindir ketidakhadiran Husam sebelum itu.

Malah, katanya, apa yang dibuat adalah melaksanakan amalan yang dibuat oleh kerajaan negeri sebelum ini.
Ia menyebabkan Husam marah dan berkata, kenapa perkara itu (ketidakhadiran) dibangkitkan kerana beliau mempunyai sebab tidak hadir ketika ia dibentangkan. Katanya, apa yang perlu dibuat oleh pimpinan kerajaan negeri Kelantan adalah mempertimbangkan cadangannya itu baik atau tidak.

"Kalau baik boleh dilaksanakan. Bukan semestinya sekarang, boleh jadi tahun depan," kata Husam.

Husam ketika membahaskan ucapan Bajet kerajaan negeri semalam mencadangkan PAC Kelantan diperkasakan bagi membolehkan siasatan terperinci dibuat terhadap sebarang salah laku. Sehubungan itu, katanya, beliau mencadangkan pihak yang tidak mempunyai sebarang jawatan sama ada timbalan exco atau pengerusi mana-mana anak syarikat dilantik.

Beliau juga mencadangkan pegawai kepada PAC dilantik daripada kalangan akauntan dan peguam untuk memastikan siasatan yang dibuat menyeluruh dan bermutu. Nasarudin tetap bertegas, ia tidak boleh diubah kerana pelantikan dibuat oleh kerajaan.

Husam kemudian turut mempertikaikan penjelasan Nasarudin yang membuat penjelasan panjang lebar tentang kebaikan dan kewajipan melaksanakan hukum Hudud.

"Kita belajar hal itu dalam tingkatan 4 dan 5 lagi. Apa yang perlu kita buat sekarang adalah strategi dan persiapan kita untuk melaksanakannya, bukan sebab kita mahu melaksanakannya.
"Ini kerana, setiap kali pilihan raya inilah isu yang terpaksa kita jawab. Saya berdiri dan membuat cadangan ini kerana apa yang dibuat sebelum ini tidak boleh jalan," kata Husam.

Beliau mencadangkan, kerajaan negeri mempersiapkan hakim, mahkamah, penjara, skim perkhidmatan dan seumpamanya untuk membolehkan hudud dilaksanakan dengan jaya apabila ia diputuskan untuk dilaksanakan.- 9 Oktober, 2013. (THI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails