KUALA TERENGGANU – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkemungkinan turut dicalonkan Pas Kawasan Kuala Nerus bertanding jawatan timbalan presiden sekali gus mencabar penyandangnya, Mohamad Sabu dalam pemilihan parti itu tidak lama lagi.

Keadaan itu berkemungkinan besar memandangkan Nik Mohd Amar dijemput Pas kawasan itu untuk merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kuala Nerus Kali Ke-53 pada 14 September lalu. Sekiranya benar beliau mendapat sokongan di kawasan Kuala Nerus, ini bermakna Nik Mohd Amar mendapat dua pencalonan di peringkat negeri setakat ini selepas Besut.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Nerus, M Shukrimun Shamsudin berkata, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat Rabu depan untuk mencalonkan nama bagi jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden. Bagi jawatan presiden, pihaknya berkemungkinan besar mengekalkan pemimpin sedia ada untuk terus menerajui parti, namun jawatan lain akan dipertimbangkan melalui keputusan mesyuarat jawatankuasa kawasan itu.

“Kalau jawatan presiden tu, tiada orang lainlah (Datuk Seri Abdul Hadi Awang). Cuma yang lain itu, kita tunggu keputusan mesyuarat minggu depan kerana berkemungkinan jawatankuasa ada nama-nama lain,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Ditanya sama ada pihaknya akan memilih Nik Mohd Amar, beliau enggan mengulas kerana tidak mahu mendahului keputusan parti. Sebelum ini Pas Besut mencalonkan Nik Mohd Amar sebagai bagi jawatan timbalan presiden yang kini disandang Mohamad Sabu.

Selain Pas Besut dan Kuala Nerus, Pas Kawasan Kemaman juga selesai mengadakan mesyuarat agung pada 14 September lalu, namun masih belum membuat sebarang pencalonan. Ketua Penerangan Pas Kawasan Kemaman, Hanafiah Mat ketika dihubungi menjelaskan, bagi jawatan timbalan, pihaknya sudah tentu akan mencalonkan seseorang yang mampu menjalankan tugas di samping presiden.

Sementara itu, Pas Kawasan Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu belum mengadakan mesyuarat agung kawasan setakat ini. (SH)