Thursday, October 10, 2013

Saya Tidak Lantik Pengurus Kempen – Tuan Ibrahim


 

TEMERLOH: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan beliau tidak pernah melantik sesiapapun menjadi agen atau pengurus kempennya bagi pemilihan jawatan dalam PAS Pusat kali ini.

Serentak dengan itu beliau menolak sebarang spekulasi dan provokasi yang dikaitkan dengannya terutamanya menerusi media baru.

“Saya tidak pernah melantik sesiapapun sama ada agen mahupun pengurus kempen dan saya tidak pernah membayar kepada sesiapa untuk diri saya.
“Saya tegaskan ini supaya tidak berlaku salah faham kerana menerima laporan sudah ada orang tertentu yang berkempen kononnya saya akan bertanding jawatan sekian-sekian.
“Bahkan saya sendiri belum memutuskan apakah jawatan yang saya akan bertanding nanti,” katanya.

Beliau mengulas demikian sebagai menjawab ada beberapa akaun terutamanya di laman sosial yang seolah-olah berkempen untuk Tuan Ibrahim bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS.
Difahamkan, satu artikel dalam sebuah akhbar harian turut melabel Tuan Ibrahim mewakili golongan ulama profesional yang berpotensi menang.

Jelasnya, beliau tidak mahu dilihat terlalu ghairah ketika semua ahli diberi kesempatan meraikan demokrasi tetapi bukannya mahu berlawan sesama sendiri.

“Bagi saya PAS mesti bersedia dengan persediaan yang lebih besar, jangan habis dengan perkara remeh temeh. Parti benarkan berkempen selagi tidak memburukkan pihak lain. Perwakilan sendiri yang akan menilai,” katanya.

Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Muktamar Tahunan PAS ke-59 Asmuni Awi menjelaskan, mana-mana ahli PAS yang didapati melanggar garis panduan dan etika berkempen akan diambil tindakan jika berkempen secara tidak sihat dan mungkin dibatalkan kemenangan calon.

Tuan Ibrahim dalam pada itu meminta jawatankuasa pemilihan mengambil inisiatif memperkenalkan calon terutama yang bertanding jawatan AJK PAS Pusat kerana mungkin ramai muka baru yang menawarkan diri.

“Jika calon tidak berapa dikenali mungkin perwakilan hanya memilih berlegar di kalangan tokoh-tokoh yang sudah sedia ada sama. Jadi itu tidak adil kepada calon-calon baru.

"Mungkin pihak jawatankuasa boleh menerbitkan buku berkaitan biodata calon dan sebagainya yang difikirkan sesuai,” ujarnya.(Hrkh)

Lihat sebelum ini...

 E-Buku IH-38: Pemilihan Kepimpinan PAS 2011
 E-Buku IH-38: Pemilihan Kepimpinan PAS 2011  
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails