WALAUPUN tidak menyebut nama secara langsung, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali secara sinis menyindir Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dengan mengajak rakyat bermain bola sepak tetapi pada masa yang sama mengingatkan umat Islam supaya tidak lupa untuk mengimarahkan masjid.

Reaksi tersebut susulan kenyataan Khalid semalam yang memberi pilihan kepada Pemuda PAS Selangor sama ada mahu peruntukan untuk buat masjid atau bola sepak selepas pasukan negeri itu dikatakan kekurangan dana daripada Menteri Besar Incoperated (MBI).

NONEPemuda PAS Selangor mengkritik dengan mendakwa kekurangan penajaan MBI yang menyebabkan beberapa pemain bintang dalam pasukan bola sepak negeri cuba dipancing pasukan lain dengan tawaran gaji yang lumayan

"Jom kita bermain bola sepak dan kemudian jangan lupa ke masjid. #Masjid&Bolasepak,

"Umat Islam punya tanggungjawab untuk imarahkan masjid. Bersama merealisasikan usaha murni ini. #Masjid&Bolasepak," kata Azmin dalam Twitternya semalam.

Di samping itu, pada masa yang sama Azmin yang juga ahli parlimen Gombak memuji pasukan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang kini sedang bersaing dalam peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Walaupun pasukan Selangor tidak layak ke pusingan itu, Azmin menegaskan pasukan bola sepak negeri itu mempunyai trek rekod gemilang yang tidak boleh dinafikan.

NONE"Tahniah PKNS FC! Tapi jangan lupa ke masjid. #Masjid&Bolasepak.

"Selangor punya sejarah bola sepak yang gemilang. Jangan sesiapapun nafikan," katanya.

Sementara itu, rakan sejawatnya ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata beliau tak nampak kedua-dua perkara itu bersifat "eksklusif" serta perlu membuat pilihan salah satu daripadanya.

"Adakah dimaksudkan bahawa kewangan Selangor sudah terlalu terhad sehingga tak mampu buat kedua-duanya serentak?

"Kiranya begitu, bagaimana pada tahun sebelumnya, kenapa pula mampu? Kedua-dua dilihat penting bagi PAS dan kedua-duanya perlu dipertahankan," katanya dalam reaksi ringkasnya melalui kiriman SMS kepada Malaysiakini. (MK)