Thursday, September 26, 2013

Perginya Ustaz Azizan, Ibnu Hasyim Ucap Takziah..




ALOR SETAR: Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak kembali ke rahmatullah jam 11.10 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini. Jenazah almarhum akan disolatkan di Markas PAS Kawasan Pokok Sena, Jalan Langgar dan dikebumikan di Muasasah Darul Ulum, di sini selepas solat Asar.

Dari Kuala Lumpur, PAS Pusat merakamkan ucapan takziah kepada keluarga beliau. Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar bagi parti dan rakyat negeri Kedah khususnya. “Beliau merupakan Ahli Majlis Syura telah berjaya memimpin parti sehingga berjaya menawan negeri Kedah dalam PRU ke-12,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan pemergian Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak satu kehilangan besar kepada perjuangan Islam, khususnya kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

“Beliau seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan takziah di atas kembalinya Ustaz Azizan yang pernah menjadi Menteri Besar Kedah pada 2008 hingga 2013 itu ke rahmatullah jam 11.10 pagi tadi.

“Saya berhajat benar untuk menziarahi beliau sebelum ini, tetapi disebabkan masalah kesihatan, niat itu tertangguh. Termasuklah ketika Multaqa Ulamak baru-baru ini saya berhasrat hadir dan berniat untuk menziarahinya.
“Namun, Allah mentakdirkan ia tidak berlaku disebabkan kesihatan saya. Saya mendoakan semoga rohnya dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan para solihin,” ujarnya.


Weblog Ibnu Hasyim (gambar disebelah) juga mengucapkan ucapan takziah kepada keluarga beliau. Kematian Ustaz Azizan akan membuka ruang bagi mengadakan satu pilihanraya kecil bagi Dun Sungai Limau. PAS akan menghadapi PRK ini dalam suasana persiapan menghadapi muktamar. Dengan PRK ini diharap akan memperkukuh lagi jentera parti bagi memastikan kejayaan.

Semoga Allah mencucuri rahmat kepada rohnya. Al-Fatihah.(IH/Hrkh)

1 comment:

sohoque said...

alfatihah. moga rohnya ditempatkan di kalangan golongan yg dijanjikan jannah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails