Nik Aziz
- Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR

SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan kedatangan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia bukanlah satu kebanggaan buat rakyat negara ini.

Sebaliknya kunjungan Obama ke Malaysia hanyalah dianggap sebagai lambang kerjasama yang telah terjalin sejak sekian lama antara kedua-dua negara tersebut.

"Tiada yang membanggakan jika Malaysia dikunjungi Presiden Amerika kerana ia hanyalah mengesahkan hubungan baik antara kedua-duanya yang telah terjalin sekian lama.
"Kunjungan tersebut juga hanyalah tanda terima kasih Amerika Syarikat kepada Malaysia yang selama ini menyokong pendirian Amerika dalam pelbagai isu antarabangsa termasuk dalam isu rampasan kuasa tentera di Mesir yang mana Malaysia hanya sanggup menyatakan tidak setuju dengan kadar yang paling minimum sahaja," katanya menerusi laman Facebook hari ini.

Dalam laporan media tempatan baru-baru ini, Obama akan melawat Malaysia dalam rangka lawatan empat negara Asia pada Oktober ini.. Obama dijangka akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pertemuan yang disifatkan sebagai “mengukuhkan hubungan dua hala yang semakin berkembang” di antara kedua-dua negara.

Kenyataan daripada Rumah Putih turut menyebut bahawa Obama akan menyampaikan ucaptama pada Persidangan Keusahawanan Global yang akan diadakan di ibu negara pada 11 hingga12 Oktober.
 Kali terakhir Malaysia menerima lawatan Presiden Amerika Syarikat ialah pada 1966, oleh Presiden Lyndon Johnson.(SH)

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Menurut Nik Aziz, kedatangan Presiden AS itu sekitar 2 sebab..
  • hanyalah mengesahkan hubungan baik antara kedua-duanya yang telah terjalin sekian lama.
  • tanda terima kasih AS kepada Malaysia yang selama ini menyokong pendirian AS dalam pelbagai isu antarabangsa termasuk dalam isu rampasan kuasa tentera di Mesir yang mana Malaysia hanya sanggup menyatakan tidak setuju dengan kadar yang paling minimum sahaja.(Tiada tindakan apa-apa untuk pemulihan demokrasi di Mesir kerana perancangnya adalah AS dan kuncu-kuncunya)
Ertinya, kerana jasa Malaysia yang jadi 'tukang angguk' AS. Tak kira siapa salah yang penting kena jaga hati AS. Atau bahasa kasarnya jadi 'pecacai' atau 'barua' AS..