"Pengaruh tidak wajar" dua pendakwah menjadi faktor BN Kelantan memfailkan lima petisyen membantah keputusan pilihan raya di Kelantan.

Lima petisyen itu melibatkan kerusi parlimen Bachok, dan dewan undangan negeri Jelawat, Gaal, Mengkebang dan Manik Urai dan difailkan menerusi Tetuan Mohd Ilyas and Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam.

Peguam BN, Nor Azli Ahamed mendakwa PAS menggunakan poster dengan wajah dua pendakwah terkenal, Azhar Idrus dan Zahazan Muhammad dalam kempen pilihan raya mereka yang lalu bagi menarik pengundi.

"Antara penggunaan bahan kempen salah itu boleh dilihat di seluruh Kelantan seperti papan tanda memaparkan gambar Ustaz Azhar Idrus dengan kata-kata yang mempengaruhi dari segi kerohanian dan agama.
"Ini ialah satu kesalahan mengikut Akta Pilihan Raya 1954 di bawah Seksyen 9, iaitu pengaruh tidak wajar," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Menurut Azli, PAS menggunakan poster dengan wajah Azhar Idrus dengan tulisan "haram menjatuhkan kerajaan Islam".

BN dilaporkan akhbar sama akan turut memfokus kepada dakwaan sogokan wang dan 2,000 rumah yang dijanjikan calon PAS dan wakilnya sebagai alasan utama untuk mahkamah mengeluarkan perintah membatalkan kemenangan. BN sebelum ini mengumumkan telah memfailkan 21 petisyen pilihan raya dan Pakatan Rakyat pula memaklumkan akan memfailkan 36 petisyen.

Jumlah tersebut menjadikan pilihan raya lalu sebagai pilihan raya dengan paling banyak petisyen difailkan. (IH/MK)