Khalid Samad
Khalid Samad
SHAH ALAM – Ahli Parlimen PR Selangor tetap akan menghadiri sidang Dewan Rakyat yang bermula 24 Jun ini, walaupun memboikot sesi taklimat, semalam.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas, Khalid Samad berkata, setakat yang dimaklumkan, tindakan boikot hanya pada sesi taklimat.

“Kita dah menang, buat apa nak boikot? Walaupun ada penipuan, tetapi kita tetap menang.

“Rakyat susah payah beri kemenangan kepada kita, takkanlah tak pergi. Ahli Parlimen PKR pun akan hadir,” kata Khalid, yang juga ahli Parlimen Shah Alam kepada Sinar Harian.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Charles Anthony Santiago berkata, tujuan PR memboikot sesi taklimat Parlimen sebagai simbolik kepada protes penipuan pada PRU13.

“Kita nak tunjukkan kepada rakyat Malaysia dan dunia bahawa PRU13 adalah paling kotor dalam sejarah pilihan raya.

“Kita minta kepimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digantikan segera. Kita juga mahu undang-undang berkaitan pilihan raya seperti Seksyen 9A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 digugurkan,” katanya.

Beliau, yang juga ahli Parlimen Klang turut memaklumkan akan menghadiri sesi Parlimen pada 24 Jun ini kerana tidak mahu mengkhianati kepercayaan rakyat.
“Rakyat dah beri kepercayaan kita harus hormati harapan rakyat, kalau ada ahli Parlimen lain nak boikot, terserah,” katanya.
 
Charles Anthony Santiago
Charles Anthony Santiago
R Sivarasa
R Sivarasa

Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, memaklumkan belum ada keputusan daripada pimpinan tertinggi PKR sama ada akan menghadiri sesi Parlimen 24 Jun atau tidak.

“Kita sedang adakan perbincangan dengan wakil-wakil PKR dan perkara ini akan dipanjangkan kepada wakil PR yang lain, sama ada akan hadir atau tidak,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berhasrat untuk memboikot sesi pembukaan Dewan Rakyat ke-13 sebagai tanda protes terhadap keputusan PRU13, 5 Mei lalu dan enggan membentangkan soalan di Parlimen.

Tarikh akhir bagi ahli Parlimen mengemukakan soalan untuk jawapan kementerian pada sesi yang bermula 24 Jun berakhir Rabu.

Anwar dilaporkan sedang mempertimbangkan sama ada mahu hadir majlis angkat sumpah Parlimen sebagai menunjukkan rasa kesal terhadap keputusan PRU13 yang didakwa wujud unsur penipuan. (SH)