Wednesday, July 18, 2012

Felda Global: Adakah MB Kedah Tersilap?


ALOR SETAR - Adakah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tersilap? Kini, beliau telah mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) menjual saham milik perbadanan itu dalam Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yang dibeli tanpa pengetahuan beliau sehingga menimbulkan isu seolah-olah pendirian Kerajaan Negeri berhubung penyenaraian syarikat Felda itu di bursa saham bertentangan dengan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang lain.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi meredakan salah faham dalam kalangan penyokong pembangkang seolah-olah Kerajaan Kedah tidak sensitif dengan isu berkenaan.

"Jika ada mana-mana pihak yang anggap begitu (tidak sensitif) sebenarnya tidak betul. Walaupun MB (Azizan) Pengerusi PKNK, namun dalam isu pembelian saham FGVH, beliau tidak dimaklum langsung. Keputusan itu dibuat oleh pengurusan PKNK sendiri. MB hanya dimaklumkan selepas pembelian dibuat dan beliau terus mengarahkan supaya saham-saham itu dijual kerana menyedari ia boleh menimbulkan salah faham terhadap Kerajaan PR Kedah," katanya.

Menurut Muhammad Sanusi, pendirian Azizan dalam isu berkenaan adalah selari dengan kepimpinan Pas yang lain iaitu menentang penyenaraian syarikat Felda di bursa saham.

"Ini terbukti apabila beliau menolak cadangan Permodalan Kedah Berhad (PKB) yang juga mahu membeli saham FGVH," katanya.

Namun kata Muhammad Sanusi, situasinya berbeza apabila setiap keputusan yang membabitkan kewangan PKB perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Menteri Besar tetapi tidak begitu dalam peraturan operasi PKNK.

Menteri Besar adalah pengerusi dalam kedua-dua syarikat milik kerajaan negeri itu.

"PKNK dalam pembentangan belanjawannya sebelum ini memang ada menyatakan cadangan mahu membeli saham tetapi tidak dinyatakan saham apa dan cadangan itu diluluskan oleh lembaga pengarahnya,"katanya.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya tidak bermaksud mahu menyalahkan pengurusan PKNK ataupun menjadikan pihak berkenaan sebagai 'kambing hitam'.
HIMPUNAN Oren diadakan untuk menyerahkan Memorandum 8 tuntutan kepada Yang DiPertuan Agong supaya campurtangan bagi membatalkan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia. Gerakan Selamatkan Felda (GSF) yang diselaras oleh Mazlan Aliman ini turut disertai beberapa pemimpin Pas dan Pakatan Rakyat serta badan bukan kerajaan (NGO) lain.

8 tuntutan dalam Memorandum itu ialah:
  • 1) Pecat Mohd Isa Samad sebagai Pengerusi Felda
  • 2) Batalkan pinjaman bank peneroka
  • 3) Batalkan cagaran tanah Felda Plantations
  • 4) Selesaikan tuntutan peneroka
  • 5) Hapuskan hutang peneroka
  • 6) Lindungi tanah peneroka
  • 7) Jaminan kepentingan masa depan generasi kedua dan ketiga
  • 8) Bubar Felda Plantations dan buka Felda baru untuk generasi baru Felda.
 (IH/Sumber SH/Harakah)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails