Saturday, May 05, 2012

Tuduh Zina Patut Kena 80 Sebatan -Dr Juanda

 


KOTA BHARU: Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya menjelaskan menuduh orang berzina dalam Islam perlu dikenakan hukuman khazaf dengan sebatan sebanyak 80 rotan, jika sabit dengan kesalahannya.

“Itu jalan penyelesaian yang ada dalam Islam sekiranya orang yang membuat tuduhan tidak mampu memanggil empat orang  saksi,” katanya pada wacana anjuran Sinar Harian di Kelantan Trade Centre malam tadi.

Dua lagi ahli panel iaitu pakar sejarah dari UM, Datuk Prof Dr Mohamad Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Datuk Dr Johari Mat.

Bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk A Aziz Deraman bertindak sebagai moderator. Tajuk diperkatakan “Bersatu Demi Islam”. Wacana tersebut mendapat sambutan agak dingin berbanding wacana yang dianjurkan kerajaan negeri dalam banyak siri sebelum ini.

Dr Juanda sebelum itu mengulas keghairahan akhbar tertentu yang sering memuatkan berita berunsur lucah pada halaman depan.

Baru-baru ini Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya menyiarkan gambar aksi agak panas kononnya membabitkan seorang pemimpin Pakatan Rakyat.

Tahun lepas akhbar sama menyiarkan gambar klip video seorang lelaki dan wanita dalam keadaan yang menghairahkan juga ditujukan kepada pemimpin Pakatan.

Ramai pemerhati politik menyifatkan tindakan akhbar terbabit sebagai langkah desperado apabila gagal menampilkan bukti. Ketika pertabalan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini akhbar sama mendakwa wakil rakyat Pakatan mempersendakan Raja-Raja Melayu.

Dr Juanda berkata, meletakkan gambar lucah di muka depan akhbar secara tidak langsung boleh mendorong ke arah keruntuhan moral di kalangan generasi muda.

Dr Mohamad pula berkata, persoalan perpaduan Melayu  bukan perkara baru yang berlaku dalam masyarakat di negara ini.

“Isu perpaduan Melayu sebenarnya perkara lama, namun mengapa lebih kerap diperkatakan sekarang, adakah semata-mata kerana situasi Mac 2008.

“Sebenarnya persoalan perpaduan wujud ketika kita melawan penjajah lagi. Kemudian diperkatakan semula selepas peristiwa 13 Mei 1969. Jadi ia bukan lahir selepas pilihan raya Mac 2008 sahaja,” ujarnya.

Beliau juga tidak nampak pemimpin yang bercakap soal perpaduan Melayu sekarang lahir daripada lubuk hati mereka, sebaliknya ada kepentingan diri dan kedudukan mereka yang perlu dipertahankan.

Menurutnya apabila ada ancaman daripada luar barulah sibuk pemimpin Melayu bercakap soal perpaduan, sedangkan ia bukan lahir dari lubuk hati mereka sendiri.

Anehnya juga kata beliau perpaduan Melayu yang ditonjolkan sedangkan perpaduan Islam lebih penting untuk dipertahankan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails