Thursday, May 03, 2012

BERSIH dari Aceh sampai Everest


photo

RIBUAN rakyat Malaysia berkumpul di Dataran Persekutuan (Federation Square) Melbourne untuk menzahirkan desakan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil di Malaysia.

Hampir 1,500 warganegara Malaysia hadir di dataran tersebut, antara tempat yang terlibat dalam himpunan gerakan Global BERSIH 3.0 di seluruh dunia pada hari Sabtu lepas.

Selain Melbourne, terdapat siri himpunan BERSIH 3.0 di tempat lain, bermula di Auckland dan berakhir di San Francisco.

Dari serendah laut di Aceh sehingga setinggi ke gunung Everest, semuanya berkumpul memberi solidariti kepada kira-kira 250,000 warga pelbagai generasi yang turun di jalanan sekitar Kuala Lumpur bagi menunjuk bantahan kepada korupsi pilihan raya.

Di Melbourne, sorakan peserta yang berkumpul semakin kedengaran seawal jam 1 tengah hari waktu tempatan. Turut bersama bukan sahaja pelajar seperti yang dijangka pihak penganjur, malah yang bekerja serta berkeluarga dari pelbagai generasi termasuk anak kecil hingga warga emas turut menjayakan himpunan aman tersebut.

Suasana meriah dilahirkan dalam acara ‘duduk bantah' dengan peserta turun memakai pakaian berwarna kuning, sambil memegang pelbagai sepanduk yang mendesak pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meletakkan jawatan serta mengibarkan bendera Malaysia tercinta.

Perhimpunan tersebut dirasmikan oleh Senator Victoria, Colleen Hartland dari parti The Greens Australia. Dalam ucapan ringkas beliau menyatakan sokongan kepada pergerakan itu. Seterusnya acara diteruskan dengan ucapan Hong Lim, ahli parlimen Clayton, Melbourne.

Himpunan itu juga disusuli dengan bacaan kenyataan Pengerusi Bersama BERSIH Datuk Ambiga Sreenevason oleh seorang ahli jawatankuasa penganjur.

Ucapan lain dalam perhimpunan tersebut berkisar tentang situasi semasa dalam gerakan reformasi sistem pilihan raya di Malaysia, pendaftaran meragukan dalam daftar pemilih serta hak-hak mengundi rakyat Malaysia di luar negara.

Selain ucapan dari beberapa pihak, acara perhimpunan itu juga diselangi dengan nyanyian lagu Here in My Home dan 1Malaysia serta bacaan puisi dan deklamasi sajak.

Di penghujung acara, penyelaras Global BERSIH 3.0 Melbourne, David Teoh membacakan senarai 85 lokasi yang mengambil bahagian dalam acara di seluruh dunia.

Perhimpunan berakhir dengan para peserta bangun berdiri tegak bersama menyanyikan lagu kebangsaan, 'Negaraku'.

Seusai perhimpunan, peserta bersurai secara aman dengan bantuan pihak berkuasa mengawal baik keadaan lalu lintas.

Salah seorang ahli jawatankuasa BERSIH 3.0 Melbourne, William Ng berkata:

"Perhimpunan ini adalah sebuah gerakan yang non-partisan untuk mendesak reformasi dalam pilihan raya. Kami mahukan satu sistem yang mencerminkan kehendak rakyat, di mana SPR dilihat sebagai satu badan bebas yang tidak terlibat dengan rasuah serta mahukan pengakhiran kepada politik kotor yang berleluasa seperti mana yang mencemari pilihan raya kecil di Malaysia baru-baru ini."

Kebanyakan warganegara yang tinggal di luar negara termasuk warga Australia yang lahir atau yang mempunyai sanak-saudara di Malaysia mengekalkan hubungan perasaan dan budaya yang kuat kepada negara asal mereka.

Namun pada hari Sabtu tanggal 28 hari bulan April baru-baru ini, kekuatan hubungan ini terserlah dan ditunjukkan mereka secara aman tetapi lantang di seluruh dunia dengan kerjasama pihak berkuasa di tempat masing-masing, mengharapkan reformasi dalam sistem demokrasi di Malaysia. (MK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails