Monday, April 30, 2012

Felda Pula Perlu Bangkit! -Datuk Tuan Ibrahim









TEMERLOH, 30 April 12: Apakah generasi kedua dan ketiga Felda faham kesan penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) terhadap masa depan mereka?

Apakah mereka sudah menilai kesan tindakan Barisan Nasional itu dengan apa yang ditawarkan Pakatan Rakyat di dalam Buku Jingga?

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) menggesa generasi kedua dan ketiga Felda untuk bangkit menentang penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia kerana ia adalah satu rampasan kepada hak mereka.

“Tindakan ini serentak dengan pengumuman durian runtuh kepada warga Felda untuk melupakan bahawa tanah peneroka akan dicagarkan selama 99 tahun ke Felda Global Venture Holding (FGVH) untuk tujuan penyenaraian.

"Dalam erti kata lain, cadangan penyenaraian FGVH bakal menindas generasi kedua dan ketiga Felda, kerana selepas durian runtuh sekali ini sahaja, hasrat mereka untuk memiliki tanah tidak akan tercapai kerana telah dicagarkan selama 99 tahun,” kata Tuan Ibrahim.

Dalam Buku Jingga PR, kata Tuan Ibrahim, nasib generasi kedua dan ketiga Felda diberi keutamaan.

“PR sudah menjanjikan untuk membuka seluruh ladang Felda kepada generasi kedua dan ketiga Felda melalui Tawaran Buku Jingga. Sebenarnya tawaran tersebut adalah hadiah paling besar bagi rakyat yang belum mendapat tanah,” terang beliau.

Hujah Pesuruhjaya PAS Pahang itu lagi, atas tawaran Buku Jingga itu, golongan anak-anak warga Felda adalah “golongan yang paling beruntung” apabila PR memerintah.

Oleh yang demikian, katanya, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) telah menjalankan dan mengedarkan borang permohonan bagi mereka yang berkelayakan.
Ribuan permohonan diterima menggambarkan rakyat kini sangat memerlukan tanah untuk aktiviti ekonomi mereka, di samping rumah kediaman.

Namun, tegas beliau, hasrat generasi kedua dan ketiga Felda untuk menikmati tanah akan terhalang dengan tindakan BN untuk menyenaraikan Felda melalui FGVH di Kuala Lumpur kerana tanah yang sepatutnya menjadi hak milik mereka masa depan telahpun dipajakkan dan 'ditebus’ kerajaan dengan durian runtuh yang sekali saja.

Apa yang perlu diberi perhatian, kata Tuan Ibrahim ialah tindakan penyenaraian ini akan turut mengikis aset Bumiputera dan membuka laluan lebuhraya kepada hasrat warga asing untuk menguasai aset Bumiputera.

“Pemilikan harta bumiputera 30% yang menjadi matlamat DEB telah gagal, justeru matlamat menyusun semula masyarakat luar bandar juga gagal.

"Untuk mengatasi masalah ini, antara usaha ini ialah meningkatkan ekuiti Bumiputera melalui pemilikan ladang Felda.  Namun, bilamana ia dijadikan saham bermakna semua pihak boleh membeli, maka aset dan harta bumiputera akan turut mengecil,” jelas beliau.

Bagi Tuan Ibrahim, tindakan menjadikan tanah ladang sebagai cagaran merupakan tindakan paling bodoh, kerana tanah ladang yang sekarang dikuasai 100 peratus oleh agensi kerajaan akan dibuka kepada pemilikan bukan bumi dan warga asing.

Tindakan ini, katanya tentulah mengembirakan beberapa pihak yang selama ini memang berhasrat untuk menguasai perladangan Felda.

“Dengan penyenaraian sahaja, mereka tanpa memerlukan usaha dan susah payah sudah boleh mendapatkan tanah seluas 360,000 hektar - satu jumlah yang tidak pernah dimimpi oleh sesiapa pun,” tambah beliau lagi.

Belaiau menambah, walaupun kerajaan memberi jaminan pemilikan ini tidak akan terlepas kepada pihak  asing, namun hakikat bilamana ia telah menjadi unit saham, maka tiada jaminan ianya tidak akan dijual terutamanya bagi mereka yang membeli saham tersebut melalui pembiayaan pinjaman bank atau sewaktu berlakunya lonjakan nilai saham tersebut.

“Sekiranya hakikat bahawa 'tujuan asal tanah ladang Felda dibuka adalah untuk dimiliki oleh generasi kedua dan ketiga Felda' ini disedari, bekas anggota tentera dan polis, rakyat negeri dan kakitangan Felda yang tiada bertanah sudah tentu bangkit menentang hasrat penyenaraian ini; kerana sedar akan hakikat bahawa hadiah lumayan adalah di depan di mana sekiranya PR menguasai Putrajaya, maka tanah tersebut akan menjadi hak milik mereka dan bukannya dipajak kepada FGVH selama 99 tahun,” jelas beliau lagi. (Hrkh)

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Ya, peneroka-peneroka pula perlu bangkit, betulkan kesilapan BN melalui PRU 13.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails