Dr Mohd Asri Zainul Abidin
ISLAM  adalah agama yang menghormati semua keturunan manusia. Islam tidak  menghukum seseorang disebabkan keturunannya. Islam juga tidak memaksa  orang menganut Islam dan memerangi dan menghukum hanya kerana perbezaan  agama.
Demikian seseorang Yahudi tidak boleh dihukum hanya kerana  dia berketurunan Yahudi atau beragama Yahudi. Permusuhan berlaku antara  masyarakat Yahudi dan Nabi Muhammad SAW dalam sejarah disebabkan sikap  permusuhan mereka terhadap Islam, bukan keturunan mereka.
Dalam sejarah Nabi SAW; baginda mempunyai isteri yang merupakan seorang Yahudi iaitu Safiyyah binti Huyai.
Sahabat  Nabi SAW yang dianggap ilmuwan ‘Abdullah bin Salam, juga seorang  Yahudi. Baginda Nabi SAW dalam urusan muamalat pernah menggadai barang  kepada Yahudi.
Baginda juga menziarahi Yahudi yang sakit.
Ini  menunjukkan kita boleh berbuat baik kepada Yahudi atas dasar  persahabatan yang tidak mengkhianati Islam atau atas asas dakwah. Bahkan  Al-Quran dalam Surah al-Maidah membenarkan perkahwinan dengan wanita  Yahudi dan Kristian yang dikatagori sebagai Ahlul Kitab.
Maka,  kenyataan yang menyatakan bahawa kita boleh berurusan Yahudi yang tidak  menzahirkan permusuhan kepada umat Islam, adalah benar. Adapun yang memerangi Islam, maka dia dimusuhi tanpa mengira apapun agamanya.
Firman  Allah: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan  sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana  agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu;  sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya  Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat  orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan  kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk  mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman  rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahah, 8-9)
Ayat di atas menjadi asas urusan antara muslim dan agama lain.
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah felo pelawat OCIS, Oxford dan bekas mufti Perlis. (Diangkat dari MK)

 
 

No comments:
Post a Comment